Honda CBR150R dilancar di Malaysia – 16hp, ABS, dua warna, RM12,499

BOON Siew telah melancarkan motosikal sport yang dinanti ramai, iaitu Honda CBR150R baharu. Pelancarannya dibuat secara maya dan disiarkan melalui laman Facebook Honda Motorcycle Malaysia.
Honda CBR150R dibangunkan dengan konsep CBR Total Control, menampilkan rupa motosikal sporti dan agresif dengan prestasi dengan ciri-ciri canggih terkini.
CBR150R hadir dengan dua pilihan warna di Malaysia, iaitu Mat Charcoal Grey Metallic dan Candy Scintillate Red dan ditawarkan pada harga RM12,499.
Motosikal sport ini dikuasakan oleh unit 150cc DOHC dengan sejukan cecair yang mampu menjana 12kW (16hp) pada 9,000rpm dan 13.7Nm tork pada 7,000rpm. Enjin ini digabungkan dengan kotak gear 6-kelajuan.
CBR150R juga dilengkapi dengan ABS (Anti-lock Braking System) dua saluran serta klac Assist & Slipper yang mengelakkan gelinciran tayar belakang semasa tunggangan sporti dan menurunkan gear.
Dari segi rupa, Honda CBR150R mendapat lampu depan LED dan rekabentuk badan yang sporti yang pasti membuatkannya nampak serasi di litar.
Suspensi depan terbalik bersama dengan posisi menunggang ‘racy’ ke depan dan fairing penuh menyerlahkan gaya perlumbaannya.
Selain itu, suspensi ini menjadikan pengendalian lincah dan memberikan kestabilan menunggang terutama ketika menunggang pada kelajuan yang lebih tinggi.
Ciri-ciri lain yang turut dilengkapi adalah seperti brek cakera beralun yang menekankan penampilan sporti, papara instrumen digital dan Emergency Stop Signal (ESS).
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.