Cip semikonduktor antara komponen penting dalam pembuatan kereta. - Foto ihsan Foto ihsan Unsplash
KRISIS bekalan semikonduktor makin memuncak dengan terbaharu syarikat pengeluar Mercedes menjadi ‘mangsa’.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Mercedes berkata, kekurangan bekalan semikonduktor menjejaskan proses pengeluaran kenderaan sekaligus menyebabkan tempoh menunggu lebih lama.
Jelas Ola Källenius lagi, apa yang lebih membimbangkan terdapat pelanggan terpaksa menunggu dalam tempoh lebih setahun untuk mendapatkan kenderaan ditempah.
“Mercedes-Benz mendapat permintaan tinggi dan kami sedang berdepan kekurangan bekalan semikonduktor yang sangat meruncing.
“Terdapat beberapa kes yang mana ada pelanggan terpaksa menunggu sehingga setahun,” katanya.
Terdapat pelanggan Mercedes terpaksa menunggu lebih setahun untuk memiliki kenderaan dibeli. – Foto ihsan Mercedes-Benz
Industri automotif global berdepan isu kekurangan bekalan semikonduktor sejak berlaku penularan pandemik Covid-19.
Ia menyebabkan kebanyakan kilang pengeluaran semikonduktor terpaksa menangguhkan operasi sekaligus memberi kesan kepada penawaran alat itu.
Setakat ini, terdapat jangkaan bahawa gangguan bekalan semikonduktor dijangka berlarutan sehingga 2023.
Sagree Sardien yakin Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dapat menangani krisis kekurangan bekalan semikonduktor. – Foto oleh MBM
Sementara itu, media tempatan melaporkan Mercedes-Benz Malaysia bagaimanapun tidak terkesan dengan masalah kekurangan semikonduktor.
Presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia Sagree Sardien berkata, kenderaan model CKD tidak terjejas namun, berkemungkinan terdapat sedikit kelewatan untuk proses penyerahan kepada pelanggan.