Novabot sebuah mesin pemotong rumbut yang mampu bekerja sendiri

Novabot 02

SEKILAS pandang, objek ini kelihatan seperti sebuah kereta futuristik bersaiz mini walaupun hanya mempunyai dua roda.

Namun, tahukah anda ia sebenarnya adalah mesin pemotong rumput yang dilengkapi dengan teknologi autonomi? Ini bermakna ia boleh beroperasi dengan sendiri tanpa sebarang bantuan manusia.

Dikenali sebagai Novabot, mesin pemotong rumput ini mempunyai nadi utama iaitu sistem NovaVision yang membolehkan ia mengesan dan mengenal pasti lokasi, jenis permukaan dan objek yang berada di sekelilingnya.

Semua ini dilakukan dengan data daripada beberapa buah sensor pada bahagian hadapan serta kamera 360-darjah.

Sebaik sahaja ia diaktifkan menerusi aplikasi telefon pintar, Novabot akan mula memotong rumput secara automatik, sambil mengelak dan mengalihkan haluannya apabila objek asing atau halangan dikesan di hadapannya.

Jangan risau jika permukaan halaman rumah anda tidak rata kerana ia boleh menaiki permukaan curam sehingga 45 darjah dengan bantuan tayar off-road.

Lebih menarik lagi, ketinggian bilah pemotongnya boleh dinaikkan dan diturunkan antara 20 hingga 70mm bergantung pada panjang rumput.

Di samping itu, algoritma CoreMind yang dikuasakan oleh cip 5 Tera Operations Per Second (TOPS) berfungsi seperti otak yang membantu Novabot memeta haluannya ketika memotong rumput.

Ini membolehkan ia bergerak secara bebas dari satu permukaan ke satu permukaan yang lain, serta menghasilkan potongan yang lurus dan kemas seperti di padang bola sepak.

Bilah pemotongnya terletak di bahagian bawah dan digerakkan oleh sebuah motor jenis brushless.

Kuasa pula dibekalkan oleh pek bateri lithium-ion berkapasiti tinggi yang membolehkan ia memotong rumput sehingga 2,000 kaki persegi dengan satu cas penuh.

Anda tidak perlu mengecasnya kerana ia akan kembali ke stesen pengecas dengan sendiri apabila kuasa bateri berada pada tahap 5 peratus.

Tidak cukup dengan itu, Novabot juga mempunyai satu lagi fungsi yang tidak terdapat pada mana-mana mesin pemotong rumput yang lain.

Pada waktu malam, ia boleh dijadikan sebagai robot keselamatan yang bertindak meronda sekeliling kawasan kediaman, tidak ubah seperti seorang pengawal. Amaran akan diberikan sekiranya terdapat penceroboh. Canggih, bukan?

Bukan itu sahaja, ia juga kalis air IPX6 dan mempunyai tahap bunyi kurang dari 60dB, jadi anda boleh tidur nyenyak sambil mesin ini menjalankan tugasnya.

Buat masa ini, Novabot boleh didapati menerusi laman web Indiegogo. Ia ditawarkan pada harga bermula dari USD1,299 (RM5,437) untuk pembeli terawal, dengan penyerahan dijangka bermula pada Julai tahun hadapan.

View Comments (5)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved