Maritim Malaysia jejak dan tawan ‘kapal hantu’, elak kemalangan pelantar minyak

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM atau Maritim Malaysia) telah berjaya menemui ‘kapal hantu’ di perairan Kuala Terengganu, semalam.
Istilah ‘kapal hantu’ di sini merujuk kepada kapal yang hanyut tanpa kru untuk mengendalikannya.

Menurut Maritim Malaysia, anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK) telah diturunkan dari helikopter AW139 ke kapal WINPOSH RAMPART pada pukul 3.30 petang semalam (4 Januari 2022).
“Kapal Winposh Rampart telah ditunda oleh kapal ICON LOTUS dan dalam perjalan menghala ke Kemaman Supply Base, Terengganu. Perjalanan dijangka mengambil masa hampir 65 jam,” katanya.

Maritim Malaysia mengesahkan insiden kapal hantu berlaku di 120 batu nautika dari Kuala Terengganu. Winposh Rampart hanyut ke perairan Malaysia selepas terputus tali tunda di perairan Vietnam, kelmarin.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam satu kenyataan berkata, penilaian risiko oleh pihaknya mendapati kapal sepanjang 72 meter itu mengancam keselamatan operasi pelantar minyak milik Petronas.
“Winposh Rampart berpotensi melanggar pelantar minyak Telok A milik Petronas dan boleh mengakibatkan pelantar minyak tersebut meletup serta melibatkan kemalangan nyawa sekiranya tiada bantuan awal diberikan,” katanya.
Lantaran daripada itu, Maritim Malaysia mengkoordinasikan bantuan bersama Petronas bagi mencari dan menunda kapal terbabit.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.