All posts by Mr Gear

Peminat segala jenis kenderaan

Ducati untung RM283 juta, catat jualan 59,447 unit bagi 2021

DUCATI menutup tahun kewangan 2021 dengan mencatatkan jumlah jualan, hasil dan keuntungan operasi yang terbaik dalam sejarah sejak ia beroperasi.

Bagi tahun 2021, Ducati telah mencatatkan jualan sebanyak 59,447 buah motosikal ke seluruh dunia. Ini  merupakan peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding tahun 2020 dengan jualan sebanyak 48,042 unit.

Jumlah jualan tersebut telah memberikan hasil sebanyak 878 juta Euro (RM4.07 bilion) bagi tahun 2021. Ini telah menyumbang peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding hasil pada tahun 2020 iaitu 676 juta Euro (RM3.14 bilion).

Dalam masa sama, Ducati juga telah mencatatkan keuntungan operasi untuk tahun 2021 sebanyak 61 juta Euro (RM283.15 juta). Ini merupakan peningkatan 154 peratus berbanding tahun 2020 iaitu 24 juta Euro (RM111.40 juta).

Menurut Ducati, segala hasil dan keuntungan yang dicatatkan ini dicapai meskipun mereka berdepan dengan krisis bekalan dan kekurangan komponen.

Pada tahun 2021 juga, Ducati telah menambah sebanyak 84 buah pengedar baharu. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengedar rasmi Ducati sebanyak 790 buah di lebih 90 buah negara.

Melaka rancang bina terowong dasar laut ke Dumai, Indonesia

Kerajaan Negeri Melaka merancang untuk membina sebuah terowong dasar laut merentasi Selat Melaka bagi menghubungkan negeri tersebut dengan Dumai, Indonesia.

Menurut Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali terowong tersebut bakal dibina khas untuk rangkaian sistem rel yang akan menghubungkan Melaka dan Dumai, Indonesia.

“Ini adalah perancangan jangka panjang. Jarak paling hampir antara Melaka dan Dumai ialah 47 kilometer,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Melaka Week di Expo 2020 Dubai di Pavilion Malaysia hari ini.

Mengulas perkara sama, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata setakat ini, sebuah firma menyatakan minat untuk membina terowong itu.

Beliau berkata bagaimanapun, projek itu memerlukan persetujuan dan kelulusan kerajaan Indonesia sebelum pembinaannya dijalankan.

“Firma dari Malaysia hanya mampu menampung 50 peratus daripada kos keseluruhan projek.

“Jika semuanya berjalan lancar, pembinaan terowong itu akan mengambil masa empat ke lima tahun,” katanya.

Projek itu dijangka mampu menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi bagi Melaka.

Ketika ini, ekonomi Melaka banyak bergantung kepada sektor perkhidmatan namun sektor pembuatan juga semakin menunjukkan peningkatan.

Aston Martin V12 Vantage baharu didedahkan, tiada pilihan manual, hanya 333 unit

ASTON Martin telah mendedahkan V12 Vantage terbaharu mereka semalam. Ianya dikatakan bakal menjadi jentera V12 terakhir pengeluar itu.

Berita menyedihkan? Sekurang-kurangnya enjin V12 5.2-liter twin-turbo ini menghasilkan lambakan kuasa sebagai ucapan ‘selamat tinggal’. 690hp dan 735Nm tork merupakan outputnya, dan dipadankan dengan kotak gear dwi-klac dari ZF, tiada pilihan manual kali ini.

Dari segi prestasi, Aston Martin V12 Vantage ini mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 3.5 saat, manakala kelajuan maksima ialah 321km/j.

Ia telah melalui ‘diet’ dengan penggunaan bahan gentian karbon di bampar, hud, fender depan dan deck lid, menjadikannya seberat sekitar 1,795kg sahaja.

Selain itu, V12 Vantage ini menggunakan unit bateri jenis ringan, serta sistem ekzos keluli tahan karat yang lebih ringan 7.2kg berbanding kereta standard.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor karbon seramik bersaiz 410mm dengan penggunaan kaliper brek enam piston di depan dan diikuti dengan rotor 360mm dengan kaliper brek empat piston di belakang.

Penggunaan karbon seramik menyumbang kepada penjimatan berat sekitar 23kg berbanding menggunakan bahan jenis keluli biasa dan ianya mampu bertahan pada suhu operasi setinggi 800 darjah Celcius.

Aston Martin memberikan rim bersaiz 21-inci untuk supercar ini dengan pilihan standard atau lightweight untuk lebih ringan lagi. Tayar pula adalah Michelin Pilot 4S bersaiz 275/35 di depan dan 315/30 untuk belakang.

Hanya 333 unit seumpamanya bakal dibina tetapi jika anda mampu beli, sekali lagi berita menyedihkan. Semuanya dilaporkan telah pun habis ditempah.

Castrol tawar hadiah eksklusif sempena Hari Mekanik Malaysia 18 Mac ini

Sambutan Castrol Hari Mekanik Malaysia (HMM) akan berlangsung pada 18 Mac 2022. Acara tahunan yang memasuki edisi keempat ini bertemakan The Game Changers, sebagai penghormatan kepada wira yang tidak didendangkan dalam setiap kehidupan pemilik kenderaan.

Castrol HMM 2022 bakal disambut secara maya sepenuhnya dengan pelbagai aktiviti telah dirancang termasuk pertandingan sosial media, pemberian jersi dan acara melibatkan influencer media sosial.

Castrol HMM pada kali ini juga turut berkerjasama dengan English Premier League (EPL). Pelbagai barangan eksklusif Castrol X EPL termasuk jersi, topi dan bekas air akan diberikan. Barangan tersebut juga adalah sebahagian daripada hadiah pertandingan media sosial.

Sambutan Castrol HMM ini juga membolehkan pengguna media sosial untuk menyatakan kesetiaan mereka kepada Castrol dan sukan bola sepak.

Para peserta pertandingan dikehendaki mengambil gambar diri mereka memakai jersi pasukan bola sepak kegemaran atau kemeja-T Castrol bersama-sama kereta atau motosikal mereka dan berlatarbelakangkan mana-mana bengkel jenama Castrol.

Kemudian, mereka perlu memuat naik foto tersebut ke dalam Facebook atau Instagram dengan kapsyen yang menghargai mekanik mereka.

Hantaran Facebook atau Instagram dengan tanda pagar #CastrolHariMekanik dan #CastrolEPL yang mendapat jumlah like tertinggi akan memenangi barangan eksklusif Castrol X EPL.

Menurut Pengarah Pemasaran Castrol Malaysia dan Singapura, Keow Mei-Shan, Castrol berbangga kerana telah memilih tema The Game Changers untuk tahun 2022 sebagai memperingati dan penghormatan kepada mekanik tempatan.

“Sambutan tahun ini adalah yang lebih istimewa bagi kami kerana EPL akan menyertai kami dalam usaha memberikan penghormatan kepada mekanik kita.

“Dalam tempoh beberapa tahun yang lalu, ramai di antara kita yang kehidupannya telah terjejas akibat pandemik.

“Walaupun kehilangan mata pencarian akibat pelbagai sekatan ekonomi yang dikenakan, komuniti mekanik tetap berjuang dan melaksanakan tugas mereka membaiki kenderaan dengan penuh dedikasi dan teliti.

“Kami amat berterima kasih kepada komuniti mekanik Malaysia, serta petugas barisan hadapan yang lain, kerana sedia membantu kami di sepanjang tempoh yang serba mencabar ini,” tambahnya lagi.

Vespa 3S Skudai kini dibuka, bakal tingkatkan rangkaian pengedaran di Malaysia

Didi Group yang merupakan pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia telah mengumumkan pembukaan bilik pameran baharu Vespa di Skudai, Johor.

Pembukaan Ng Brothers Motor (Vespa Skudai) ini merupakan bilik pameran Vespa 3S yang pertama bagi wilayah Johor Bahru, Johor.

Encik Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Didi Resources Sdn Bhd berkata pembukaan bilik pameran Vespa Skudai ini akan meningkatkan lagi rangkaian pengedaran jenama Vespa di Malaysia.

Bagi Pengurus Besar Ng Brothers Motor (Vespa Skudai), Encik Ng Terng Kang pula berkata majlis ini bukan sahaja untuk meraikan pembukaan rasmi Vespa Skudai, bahkan ia adalah untuk meraikan komuniti Vespa di Johor.

“Kami telah berkerjasama dengan Modern Vespa Club Johor dengan mengumpulkan 150 pemilik Vespa klasik dan juga moden bagi meraikan MoveFest 3.0,” tambahnya lagi.

Ng Brothers Motor (Vespa Skudai) merupakan pengedar 3S rasmi Didi Group di Johor yang menawarkan pelbagai model bagi memenuhi keperluan serta kehendak pelanggan Vespa di Johor terutamanya di Skudai dan kawasan sekitar.

Orang ramai yang berminat boleh berkunjung ke Vespa Skudai yang terletak di 33, Jalan Pakis 1, Taman Sri Pulai, Johor Bahru.

MCVE 2022: Scania pamer trak dan bas generasi baharu dengan ADAS, Euro 5, B20 hingga B100

Pada ekspo Malaysia Commercial Vehicle Exhibition (MCVE) 2022 yang sedang berlangsung di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Scania telah mendedahkan beberapa kerjasama strategik dalam membangunkan trak generasi terbaharunya.

Trak generasi terbaharu ini lengkap dengan ciri-ciri Advanced Driver Assistance System (ADAS) dan juga mematuhi piawaian Euro 5. Dalam masa sama, Scania turut mendedahkan penyelesaian ke arah pengangkutan lestari.

Scania P410A6x2NA milik Chemtrax, lengkap dengan ADAS.

Model P410A6x2NA milik Chemtrax Sdn Bhd merupakan pelanggan Scania pertama menerima trak yang mempunyai teknologi ADAS. Teknologi ini mempunyai fungsi Lane Departure Warning (LDW), Automatic Emergency Braking (AEB) dan juga beg udara tirai di bahagian sisi.

LDW berupaya memberi amaran kepada pemandu jika kenderaan telah terkeluar melepasi lorong pemanduan tanpa mengaktifkan signal. Sistem ini dapat mengesan garisan pada permukaan jalan secara automatik.

AEB pula merupakan sistem yang menggunakan kamera dan radar bagi memantau serta menilai situasi trafik di hadapan. Sistem ini direka untuk mengelakkan perlanggaran dengan kenderaan di hadapan melalui pembrekan secara automatik.

Penggunaan ADAS dalam kenderaan komersial dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya serta memastikan keselamatan buat pengguna jalan raya lain.

Scania model R620A6x4NZ yang mematuhi piawaian Euro 5.

Selain itu, Scania juga telah bekerjasama dengan Xin Hwa Holdings Berhad dalam membangunkan trak generasi baharunya yang mematuhi piawaian Euro 5. Trak model R620A6x4NZ dibina dengan sistem Selective Catalytic Reduction (SCR) bagi mengurangkan pelepasan emisi yang menyumbang kepada penghasilan asap dan jerebu.

Di samping itu juga, Scania telah bekerjasama dengan Billion Stars Express Sdn Bhd dalam menghasilkan bas menggunakan biodiesel Fatty Acid Methyl Esters (FAME) bergred B20 hingga B100. Ianya mesra alam serta mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sekaligus mengurangkan kesan perubahan iklim.

Bas Scania model K360IB4x2 milik Billion Stars Express yang dikuasakan dengan bahan api biodiesel.

Scania komited untuk mencapai matlamat yang ditetapkan bagi mengehadkan aktiviti yang menyumbang kepada pemanasan global.

Menjelang 2025, Scania akan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida daripada operasinya sendiri sebanyak 50 peratus.

Acura Integra 2023 dengan 1.5-liter VTEC turbo, 200hp dan pilihan manual 6-kelajuan

Baru-baru ini, Acura telah menunjukkan model prototaip Acura Integra 2023 pada perlumbaan 24 Hours of Daytona.

Acura Integra 2023 ini menggunakan konsep rekabentuk fastback lima pintu, kelihatan begitu maskulin serta praktikal bagi kegunaan harian.

Terdapat dua pilihan varian iaitu varian asas Integra dan juga A-Spec. Varian A-Spec mempunyai pilihan untuk menambah pakej teknologi.

Semua varian Acura Integra 2023 dikuasakan dengan enjin VTEC 1.5-liter turbocharged empat silinder sebaris, sama seperti Honda Civic generasi ke-11. Enjin ini menghasilkan 200hp dan 260Nm tork.

Sedikit perbezaan dimana Integra bakal mempunyai pilihan dari segi transmisi. Integra menggunakan transmisi CVT lengkap dengan paddle shifter sebagai pakej standard.

Bagi yang berjiwa sporti, berita baik buat anda kerana Acura menyediakan pilihan transmisi manual 6-kelajuan lengkap dengan limited-slip differential khas buat pembeli varian A-Spec.

Meskipun berkongsi casis dan trenkuasa dengan model Honda Civic terbaharu, sistem suspensinya telah menerima talaan khas.

Bagi yang sukakan ciri moden, anda boleh memilih pakej teknologi yang dilengkapi dengan head-up display, pengecas telefon tanpa-wayar serta sistem integrasi Apple CarPlay dan Android Auto. Pakej teknologi ini merupakan naik taraf yang hanya tersedia buat pembeli A-Spec sahaja.

Integra baharu ini juga datang dengan tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Normal dan Sport sebagai ciri standard. Hanya pakej teknologi mempunyai tambahan mod pemanduan Individual.

Selain itu, pakej teknologi turut datang dengan bersama Adaptive Damper System (ADS), mod pemanduan individu, sistem audio premium ELS STUDIO 3D dengan 16 pembesar suara.

Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2022 kini berlangsung di MIECC

Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2022 edisi kelima sedang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Mac ini di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC).

Ekspo ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Dato’ Henry Sum Agong.

Dengan penampilan pempamer dari dalam dan luar negara, MCVE merupakan siri ekspo kenderaan komersial pertama dan terbesar pernah diadakan di Malaysia.

YB Dato Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia ketika melawat ruang pameran.

YB Dato’ Henry Sum Agong berkata, “Malaysia berada dalam posisi terbaik sebagai hab pengangkutan di rantau Asia Tenggara.

“Infrastruktur yang kita ada dibina untuk menangani cabaran pada masa depan ketika negara bergerak ke arah pemulihan ekonomi.

“Selari dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan, kita memerlukan penyelesaian pintar.

“Justeru, saya teruja untuk melihat produk-produk terkini yang ditawarkan dalam industri kenderaan komersial Malaysia kerana ia penting dalam meningkatkan ekonomi negara,” tambahnya lagi.

YB Dato Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia bersama Andrew O’Brooks, Pengarah Urusan dan Naib Presiden MAN Truck & Bus.

Penganjur MCVE 2022, Stefan Pertz pula memberitahu, “Hari ini, kita meraikan keupayaan indutsri untuk kembali bangkit. Pandemik sememangnya menguji kita.

“Ujian ini telah berjaya kita atasi, terima kasih kepada dedikasi industri pengangkutan.

“MCVE pada tahun ini adalah untuk meraikan kejayaan ini. Kita bukan sahaja meraikan inovasi dan jenama yang telah dibawa ke dalam acara ini, malah menghargai setiap pemandu, pembekal industri, persatuan-persatuan dan pihak berkuasa.” ujarnya lagi.

Dari kiri: Andrew O’Brooks (Pengarah Urusan dan Naib Presiden MAN Truck & Bus), YB Dato Henry Sum Agong (Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia), Stefan Pertz (penganjur MCVE) dan Professor Dr. Wong Shaw Voon (Pengerusi MIROS)

Pada MCVE edisi tahun 2019, sebanyak 60 pempamer telah menyertai acara ini dan kebanyakan daripada mereka kembali untuk menyertai MCVE edisi tahun ini.

Shell komited kurangkan pelepasan karbon, guna tenaga solar di stesen miliknya

Shell Malaysia telah berjaya mencapai satu lagi kejayaan dalam usahanya untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam operasi mobilitinya.

Sejajar dengan usaha dan komitmen ke arah itu, Shell telah mengambil inisiatif berkerjasama dengan Cleantech Solar dalam menggunakan tenaga solar di stesen minyak miliknya.

Panel solar yang dipasang di stesen Shell.

Sejumlah 22,505 kepingan panel photovoltaic dengan kapasiti 10.12 megawatt (MW) telah dipasang di 216 buah stesen miliknya. Ini sebagai sebahagian usaha dan komitmen dalam mengurangkan pelepasan karbon, selain mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal kuasa elektrik tempatan.

Menurut Shell, panel solar yang dipasang pada stesen Shell itu mampu menjana tenaga elektrik sebanyak 12,939 MWh. Sebagai perbandingan, tenaga ini cukup untuk membekalkan kuasa kepada kira-kira 3,740 isi rumah selama satu tahun.

Seow Lee Ming, Pengurus Besar Mobility Shell berkata, “Matlamat kami adalah untuk memudahkan peralihan ke arah masa depan karbon rendah dalam operasi syarikat.

“Setakat ini, kami telah memasang panel solar di 216 buah stesen, dan ia dijangka meningkat kepada 350 buah stesen menjelang akhir tahun ini,” tambahnya lagi.

Sehingga kini, Shell telah menerima persijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) bagi lima buah stesen termasuk Shell Taman Connaught, Shell Damansara Jaya, Shell Mint Hotel, Shell Tangkak Layby, dan Shell Alor Pongsu.

Seiring dengan matlamat dunia, Kumpulan Shell menetapkan sasaran untuk menjadi perniagaan tenaga dengan pelepasan sifar menjelang 2050.

LEGO lancar barisan produk baharu, replika bersaiz penuh bakal dipamerkan di 1 Utama bermula 11 Mac ini

LEGO telah mengumumkan pelancaran barisan produk barunya yang terdiri daripada pelbagai jenis tema seperti CITY, Speed Champions, Creator 3-in-1 dan juga Technic.

Produk baharu ini boleh didapati di outlet rasmi LEGO, Lazada, Shopee dan juga LEGOLAND.

42137 LEGO Technic Formula E® Porsche 99X Electric

Antara yang menarik perhatian adalah:

  • 76906 LEGO® Speed Champions 1970 Ferrari 512M
  • 31127 LEGO® Creator 3in1 Street Racer
  • 60322 LEGO® City Race Car
  • 42138 LEGO® Technic Ford Mustang Shelby GT500
  • 76907 LEGO® Speed Champions Lotus Evija
  • 42137 LEGO® Technic Formula E® Porsche 99X Electric
  • 60312 LEGO® City Police Car
60312 LEGO City Police Car

Selain itu, terdapat juga beberapa barisan produk lain seperti:

  • 60319 LEGO® City Fire Rescue & Police Chase
  • 60314 LEGO® City Ice Cream Truck Police Chase
  • 60324 LEGO® City Mobile Crane
  • 76903 LEGO® Speed Champions Chevrolet Corvette C8.R Race Car and 1968 Chevrolet Corvette
  • 10947 LEGO® DUPLO Race Cars
  • 41707 LEGO® Friends Tree-Planting Vehicle
  • 41701 LEGO® Friends Street Food Market
  • 42134 LEGO® Technic Monster Jam Megalodon

Anda boleh berkunjung ke outlet rasmi LEGO di 1 Utama dari 11 hingga 20 Mac ini dan berpeluang untuk bergambar dengan LEGO® Speed Champions 1970 Ferrari 512M bersaiz penuh versi 3D. Replika bersaiz 2700 x 1200 x 700 mm dengan berat 280kg ini mengambil masa selama 480 jam pembinaan menggunakan 78,496 kepingan LEGO.

76907 LEGO Speed Champions Lotus Evija

Pembeli yang memuatnaik gambar replika ini di media sosial dengan hashtag #LEGOMY dan #BUILDTHETHRILLS berpeluang untuk menerima hadiah ekslusif. Tawaran ini hanya sah pada 11 hingga 13 Mac dan 18 hingga 20 Mac 2022.

Selepas itu, replika bersaiz penuh ini akan berada di outlet rasmi LEGO di Sunway Pyramid dari 25 Mac hingga 3 April 2022.

Selain itu, LEGO ATV akan turut dipaparkan di outlet rasmi LEGO di Quensbay Mall, Pulau Pinang dari 21 hingga 31 Mac ini.

60322 LEGO City Race Car

 

BFGoodrich lancar Trail-Terrain T/A, khas untuk crossover, SUV dan pacuan empat roda

BFGoodrich telah melancarkan tayar premium terbaharu iaitu BFGoodrich Trail-Terrain T/A. Tayar ini direka khas untuk prestasi yang cemerlang bagi penggunaan atas jalan raya serta berkeupayaan untuk pemanduan ringan di luar jalan raya.

BFGoodrich Trail-Terrain T/A dirumus dengan ciri ketahanan yang tinggi, sesuai dalam semua musim, dan mampu mengharungi pelbagai jenis cuaca dan kondisi jalan.

Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Oliver Biggart menyatakan, “BFGoodrich Trail-Terrain T/A bersedia untuk melengkapi pengembaraan para pemilik crossover, sports utility vehicle (SUV), dan trak pacuan empat roda.

BFGoodrich Trail-Terrain T/A ini mempunyai tiga kelebihan utama:

  • Berketahanan tinggi. Ia disumbang oleh reka bentuk permukaan tayar serta teknologi full-depth 3D locking sipes di mana yang memberikan kestabilan blok tayar sekaligus menjamin kehausan yang sekata.
  • Sesuai untuk semua jenis keadaan. Ini kerana BFGoodrich Trail Terrain T/A mempunyai penarafan three-peak mountain snowflake (3PMS) yang dapat membekalkan cengkaman ketika mengharungi cuaca salji yang ekstrem.
  • Tayar ini direka untuk tahan serpihan dan kesan koyakan yang diakibatkan oleh pemanduan di atas jalan berbatu. Selain itu, reka bentuk serrated shoulder yang berguna untuk cengkaman ketika memandu di atas permukaan tanah lembut mahupun kegunaan ringan di luar jalan raya

BFGoodrich Trail-Terrain T/A baharu ini didatangkan 41 variasi saiz tayar serta mempunyai jaminan waranti oleh pengeluar selama enam tahun.

Aston Martin bakal keluarkan EV dengan bateri berprestasi tinggi, hasil kerjasama dengan Britishvolt

Aston Martin telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Britishvolt bagi menghasilkan bateri kenderaan elektrik (EV) berprestasi tinggi.

EV tersebut dijangka akan membuat kemunculan pada sekitar 2025.

Britishvolt yang berpengkalan di Blyth, England sebelum ini telah memeterai perjanjian dengan Lotus untuk tujuan yang sama.

Menurut Aston Martin, mereka merancang untuk meletakkan satu standard baru dari segi prestasi di litar, masa pengecasan serta jarak pemanduan bagi pembangunan EV ultra mewah yang berprestasi tinggi.

Kredit: Autocar

Aston Martin yang menggunakan trenkuasa serta komponen dari Mercedes-Benz, berkata perkongsian dengan Britishvolt adalah pelengkap kepada perjanjian sedia ada dengan Mercedes.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Aston Martin, Tobias Moers, “Kerjasama hebat ini menggabungkan penguasaan kejuruteraan Aston Martin selama 109 tahun dengan syarikat teknologi UK yang kian berkembang pesat.

“Melalui kerjasama dengan Britishvolt, kami boleh mencipta teknologi baharu dan menetapkan penanda aras yang sepadan dengan reputasi kami dalam mencipta EV ultra mewah yang berprestasi tinggi.

“Kerjasama ini juga membolehkan Aston Martin akses kepada teknologi serta meluaskan pilihan bagi proses elektrifikasi EV kami,”tambahnya lagi.

Orral Nadjari, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Britishvolt berkata,“Kami teruja dengan kerjasama Aston Martin dalam membangunkan EV yang dikuasakan oleh sel bateri mampan berkarbon rendah Britishvolt.”

Festival Toyota Gazoo Racing musim kelima kini kembali, bermula 18 Mac ini

Toyota GAZOO Racing yang diperkenalkan di Malaysia sejak 2017 kini kembali untuk musim yang kelima.

Festival GAZOO Racing pada tahun ini akan memfokuskan kepada beberapa bahagian iaitu perlumbaan di dalam litar dan juga secara maya, melalui Festival Toyota GAZOO Racing dan GR Velocity Esports Championship.

Musim kelima ini akan membawakan Vios Challenge one-make series yang akan berlangsung sebanyak tiga pusingan. Pusingan pertama akan berlangsung pada 18 hingga 20 Mac ini, diikuti dengan pusingan kedua pada 24 hingga 26 Jun dan pusingan akhir pula akan berlangsung pada 23 hingga 25 September nanti.

Perlumbaan kali ini juga akan dibahagikan kepada empat kelas perlumbaan iaitu promotional, super sporting, sporting dan rookie.

Selain itu, pelumbaan ini akan dilangsungkan secara maya dengan penganjuran GR Velocity Esports Championship musim kelima. Acara ini telah menarik hampir 1000 orang peserta dan satu juta tontonan sejak diperkenalkan pada tahun 2018.

Dalam masa sama, Toyota dan GAZOO Racing akan memperkenalkan beberapa model baharu versi GR dan GR-Sport untuk tahun 2022. Untuk rekod, sehingga kini hanya terdapat tiga model sahaja yang ditawarkan bagi pasaran Malaysia iaitu GR Supra, GR Yaris dan GR-Sport Vios.

Di samping itu, UMW Toyota Motor juga merancang untuk melebarkan rangkaian GR Garage ke seluruh negara. Ini termasuk tawaran bagi pembelian alat ganti aftermarket secara komprehensif dan juga cenderahati buat pemilik Toyota dan juga versi GR.

GAZOO Racing juga turut mengumumkan juara tiga kali Vios Challenge bagi kategori super sporting class, Tengku Djan Tengku Mahaleel selaku duta bagi festival ini.

Jualan tidak capai sasaran, penjawat awam diwajibkan beli tiket MotoGP

Jualan tiket perlumbaan MotoGP yang bakal berlangsung di Litar Mandalika, Indonesia pada 19 dan 20 Mac ini dilaporkan kurang mendapat sambutan.

Sehingga 20 Februari lalu, hanya 21,530 kepaing tiket sudah terjual manakala kerajaan tempatan menyasarkan sebanyak 35,000 akan dijual.

Demi memastikan sasaran jualan tercapai, pihak berkuasa tempatan bakal mewajibkan semua penjawat awam untuk membeli tiket perlumbaan berkenaan.

Harga tiket MotoGP di negara itu dijual antara 431,000 hingga 2.5 juta rupiah (bersamaan RM125 hingga RM728).

Litar Mandalika. Kredit: MotoMalaya

Sambutan masyarakat tempatan terhadap perlumbaan itu amat tinggi memandangkan ini kali pertama perlumbaan MotoGP dianjurkan di negara tersebut, namun beberapa situasi menyebabkan penjualan tiket perlahan.

Situasi Covid-19 terkini juga menjadi faktor penyumbang kerana para pengunjung perlu berbelanja lebih bagi melakukan ujian Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke dalam litar.

Selain itu, Presiden Joko Widodo (Jokowi) juga sebelum ini meminta supaya jumlah pengunjung bagi acara permotoran itu dikurangkan bagi mengawal penularan Covid-19.

Persatuan Grand Prix Mandalika sebelum ini mencadangkan supaya sebanyak 100,000 pengunjung dibenarkan menyaksikan perlumbaan itu sebelum diturunkan kepada 60,000 orang.

 

GoCar lancar kempen GOLADIES, tawar 70 peratus diskaun servis

GoCar Malaysia telah mengumumkan kempen GOLADIES sempena meraikan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini.

Kempen tersebut menawarkan penjimatan sebanyak 70 peratus ke atas semua pakej servis asas GoCar Garage bermula sekarang hingga 31 Mac 2022.

Ia boleh didapati menerusi aplikasi lengkap GoCar, dengan menggunakan kod promo GOLADIES.

300 orang pelanggan pertama akan menikmati kadar servis istimewa untuk penukaran minyak pelincir selama 45 minit.

Pakej pelincir mineral ditawarkan dengan harga promosi iaitu RM30 manakala pakej pelincir semi-sintetik pula ditawarkan pada RM38. Bagi pakej pelincir sintetik penuh pula, harga yang ditawarkan adalah RM60.

Kempen GOLADIES ini hanya boleh didapati di Lembah Klang. Kesemua kenderaan ini akan diservis di hab GoCar Garage, Petaling Jaya.

Selain penukaran minyak enjin selama 45 minit, GoCar Garage turut menawarkan pelbagai perkhidmatan lain seperti pemeriksaan dan penukaran bateri, servis tayar, membaiki dan penyelenggaraan sistem pendingin hawa, brek, sistem penyejukan enjin, diagnostik elektrikal serta pembaikan badan dan cat.

Menerusi aplikasi GoCar, pelanggan boleh membuat dan mengesahkan temu janji servis mereka dengan senang, memilih atau meminta servis yang diperlukan, membuat pembayaran serta menguruskan penghantaran terus ke rumah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

 

Selamat tinggal Litar Sochi, tiada lagi perlumbaan F1 di Rusia

PENGANJUR perlumbaan Formula 1 (F1) telah menamatkan terus kontrak penganjuran Grand Prix (GP) Rusia berikutan serangan ke atas Ukraine.

Sebelum ini, pihak F1 telah mengumumkan hanya pembatalan perlumbaan bagi musim ini yang dijadualkan berlangsung di Litar Sochi pada September.

Kredit: Skysports

Terbaru, pihak penganjur telah mengesahkan bahawa tidak akan ada perlumbaan di Rusia untuk musim-musim yang seterusnya.

Keputusan ini dicapai setelah pertemuan di antara pihak penganjur F1, Fédération Internationale de l’Automobile (FIA) dan pemilik pasukan.

Perkembangan terbaru bukan sahaja melibatkan sukan perlumbaan F1 bahkan ia turut melibatkan hampir  ke semua jenis sukan yang lain.

Dalam perkembangan lain, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa turut menggantung penyertaan atlet Rusia dan Belarus dari menyertai Sukan Paralimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

Kredit: Skysports

Khamis lalu, pihak Motorsport UK telah mengantung penyertaan pelumba dari Rusia bagi menyertai mana-mana perlumbaan di United Kingdom (UK).

Ini bererti pemandu pasukan Haas, Nikita Mazepin hilang kelayakan untuk berlumba di GP British pada Julai nanti.

Turut digantung adalah penglibatan penaja pasukan Haas iaitu Uralkali milik bapa kepada pemandu F1 ini iaitu Oligarch Dmitry Mazepin.

Pasukan Haas telah bertindak membuang pelekat jenama syarikat baja dari Rusia itu ketika melakukan ujian akhir di Barcelona minggu lalu.

Honda RS150R 2022 dengan warna baharu, enjin lebih berkuasa

BOON Siew Honda telah memperkenalkan Honda RS150R bagi tahun 2022. Perubahan ini dapat dilihat melalui pengenalan tiga warna baharu iaitu Vivacity Red, Pearl Nightafall Blue dan Radiate Grey Metallic.

Untuk model tahun 2022, enjinnya kini mematuhi piawaian pelepasan Euro 4 di samping penambahan muffler baharu.

RS150R ini dikuasakan oleh enjin sejukan cecair 4-lejang DOHC 149.2cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 15.8hp dan 13.6Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan, klac manual serta pemacu rantai.

Selain dari prestasi tunggangan yang praktikal, Honda RS150R ini turut mempunyai pelbagai ciri menarik seperti meter kelajuan digital dengan paparan pelbagai maklumat, lampu utama LED serta sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang.

Harga yang ditawarkan untuk model ini adalah RM8,299 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Boon Siew Honda juga menawarkan dua tahun waranti atau 20,000km bagi setiap pembelian motosikal ini.

Polestar O2 Concept, roadster elektrik dengan dron pintar

TANPA bumbung, tanpa bunyi dan tanpa asap. Itu merupakan idea yang diperkenalkan oleh Polestar bagi konsep terbaharunya iaitu Polestar O2 Concept.

Konsep baharu ini merupakan sebuah roadster janaan elektrik yang bakal mendefinisikan semula kereta sports di masa hadapan.

Dengan konfigurasi tempat duduk 2+2, konsep roadster Polestar O2 ini mempunyai bumbung jenis hardtop yang boleh dibuka. Ia turut berkongsi kerangka seni bina berasaskan bonded aluminum sama seperti model Polestar 5.

Apa yang menarik, Polestar O2 ini turut dilengkapi dengan sebuah dron jenis autonomous cinematic yang berfungsi untuk merakam pemanduan anda dari luar.

Kredit: wired.com

Dron ini berupaya untuk merakam sehingga kelajuan 90km/j sekaligus membuatkan anda terasa seperti bintang filem seperti dalam sekuel Fast And Furious.Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Polestar, Thomas Ingenlath, penggunaan dron ini bukanlah gimik semata-mata.

“Kami di Polestar merasakan dron ini akan memberikan pengalaman baru bagi merakam detik pemanduan anda berbanding hanya menggunakan telefon pintar,” katanya.

“Ini adalah hasil gabungan rekaan, kejuruteraan serta bakat dan teknologi yang kami ada di Polestar.

“Ia memberikan kesoronokan yang luar biasa melalui pengalaman pemanduan dengan bumbung terbuka tanpa sebarang gangguan dari bunyi enjin,” tambahnya lagi.

Walaubagaimanapun, Polestar masih belum mengumumkan rangkaian kuasa serta jenis pek bateri yang bakal digunakan pada model O2 ini.

Melaka bakal dijadikan hab pemasangan EV, dijangka beroperasi Q3 2024

TIGA syarikat dari China berminat untuk membina kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) di Melaka.

Syarikat tersebut adalah Changan Automobile Corporation (Changan) serta dua lagi syarikat pengeluar EV untuk e-hailing dan bas elektrik.

Kilang pemasangan Tesla. Gambar oleh: CNBC

Kerajaan negeri memaklumkan bahawa sebelum ini terdapat beberapa syarikat antarabangsa dari China yang berminat untuk melabur dan menjadikan negeri ini sebagai hab pemasangan EV pertama negara dan dijangka memulakan operasi suku ketiga 2024.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Pelaburan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, pihaknya sedang menantikan garis panduan serta prosedur daripada kerajaan pusat bagi tujuan berkenaan.

Ini termasuk garis panduan dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membuka kilang pemasangan berkenaan.

Sehingga kini Malaysia masih belum mempunyai kilang pemasangan seumpamanya maka disebabkan itu  ia memerlukan garis panduan baharu, jelas beliau.

“Di samping itu, para pelabur juga boleh mendapat insentif-insentif daripada kerajaan pusat berdasarkan garis panduan sebelum ini,” kata Ab. Rauf.

“Kerajaan negeri di bawah portfolio saya sedang mengenal pasti kawasan baharu dan meneliti semua dapatan hasil kajian yang diperlukan oleh syarikat-syarikat yang berminat bagi membuka kilang di negeri ini.

“Insya-Allah, ia akan mengambil masa sedikit kerana memerlukan kawasan yang luas serta kemudahan infrastruktur yang baik,” katanya kepada pemberita pada Isnin (28 Februari 2022).

“Saya percaya dengan terbinanya kilang itu nanti, ia akan memberikan pulangan kepada rakyat sekali gus menyediakan pekerjaan dalam industri kereta masa depan ini,” tambah beliau.

Pesawat kargo terbesar dunia, Antonov An-225 musnah dalam serangan Rusia di Ukraine

PESAWAT kargo terbesar dunia, Antonov An-225 dilaporkan telah musnah semasa serangan Rusia terhadap Ukraine baru-baru ini.

Imej satelit dari Maxar Technologies yang menunjukkan kemusnahan semasa serangan.

Pesawat malang itu berada di Lapangan Terbang Gostomel yang terletak 25km dari Kyiv bagi proses penyelenggaraan ketika serangan.

Menurut Ukroboronprom, syarikat pertahanan milik Ukraine yang menguruskan Antonov, mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status terkini pesawat tersebut.

Kenyataan rasmi tersebut telah menyatakan bahawa Antonov An-225 telah pun musnah pada Ahad lalu dan menjangkakan kos pembinaan semula sekitar USD3 Billion yang bersamaan RM12.6 Billion.

Selain itu, kenyataan rasmi tersebut turut menyatakan tempoh pembinaan semula akan mengambil masa sekitar lima tahun.

Ketika kejadian, dilaporkan bahawa salah sebuah enjin dalam proses baik pulih sekaligus menyebabkan pesawat itu tidak mampu terbang meskipun arahan telah pun dikeluarkan untuk mengosongkan lapangan terbang.

Antonov An-225 merupakan satu-satunya pesawat kargo terbesar dunia dengan kapasiti muatan 250 tan. Pesawat ini mempunyai bukaan wingspan sepanjang 88 meter dan 84 meter panjang serta dikuasakan dengan enam unit enjin turbofan.

Pesawat ini sering kali menarik perhatian setiap kali kemunculannya di serata dunia dan pernah membuat pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tahun 2018.