All posts by Hans

Wartawan yang masih menabung demi sebuah Aventador

Hawk belum digantung, timbalan menteri sahkan siasatan masih berjalan

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat nahas pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas, malam tadi.

Siasatan akan dilakukan dalam pelbagai aspek termasuk operasi dan latihan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Jelas Ikmal, setakat ini masih terlalu awal untuk membuat keputusan bagi menggantung penggunaan pesawat jenis berkenaan semasa siasatan sedang berjalan.

Semalam, sebuah pesawat tempur jenis Hawk 108 terhempas kira-kira pukul 10.07 malam di Pangkalan Udara Butterworth TUDM.

Nahas menyebabkan juruterbang TUDM Kapten Mohamad Affendi Bustamy maut, manakala Mejar Mohd Fareez Omar cedera.

Mohd Fareez sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Perodua buat kajian pasaran, bakal perkenal Ativa hybrid?

SYARIKAT Perodua mengesahkan sedang menguji kenderaan jenis Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid sebagai sebahagian daripada rancangan kajian pasaran di negara ini.

Presiden merangkap CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, unit ujian Daihatsu Rocky Hybrid itu akan dinilai dan sebarang perincian lanjut bakal diumumkan kelak.

Katanya, ujian itu penting bagi mendapatkan maklum balas daripada para pelanggan termasuk pihak berkepentingan lain.

“Perodua menjalankan kajian pasaran serta meninjau sejauh mana penerimaan (hybrid) di Malaysia.

“Ia termasuk takat harga yang boleh diterima serta melihat sama ada model hybrid kami mampu menepati peraturan dan keperluan badan kawal selia yang ada,” katanya.

Zainal berkata demikian pada ketika majlis memperkenalkan model Perodua Myvi 2022, semalam.

Sebelum ini, sebuah model Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid kelihatan di jalan raya sekitar Kuala Lumpur lalu tular di media sosial.

Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid dikuasakan oleh hybrid mempunyai persamaan dengan sistem terdapat pada e-Power Nissan.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) ini mempunyai kuasa 106 PS pada 170 Nm dengan enjin WA-VEX 1.2 liter kitaran Atkinson tiga-silinder.

Bagi enjin petrolnya pula, ia menghasilkan 82 PS pada 5,600 rpm dan 105 Nm tork dari 3,200 hingga 5,200 rpm.

Daihatsu memaklumkan antara kelebihan lain terdapat pada sistem ini adalah bateri lithium-ion yang bersaiz kecil selain menjimatkan kos.

Pesawat Hawk 108 terhempas, seorang juruterbang TUDM terkorban [kemas kini]

PESAWAT pejuang jenis Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas kira-kira jam 10.07, malam tadi.

Insiden meragut nyawa seorang juruterbang TUDM sementara, seorang lagi juruterbang mengalami kecederaan.

Perkara itu disahkan Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi laman sosial Twitter.

Jelas Hishammuddin, beliau menerima khabar duka tersebut selepas dimaklumkan oleh Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

“Baru terima panggilan daripada Panglima @tudm_rasmi Jen TS Ackbal memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 yang terhempas di Butterworth tadi.

“Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera,” katanya.

Setakat ini, tiada laporan menyeluruh mengenai punca nahas.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata pasukan TUDM diarah melakukan siasatan segera dan memberikan laporan terperinci dengan secepat mungkin.

“TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian,” katanya lagi.

KEMASKINI

Dalam kemas kini terkini oleh laman Instagram @tudm_rasmi, dua juruterbang yang terlibat adalah Mejar Mohd Fareez bin Omar (cedera) dan Kapten Mohamad Affendi bin Bustamy (terkorban).

Menurut kenyataan itu juga, kedua-dua juruterbang telah berkahwin dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan.

Pihak TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan ini, tambah kenyataan itu.

Isu bekas PM masih terima pengiring trafik, KPN jawab warga maya

BEKAS perdana menteri layak menerima khidmat pengiring trafik dan keselamatan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berdasarkan Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980 (Akta 237) berhubung keistimewaan bekas perdana menteri.

Acryl menjelaskan, bekas perdana menteri berdepan tindakan undang-undang masih layak menerima perkhidmatan itu sehingga proses rayuan dimuktamadkan mahkamah.

“Buat masa ini, PDRM memberikan perkhidmatan berkenaan kepada kesemua bekas perdana menteri Malaysia.

“Sejak akhir-akhir ini, PDRM mengesan beberapa pihak mempertikaikan keistimewaan pengiring keselamatan dan pengiring trafik untuk bekas-bekas perdana menteri,” katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. – Foto ihsan Malay Mail

Terdahulu, Acryl berkata khidmat kedua-dua pengiring berkenaan disediakan PDRM berdasarkan kepada peruntukan di bawah Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa individu mempertikaikan bekas perdana menteri masih menggunakan khidmat pengiring trafik dan keselamatan walau dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

PLUS: Rancang perjalanan, lorong kecemasan dari Tapah ke Bidor ditutup

LORONG kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan bermula dari Tapah hingga ke Bidor (arah selatan) ditutup sehingga 19 November ini.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berkata, ia ditutup bagi semua kenderaan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan.

Bagaimanapun, PLUS memaklumkan lorong kanan di kawasan terlibat masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Foto ihsan PLUS

Memetik kenyataan PLUS, semua pemandu diminta merancang perjalanan selain menggunakan Aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini.

Aplikasi tersebut dapat memberi informasi keadaan trafik termasuk memaparkan visual semasa keadaan jalan.

Terdahulu, PLUS turut meminta semua pemandu kekal mematuhi papan tanda trafik serta arahan dikeluarkan oleh kakitangan PLUS.

Untuk maklumat lanjut atau ingin mendapatkan bantuan kecemasan sila hubungi PLUSLine di 1800-88-0000.

Mazlan: 82 peratus kenderaan Polis Kontijen Negeri Sembilan lebih usia

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan 82 peratus daripada 827 kenderaan milik Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah melebihi had usia penggunaan.

Mazlan berkata, aset berkenaan akan digantikan mengikut kemampuan bajet diperuntukkan kerajaan dari masa ke masa.

Jelasnya, kenderaan terbabit bagaimanapun masih dapat digunakan susulan penyeliaan dan penyelenggaraan mengikut jadual.

“Itu sebabnya kita masih lagi dapat menggunakan kenderaan itu, dari masa ke masa kita akan gantikan kenderaan tersebut dalammelaksanakan tanggungjawab.

“Kita yakin bahawa kenderaan yang ada di kontinjen ini masih dapat digunakan dan kita dapat selenggara dengan baik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program penyerahan kenderaan pasukan kepada ketua polis daerah dalam kontinjen Negeri Sembilan, hari ini.

Sementara itu, Mazlan memaklumkan pengurusan aset berusia itu melibatkan kos tinggi dan bukan suatu yang mudah untuk ditangani.

Sebanyak 25 kenderaan jenis Toyota Hilux GS Cargo dan van Go Auto Higer Ace diserahkan kepada kontinjen Negeri Sembilan.

Ia adalah keseluruhan daripada 640 unit yang diedarkan di seluruh negara melibatkan kos RM108 juta bagi kegunaan penugasan anggota polis.

Ipoh bakal terima kemudahan LRT, pengangkutan awam makin efisyen

BERITA baik untuk warga Ipoh yang mana bakal menikmati perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) tidak lama lagi.

Exco kerajaan negeri Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia antara rangka pembangunan bagi mewujudkan hab pengangkutan lebih moden.

Jelasnya, LRT juga diharap dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Ipoh dan kawasan sekitar pada masa hadapan.

“Kos dan tempoh pembinaan hab pengangkutan itu masih dalam peringkat kajian.

“Kita akan jadikan ia sebagai hab pengangkutan yang lebih efisien dan moden kerana di Ipoh ini masih banyak lagi (tempat) perlu menggunakan kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam,” katanya.

Selain LRT, hab pengangkutan bersepadu itu akan disokong dengan kemudahan bas rapid transit, trem, bas serta teksi bagi meningkatkan mobiliti penduduk.

Pada masa sama, ia juga memberi kemudahan pengangkutan kepada pelancong yang berkunjung ke Ipoh.

Hyundai kian dipercayai, susut nilai kereta setara dengan jenama Jepun

HYUNDAI-Sime Darby Motors (HSDM) memaklumkan nilai jualan semula kereta jenama itu kini hampir sama dengan kenderaan keluaran syarikat Jepun.

Menurut Pengarah Urusannya Low Yuan Lung, andaian kenderaan Hyundai mempunyai nilai jualan semula lebih rendah adalah tidak berasas.

Katanya, Hyundai kini mampu membuktikan bahawa produk dihasilkan kini lebih berkualiti selain mempunyai rekaan menarik.

“Perbezaan harga model kenderaan Hyundai berusia lima tahun berbanding model setara dari pengeluar Jepun tidak begitu ketara.

“Hal yang sama berlaku bagi nilai penyusutan bagi kedua-dua keluaran itu selepas lima tahun,” jelasnya.

Setakat ini, Hyundai berjaya menampilkan inovasi dan teknologi canggih yang mampu bersaing dengan jenama premium Eropah.

Untuk rekod, model Hyundai terpakai banyak terjual sebaik syarikat itu melancarkan program kereta terpakai, Hyundai Promise.

Antara kelebihan program ini termasuk pemeriksaan secara menyeluruh, servis dan penggunaan alat ganti tulen.

Hyundai Promise dimiliki dan dikenalikan oleh HSDM selain disokong oleh Sime Darby Auto Selection.

Selesai isu bekalan cip, Toyota beroperasi seperti biasa bermula Disember

TOYOTA memaklumkan semua kilangnya di Jepun akan kembali beroperasi seperti biasa bermula Disember selepas berdepan masalah kekurang bekalan cip semikonduktor.

Memetik laporan media, langkah itu bakal menyaksikan penghasilan lebih 800,000 kenderaan baharu.

Sebelum ini, Toyota mengurangkan pengeluaran kenderaannya di seluruh dunia sehingga 15 peratus ekoran masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor.

Amerika Utara antara benua terjejas teruk akibat masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor yang mana hanya 170,000 unit dihasilkan Toyota sepanjang September.

Sementara itu, Toyota juga menghentikan produksi di tiga kilang pengeluarannya di Thailand akibat kekurangan bekalan komponen.

Bagaimanapun, Toyota memberi jaminan akan terus mengukuhkan rantaian bekalan agar dapat memenuhi permintaan pelanggan.

AS wajibkan pemasangan alat kesan pemandu mabuk pada kenderaan baharu

PELBAGAI usaha dilakukan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bagi mengatasi kemalangan jalan raya akibat kecuaian pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Terbaharu, Kongres Amerika Syarikat meluluskan undang-undang mewajibkan pemasangan alat pemantauan pemandu mabuk bagi setiap kenderaan baharu bermula tahun 2026.

Lapor Business Insider, alat itu perlu berfungsi dengan mengesan cara pemanduan sekaligus mengetahui sama ada pemandu berada di bawah pengaruh alkohol atau sebaliknya.

Jika pemandu didapati mabuk, alat tersebut secara automatik akan mengehadkan operasi kenderaan.

Bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan AS masih belum memutuskan teknologi sesuai untuk pemasangan dalam kenderaan selain, memberi masa kepada pengeluar membuat kajian lanjut.

Berdasarkan data National Highway Traffic Safety Administration, satu pertiga daripada kes kemalangan di AS adalah berpunca daripada pemandu mabuk.

Dianggarkan 10,000 individu maut sejak 2010 sehingga 2019 akibat pengaruh aklkohol sekaligus melahirkan kebimbangan kepada pihak berkuasa negara itu.

Enjin MT-09 2021 patuhi standard Euro 5, harga bermula RM54,998

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) secara rasmi mengumumkan harga bagi model MT-09 2021.

Motosikal ‘naked’ ini dijual pada harga sekitar RM54,998 tidak termasuk insurans.

Setakat ini, Yamaha hanya menawarkan dua warna bagi model tersebut iaitu Icon Blue dan Storm Fluo.

Foto ihsan Yamaha

Terdapat beberapa pembaharuan pada model MT-09 yang melibatkan bahagian lampu hadapan selain penggunaan kerangka aluminium bagi memberi tunggangan lebih stabil dan dinamik.

Selain itu, ia juga dilengkapi panel paparan TFT berwarna 3.5 inci yang turut menyediakan informasi kedudukan gear jentera.

Foto ihsan Yamaha

Bagaimana pula dengan enjin? MT-09 menggunakan enjin sama dengan model Tracer 9 2021.

Ia didatangkan dengan unit tiga silinder 890 cc dengan 119 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 7,000 rpm.

Demi menjaga alam sekitar, enjin ini turut mematuhi tahap emisi Euro 5!

Berikut antara ciri lain terdapat pada MT-09 2021:

Memilik klac jenis A&S

Sistem gear quickshifter

Sistem Traction Control

Slide Control System (SCS)

Front Wheel Lift Control System (LIF)

Brake Control System (BC)

Foto ihsan Yamaha

Yamaha masih menggunakan fork 41 mm serta monoshock boleh dilaras. Namun, ia telah ditala semula agar sesuai dengan casis serta lengan ayun baharu.

Brek pula menggunakan pam utama radial bagi menghantar tekanan minyak kepada set berkembar angkup empat piston dan cakera 298 mm.

Pada bahagian brek belakang, ia menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston.

Demikian antara maklumat yang boleh kami kongsi kepada anda setakat ini.

Jika berminat, tunggu apa lagi? Segera ke pengedar sah Yamaha berdekatan anda sekarang!

Enam syarikat setuju henti keluar kenderaan guna bahan bakar menjelang 2040

ENAM syarikat automotif dikatakan bersetuju menghentikan penghasilan kenderaan berenjin menggunakan bahan api petrol dan diesel.

Memetik laporan Nikkei Asia, kesemua syarikat automotif berkenaan bersetuju menamatkan pengeluaran kenderaan menggunakan bahan api menjelang tahun 2040.

Antara syarikat dimaksudkan termasuk Ford, General Motors, Volvo, Mercedes-Benz, BYD dan Jaguar Land Rover.

Terdahulu, satu perbincangan diadakan antara kerajaan British dengan beberapa pengeluar kenderaan pada sidang berkaitan cuaca (COP26) di Glasgow.

Volvo antara syarikat memberi komitmen untuk menghasilkan kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030. – Foto ihsan Volvo Car Malaysia

Perbincangan antara lain memberi tumpuan terhadap penamatan penghasilan kenderaan berenjin menggunakan bahan bakar selain memperhebat pengeluaran electric vehicle (EV).

Bagaimanapun, masih terdapat pengeluar kenderaan tidak terlibat dengan perjanjian dimeterai.

Syarikat terbabit termasuk Volkswagen dan Toyota selain beberapa syarikat dari China serta Jerman.

Setakat ini, penghasilan EV kebanyakannya dihasilkan oleh syarikat automotif mewah dengan harga yang agak tinggi.

Justeru, wujud persoalan mengenai nasib golongan pertengahan sama ada mempunyai peluang untuk memiliki EV atau sebaliknya.

Syarikat konsesi tampil beri penjelasan kontroversi projek pembinaan SKE

Status projek Lebuhraya Sungai Klang (SKE) akhirnya terungkai dengan penjelasan terbaharu daripada syarikat konsesi Sungai Klang Expressway Sdn Bhd (SKESB).

Semalam, SKESB menjelaskan projek pembinaan SKE masih belum mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor.

Memetik kenyataan dikeluarkan, SKESB bagaimanapun mengakui telah menyerahkan cadangan pembinaan projek lebuh raya tersebut.

“SKESB telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan perhatian untuk Menteri Kerja Raya pada 19 November 2020.

“SKESB telah dijemput untuk membentangan cadangan tersebut ke Jawatankuasa Penswastaan Kementerian Kerja Raya pada 27 Mei dan sedang menunggu maklum balas,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video mendakwa bahawa kerajaan negeri Selangor telah meluluskan projek SKE.

Namun, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Negeri menafikan perkara tersebut.

Jelas Izham Hashim, kerajaan Selangor tidak pernah memberi kelulusan kepada pembinaan lebuh raya baharu tersebut.

Sementara itu, SKESB memberi jaminan akan sentiasa memberi penekanan terhadap pematuhan proses kelulusan yang sewajarnya.

Ini kerana sebarang projek pembinaan lebuh raya perlu dilakukan mengikut peraturan serta prosedur ditetapkan oleh pihak berwajib.

“SKESB komited untuk melibatkan semua agensi berkaitan dan badan kerajaan secara tepat pada masanya dan teratur setelah mendapat kelulusan kerajaan,” katanya lagi.

Tinggalkan Moto2, Hafizh bakal sertai World SBK?

BEKAS pelumba MotoGP Hafizh Syahrin Abdullah dikhabarkan bakal menyertai perlumbaan World SBK musim depan.

Khabar angin bertiup kencang yang mana Hafizh dikatakan bakal menyertai pasukan MIE Racing Honda Team.

Memetik laporan Tarmac Sports Malaysia, rundingan masih berjalan antara Hafizh dan MIE Racing Honda Team.

“Khabar angin mengatakan Hafizh Syahrin akan ke World SBK 2022 semakin positif.

“Ketika ini rundingan antara pasukan MIE Racing Honda Team dan pihak Hafizh adalah 50 peratus,” memetik status Facebook Tarmac Sports Malaysia.

Hafizh Syahrin mengalami kecederaan ketika aksi perlumbaan Moto2 Grand Prix Austria, tahun lalu. – Foto ihsan Malay Mail

MIE Racing Honda Team dimiliki oleh Midori Moriwaki merangkap prinsipal pasukan.

Pasukan MIE Racing Honda Team menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R Fireblade SP dengan mendapat sokongan daripada Honda Factory.

Sebelum ini, Hafizh membuat pengumuman mengejut apabila memaklumkan tidak lagi menyertai perlumbaan Moto2 pada musim depan.

Jelas pelumba kelahiran Selangor itu, dirinya telah menggunakan kewangan peribadi selama lebih dua tahun bagi meneruskan karier sebagai pelumba Moto2.

Kerajaan pastikan bekalan elektrik mampu tampung permintaan EV

KERAJAAN masih merangka kaedah terbaik memastikan aspek berkaitan bekalan elektrik negara mampu menampung keperluan pengguna kenderaan elektrik (EV).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan memandang serius akan keperluan penggunaan tenaga negara itu.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada masa sama memberitahu kerajaan juga amat menggalakkan pengeluaran dan pemasangan kenderaan cekap tenaga (EEV).

“Peralihan kepada EEV dan industri EV (electric vehicle) ini perlu dibuat secara berhati-hati

“Antara langkah yang kerajaan lakukan sekarang ialah menggalakkan pengeluaran dan pemasangan EEV yang turut merangkumi elektrik dan hibrid,” katanya.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – Foto ihsan Malay Mail

Mohamed Azmin berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengenai strategi kerajaan menarik pelaburan sektor pengilangan komponen EV.

Ketika ini kerajaan giat mengatur strategi menarik pelaburan dalam pemasangan komponen berkaitan industri EV.

Ia selari dengan dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang dilancarkan pada April lalu

“NIA diluluskan pada April tahun ini dengan keutamaan menarik pelaburan berteknologi tinggi bagi mewujudkan pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

“Syarikat Repulik Korea telah melakukan pelaburan bernilai RM4.24 bilion di Sabah untuk mengeluarkan kerajang tembaga bagi tujuan pembuatan dan pengeluaran bateri kenderaan EV

“Inilah antara langkah awal yang berjaya kita laksanakan,” katanya lagi.

Lam Thye kecewa, dakwa tiada peruntukan keselamatan jalan raya

PASCA pembentangan Belanjawan 2022, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat meluahkan rasa kecewa dengan pengurangan peruntukan dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya.

Tan Sri Lee Lam Thye mendakwa, tiada peruntukan khas bagi melaksanakan projek keselamatan jalan raya walau angka kematian akibat nahas amat membimbangkan.

Katanya, Ikatan Komuniti Selamat telah menghantar cadangan kepada kerajaan agar memberi peruntukan terutama membabitkan pembinaan serta penyelenggaraan lorong khas motosikal.

“Nampaknya tiada langsung kemahuan politikal untuk menyediakan peruntukan kewangan bagi menyiapkan lorong motosikal.

“Kalau dilaksana boleh menyelamatkan ribuan nyawa, terutamanya warga muda.

“Ini dapat dibuktikan bukan sahaja berdasarkan kajian berterusan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), tetapi juga pemikiran waras,” katanya.

Lorong khas motosikal penting sebagai usaha mengurangkan kemalangan kalan raya.

Ini memandangkan kenderaan motosikal akan diasingkan dengan kenderaan lain di jalan raya yang saiznya jauh lebih besar.

Terdahulu, Lam Thye berharap kerajaan serta ahli politik memainkan peranan lebih besar agar kemalangan motosikal dapat dibanteras.

“Tujuh daripada 10 kematian atas jalan raya adalah daripada pengguna motosikal, sekaligus menjadikan Malaysia semakin hampir kepada Thailand.

“Populariti servis penghantaran semakin meningkat sekarang, jumlah kematian juga akan naik.

“Sehinggalah kerajaan dan pemimpin politik sedar realiti sebenar kematian yang boleh dibendung ini banyak memberikan impak sosial dan ekonomi kepada negara,” katanya lagi.

Fadillah: 1,474 cerun berisiko tinggi di Jalan Persekutuan seluruh negara

MUSIM Monsun Timur Laut melanda negara dibimbangi menjejaskan struktur jalan di beberapa buah negeri terlibat.

Menteri Kanan Kerja Raya berkata, lebih 1,474 cerun dikenal pasti berisko tinggi di Jalan Persekutuan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan, Jalan Persekutuan dimaksudkan adalah FT1, FT3, FT4, FT5, FT8, FT86, dan FT185.

“Ia dikenal pasti melalui Peta Bahaya dan Risiko Cerun oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk cerun-cerun di sepanjang Jalan Persekutuan,” katanya.

Fadillah berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, pihak berwajib juga sedang memantau cerun di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 dan LPT Fasa 2.

Pada masa sama, pihak berwajib telah memasang Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (EWS) di lokasi berisiko melalui penggunaan sistem telemetri.

Ia akan memberi amaran awal apabila ‘rainfall index’ pada tolok hujan yang dipasang melebihi tahap amaran.

Terdapat 48 stesen tolok hujan di seluruh negara dengan 36 daripadanya terletak di Semenanjung Malaysia.

Negeri Pantai Timur berdepan musim monsun bermula Oktober hingga Mac tahun depan.

Hantar ubat guna dron, Pharmaniaga Bhd akui jimat masa

TIDAK mustahil penghantaran ubat dapat dilakukan secara meluas di negara ini dengan menggunakan pesawat tanpa pemandu atau dron.

Perkara itu diakui syarikat Pharmaniaga Bhd yang bercadang menggunakan dron bagi penghantaran ubat gred farmaseutikal.

Menurut syarikat itu, penggunaan dron dapat meningkatkan keupayaan logistik dan menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses.

Pada masa sama, penggunaan dron juga mengurangkan masa dan kos penghantaran selain meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.

Setakat ini, percubaan telah dilakukan bagi penghantaran bekalan ubat dari jeti Manjung ke Klinik Kesihatan Pulau Pangkor, Perak.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Bhd Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, tiga kilogram ubatan dibawa menggunakan dron ke pulau itu.

“Penghantaran normal menggunakan feri dari jeti di Manjung ke klinik di Pulau Pangkor mengambil masa kira-kira 30 minit.

“Hanya 3.5 minit apabila menggunakan dron seperti didemonstrasi oleh kami…dengan jarak penglihatan lemah akibat 100 peratus litupan awan,” katanya.

Penghantaran ubatan ke Pulau Pangkor itu dikenali sebagai Project Eagle.

Jarak penghantaran dari jeti Manjung ke Pulau Pangkor sekitar 4.2 kilometer dan diketuai juruterbang wanita.

Projek itu mendapat sokongan oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia.

Selain itu, Taman Teknologi Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Boustead Holdings Bhd dan Meraque Services Sdn Bhd turut menyokong projek tersebut.

Jemu lumba di litar? Jom cuba trek RC aras bumbung pertama di Malaysia

ADAKAH anda peminat kereta kawalan jauh dan tidak tahu di mana lokasi menarik untuk bermain alat itu?

Jika ya, ini berita baik untuk anda terutama yang menetap di Lembah Klang.

Semalam, sebuah trek kereta kawalan jauh secara rasmi dibuka di SACC Mall Shah Alam sebagai usaha mempromosikan aktiviti sukan dan rekreasi terbuka.

Memetik laporan Selangor Kini, ia merupakan trek kereta kawalan jauh aras bumbung pertama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate (PREC) berkata, pembukaan trek itu juga diyakini dapat menarik minat semua golongan terutama anak muda.

“Kami percaya penganjuran bersama SACC Mall dan Bazaarlokal ini menjadi aktiviti luar yang hebat kerana menepati cita rasa semua generasi terutama golongan muda,” katanya.

Orang ramai kini boleh menyertai aktiviti perlumbaan kereta kawalan jauh di SACC Mall, Shah Alam. – Foto ihsan RC Planet Malaysia

Kereta kawalan jauh merupakan antara hobi yang diminati ramai bukan sahaja di negara ini malah, di serata dunia.

Antara kejohanan terkemuka dunia termasuk Kejohanan Dunia International Federation of Model Auto Racing (IFMAR) yang menawarkan hadiah lumayan.

Terdahulu, syarikat RC Planet turut menganjurkan pertandingan RC Car Tamiya pada semalam sebagai tanda simbolik pembukaan trek tersebut.

Ia disertai lebih 80 peserta bermula 10 pagi hingga enam petang.

Orang ramai berminat menggunakan fasiliti trek kereta kawalan jauh SACC Mall boleh berbuat demikian dengan membayar caj RM20 sehari.

Harley-Davidson Pan America 1250 harga dari RM99,900

MODEL baharu Harley-Davidson Pan America 1250 dilancarkan di pasaran Malaysia.

Didatangkan dengan enjin Revolution Max 1250, jentera ini mempunyai 150 kuasa kuda dengan 9,000 rpm dan 127 Nm pada 6,750 rpm.

Berdasarkan maklumat diterima, terdapat dua varian dipasarkan di negara ini iaitu versi standard dan special.

Foto ihsan Harley-Davidson

Apa yang membezakan versi standard dan special ciri tetapan suspensi semi-active terdiri daripada fork Showa BFF di depan dan Showa BFRC pada bahagian belakang.

Selain itu, terdapat juga fungsi Adaptive Ride Height pada model special.

Jadi, apakah itu Adaptive Ride Height?

Adaptive Ride Height membolehkan penunggang merendahkan ketinggian tempat duduk daripada 890 mm kepada 855 mm mengikut keselesaan.

Foto ihsan Harley-Davidson

Berikut ciri moden lain terdapat pada Harley-Davidson Pan America 1250:

Skrin paparan TFT 6.8 inci

Lampu diod pemancar cahaya (LED)

Sistem kawalan cengkaman

Sistem kawalan jelajah

Sistem bantuan mendaki

Seperti kebanyakan jentera mewah yang lain, Harley-Davidson Pan America 1250 juga didatangkan dengan sistem brek Brembo.

Pada masa sama, ia juga memiliki rim 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang) dengan tayar berjenama Michelin Scorcher Rubber.

Foto ihsan Harley-Davidson

Harga sebuah Harley-Davidson Pan America 1250 bermula dari RM99,900 hingga RM115,900.

Jika anda ingin tahu lebih lanjut, sila hubungi pengedar sah Harley-Davidson segera untuk lebih kepastian!

Chiow…