PEMILIK motosikal Modenas berdepan kejadian banjir Disember tahun lalu layak menerima Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia bernilai RM1,000.
Baucar tersebut boleh ditebus bagi proses membaiki motosikal yang rosak akibat banjir.
Modenas berkata, baucar tersebut juga boleh diguna sebagai bayaran mendapatkan motosikal baharu jika kenderaan sebelum ini rosak secara keseluruhan (total loss).
Beberapa lokasi di Shah Alam, Selangor terjejas teruk kerana dinaiki air. – Foto ihsan Malay Mail
Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Roslan Roskan, pihaknya sentiasa terbuka untuk memudahkan urusan mereka yang berdepan cabaran pasca banjir.
“Kami semua di Modenas berusaha sedaya upaya menyokong usaha murni seperti ini.
“Dengan sedikit usaha ini, kami berharap agar mangsa dapat bangkit untuk mendapatkan semula apa yang telah hilang,” katanya.
Motosikal yang tenggelam dalam banjir perlu diperbaiki segera bagi mengelak kerosakan lebih serius. – Foto hiasan ihsan Modenas
Pada Disember tahun lalu, negara digemparkan dengan kejadian banjir di beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan negeri Pantai Timur.
Bencana menyebabkan penduduk berdepan kerugian bukan sahaja melibatkan peralatan dalam rumah tetapi termasuk kenderaan seperti kereta dan motosikal.
Terdahulu, Modenas memaklumkan turut menawarkan diskaun tambahan 25 peratus untuk semua caj buruh dan kos alat ganti.
Untuk sebarang pertanyaan, pemilik motosikal yang terjejas boleh menghubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-181.
“KELUARGA” Honda ADV tidak dinafikan menjadi antara skuter pilihan ramai sejak kebelakangan ini.
Bermula model ADV 750 dan ADV 150, rata-rata pengguna bukan sahaja memuji kehebatan enjinnya tetapi turut mengilai reka bentuk yang menawan.
Atas dasar itu, Honda sekali lagi memperkenalkan satu lagi model ADV tahun lalu dikenali sebagai ADV 350.
Panel meter digital ADV350. – Foto ihsan Honda
Apa yang menarik, Honda dikhabarkan bakal membawa masuk ADV 350 ke pasaran Asean tahun ini!
Lapor RideApart, Honda ADV 350 bagaimanapun akan dilancarkan di Thailand pada bulan Mac dan diikuti pasaran negara Asia Tenggara yang lain.
Jadi, kepada anda berhajat mendapatkan sebuah skuter tahun ini harap bersabar dan nantikan pengumuman Honda dalam waktu terdekat terutama mengenainya harganya.
Recap ADV 150
Honda ADV 150 memberikan keselesaan tunggangan menyeluruh. – Foto ihsan PT AStra Honda Motor
Honda ADV 150 sesuai untuk kegunaan mereka yang gemar tunggangan secara lasak.
Ia merupakan sebuah skuter yang boleh melalui permukaan jalan gravel mahupun tunggangan dalam bandar.
Justeru, apakah yang membuatkan ADV 150 ini begitu berkuasa?
ADV 150 digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api PGM-Fi SOHC 149.3cc.
Ia juga dipadan dengan transmisi automatik V-Matic bagi menghasilkan kuasa 14.6 hp pada 8,500 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm.
Enjin ini turut didatangkan dengan fungsi Idling Sto System (ISS) yang memudahkan penunggang ketika berhenti di lampu isyarat.
Selain itu, ADV 150 juga didatangkan dengan tangki bahan api 8.0 liter dan fork teleskopik hadapan.
Berikut antara ciri menarik lain yang ada pada ADV 150:
JOHOR Port Bhd merangkul ‘Anugerah Syarikat Paling Berpengaruh di Asia’ bagi tahun 2021.
Kejayaan dirangkul pada Anugerah Kecemerlangan dan Kemampanan Korporat Asia (ACES) 2021 dan Anugerah Kecemerlangan Industri bagi Sektor Perkhidmatan Kategori 4 serta Anugerah Perdana Menteri.
Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata, pelabuhan itu telah mengambil pelbagai inisiatif untuk berinovasi sekaligus menjadikan Pelabuhan Johor sebagai antara terbaik di rantau ini.
Foto ihsan Johor Port
“Anugerah ini adalah bukti kemampuan kami dalam memahami dan menampung keperluan pasaran serta dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi,” kata Md Derick Basir.
Johor Port mengekalkan unjuran pertumbuhan volum keseluruhan tahun ke tahun sebanyak satu peratus tahun lalu, lapor Bernama.
Walaupun dunia berdepan pandemik Covid-19 namun, Johor Port terus beroperasi secara optimum tanpa sebarang gangguan terhadap aktiviti import, eksport dan logistik.
Sementara itu, Johor Port melancarkan pelan penambahbaikan operasi terminal kontenanya dengan fokus meningkatkan produktiviti dan kecekapan limbungan.
Sehubungan itu, ia telah menghasilkan pergerakan kasar sejam (GMPH) yang lebih baik sebanyak 25 kren berbanding GMPH sebanyak 22 kren sebelum ini.
USAHA menghasilkan kenderaan cekap tenaga atau elektrik vehicle (EV) terus menjadi tumpuan utama syarikat pengeluar kenderaan BMW.
Susulan itu, BMW Group Malaysia tampil memperkenalkan model EV terbaharu iaitu iX xDrive40 dan iX xDrive40 Sport.
Pengarah Urusannya Hans de Visser berkata, pengenalan model berkenaan menandakan permulaan sebuah era elektrifikasi baharu selain mempromosi mobiliti lestari di Malaysia.
“BMW iX yang pertama akan menandakan titik sejarah yang penting bagi mobiliti elektro di Malaysia.
“Sehubungan itu, BMW Malaysia berbangga mempersembahkan keupayaan pemanduan elektrik terunggul buat pelanggan setia kami, termasuk para peminat kenderaan elektrik.
“Kami percaya bahawa keupayaan BMW iX serta seluruh barisan kenderaan BMW i dapat memberi keyakinan kepada pemandu di Malaysia untuk memilih kenderaan elektrik,” katanya.
Majlis pengenalan model BMW xDrive40 dan iX xDrive40 Sport diadakan di ibu negara, hari ini.
Pelancancaran itu turut dihadiri Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Model BMW terpaling cekap tenaga
Model BMW iX merupakan merupakan jentera SAV elektrik tulen pertama memasuki pentas automotif Malaysia.
Model ini hadir dengan output elektrik setinggi 326 kk dengan jarak operasi menjangkau 630 kilometer!
Justeru, pengguna tidak lagi perlu bimbang tentang jarak operasi kenderaan elektrik yang mana merupakan antara kelemahan utama kebanyakan EV sebelum ini.
Interior dalaman yang “super premium”
Memasuki ke dalam kenderaan ini, sudah pasti mata akan tertumpu pada paparan digital melengkung yang sangat premium.
Panel ini merangkumi struktur menu baharu dengan keupayaan mengkonfigurasi widget.
Sistem BMW Intelligent Personal Assistant yang terdapat pada model ini juga telah dinaik taraf dengan fungsi tambahan termasuk muka grafik baharu yang lebih interaktif.
Berikut antara kelebihan fungsi lain terdapat pada model iX:
Intelligent Emergency Call
Teleservices
ConnectedDrive Services
Connected Package Professional
BMW Natural Interaction
Active Protection
Sistem keselamatan tinggi
BMW iX ini didatangkan dengan sistem bantuan memandu yang sangat cekap dengan beberapa fungsi dan berikut antara fungsi keselamatan terdapat pada model ini:
Sistem Bantuan Pengekalan Laluan,
Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek
Amaran Pejalan Kaki dengan pengaktifan brek bandar
Amaran Rentas Trafik dengan intervensi brek di belakang
Pencegahan perlanggaran belakang
Info Had Kelajuan
Tidak cukup dengan itu, model ini juga didatangkan dengan Pembantu Parkir meliputi fungsi Bantuan Parkir, Mengundur, Kawalan Jarak Parkir Aktif (PDC) dan bantuan parkir lateral.
Pelanggan berminat mendapatkan model ini juga bakal menikmati Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun serta Program Servis Berjadual Percuma.
Pelanggan juga layak menerima waranti bateri BMW selama lapan tahun atau jarak perbatuan 160,000 kilometer.
Harga bagi sebuah BMW iX bermula dari RM419,630 sehingga RM472,630 bagi varian iX xDrive40 Sport.
TAHUN 2022 menyaksikan Honda memproduksi semula model skuter Dunk dengan gaya lebih segar dan menarik.
Berada di pasaran agak lama sebelum ini, varian terkini Honda Dunk didatangkan dengan warna baharu.
Bagaimanapun, Honda tidak melakukan sebarang perubahan pada sistem mekanikal skuter ini dan masih menggunakan kapasiti enjin 50 cc.
Persoalannya, apa yang menarik mengenai Honda Dunk 2022 ini?
Honda Dunk 2022
Foto ihsan Honda
Honda Dunk sesuai digunakan di bandar memandangkan saiznya yang kecil.
Enjin skuter ini menggunakan unit satu silinder OHC dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair selain dipadankan bersama transmisi automatik CVT.
Apa yang menarik, tinggi tempat duduk Honda Dunk cuma 730 mm sekaligus mesra kepada penunggang motosikal terutama golongan wanita.
Foto ihsan Honda
Tidak cukup dengan itu, skuter ini turut didatangkan dengan rim 10 inci beserta tayar 90/90.
Berikut adalah ciri-ciri lain terdapat pada Honda Dunk 2022:-
Tangki bahan api berkapasiti 4.5 liter
Meter gabungan analog dan LCD
Sistem start/stop
Brek hadapan dan satu penyerap hentak di belakang
Foto ihsan Honda
Harga sebuah Honda Dunk dianggarkan mencecah 229,900 yen atau bersamaan RM8,354.
Oh ya, setakat ini Honda Dunk belum dapat dipastikan sama ada akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia atau tidak.
Ini kerana Honda Dunk 2022 hanya boleh didapati di negara kelahirannya, Jepun.
SEJAK Proton memasarkan model Saga lebih 36 tahun yang lalu, terdapat ratusan ribu kenderaan keluaran syarikat itu di negara ini.
Apa yang lebih membanggakan kenderaan keluaran Proton juga telah berkelana di beberapa buah negara termasuk United Kingdom, Brunei, Pakistan dan banyak lagi.
Walaupun Proton makin berkembang dengan pelbagai model kenderaan terkini namun, tidak dinafikan masih ada yang mencari produk terdahulu syarikat tersebut.
Artikel kali ini, Engear ingin senaraikan lima jenis kenderaan Proton yang berharga RM5,000 ke bawah.
Jom kita check it out!
Proton Iswara LMST
Foto ihsan Wikipedia
Proton mula memperkenalkan model Iswara LMST sekitar tahun 2003 sehingga 2008.
Iswara LMST suatu ketika amat popular di negara ini bukan sahaja kerana harganya mampu milik tetapi lebih penting sangat kukuh untuk ‘membelah’ jalan raya.
Hasil carian Engear di internet mendapati model ini masih boleh didapati dan lebih penting harganya sangat berbaloi.
Sebuah Proton Iswara LMST tahun 2006 boleh dibeli pada harga RM4,499 dan jangan terkejut, kereta ini masih mampu ‘perform’ dengan baik ya!
Proton Tiara
Foto ihsan Wikipedia
Nama Proton Tiara pernah popular suatu masa dahulu memandangkan ia juga amat sesuai untuk perlumbaan rally.
Menggunakan enjin Renault, model ini sangat tahan lasak walaupun rata-rata takut dengan statusnya yang menggunakan enjin syarikat continental itu.
Sebuah Tiara tahun 1997 kini boleh didapati pada harga serendah RM2,500 di internet.
Jadi, jika anda berminat jadikan kereta ini sebagai hobi rally di mana-mana ladang kelapa sawit mungkin boleh pertimbangkan memiliki sebuah Tiara.
Proton Savvy
Foto ihsan Wikipedia
Satu lagi model Proton menggunakan enjin Renault adalah Proton Savvy.
Tidak dinafikan memang ‘sedap’ memandu Savvy terutama daripada segi kawalan stereng dan daya pecutan.
Bagaimanapun, ramai juga takut dengan kereta ini yang menggunakan transmisi gear jenis AMT.
Ramai beranggapan transmisi AMT memerlukan kos baiki agak tinggi jika berlaku sebarang masalah.
Setakat ini, sebuah Savvy boleh didapati dengan harga RM3,600 sahaja.
Proton Waja
Foto ihsan Wikipedia
Kukuh, laju dan jimat.
Itu tiga perkataan dapat digambarkan bagi model Proton Waja 1.8 Premium.
Model ini dikatakan mempunyai kawalan sangat baik walaupun dipandu dengan kelajuan tinggi.
Bagaimanapun, segelintir Waja dikatakan sering berdepan masalah suspensi belakang apabila kenderaan terbabit terlanggar lopak atau lubang di jalan raya.
Untuk sebuah Waja 1.8 Premium tahun 2002, anda boleh miliki pada haraga serendah RM4,500.
Proton Perdana V6
Foto ihsan Wikipedia
Proton Perdana V6 dikeluarkan pada tahun 1998 sehingga 2010.
Model ini amat sesuai bagi mereka yang kerap berada di atas jalan atau sering ke luar kawasan.
Apa tidaknya, model ini agak besar dan sesuai untuk kegunaan mereka yang berkeluarga.
Sebuah Proton Perdana V6 boleh didapati pada harga RM4,599 dan jika anda bernasib baik silalah bargain serendah mungkin.
Itu lima jenis model keluaran Proton berharga RM5,000 ke bawah.
Nak tahu ulasan lebih lanjut sila tonton video bersama host Engear Syamsul Yunos di platform media sosial terpilih.
PRODUKSI model Proton X70 dan X50 disambung semula selepas ia dihentikan sementara akibat banjir besar melanda sebahagian negara pada Disember tahun lalu.
Pemberhentian produksi secara sementara dibuat memandangkan sebilangan besar pembekal komponen kepada Proton terjejas akibat bencana itu.
Ketua Pegawai Operasi (CEO) Proton Edar Roslan Abdullah berkata, pihaknya berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kelancaran operasi syarikat itu.
Jelasnya, Proton juga turut membantu kakitangan serta pembekal terjejas akibat banjir bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Kami (Proton) sedang berusaha untuk kembali memproduksi semua model kami dalam masa yang secepat mungkin.
“Bencana ini banyak menjejaskan mata pencarian keluarga dalam komuniti Proton. Kami akan terus menghulurkan bantuan sekadar termampu,” kata Roslan.
Disember lalu, negara berdepan banjir besar sekaligus memberi kesan kepada sebilangan penduduk di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kedah dan negeri Pantai Timur.
Banjir menyebabkan kebanyakan harta benda penduduk rosak termasuk ratusan kenderaan akibat dimasuki air.
Dalam perkembangan sama, Proton turut menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dengan memberi diskaun terhadap alat ganti tertentu.
Diskaun turut diberikan untuk caj buruh kepada pelanggan yang telah membuat laporan polis berhubung insiden itu.
PRODUKSI bagi model sedan empat pintu Volkswagen Passat akan dihentikan bagi pasaran Eropah.
Langkah itu dibuat Volkswagen dipercayai ada kaitan dengan angka jualan bagi model tersebut.
Pasaran Eropah ketika ini menyaksikan angka jualan model Passat Estate meningkat secara mendadak malah, jauh lebih laris berbanding Passat sedan empat pintu.
Passat Estate semakin diminati pengguna di benua Eropah. – Foto ihsan VW
Selain itu, kemunculan Volkswagen Arteon juga dilihat memberi kesan terhadap terhadap permintaan model Passat empat pintu.
Dalam perkembangan sama, pasaran kereta di Amerika Syarikat juga tidak lagi akan menyaksikan pengeluaran baharu bagi model Passat sedan empat pintu.
Bagaimanapun, pelanggan masih berminat mendapatkan model tersebut boleh berbuat demikian kerana Volkswagen kini memasarkan model Passat Limited Edition 2022.
Model Passat Limited Edition 2022 merupakan versi pengakhiran pengeluaran kenderaan itu di benua Amerika.
Passat Limited Edition 2022 dijual di pasaran benua Amerika. – Foto ihsan Motor1
Kalangan pemerhati automotif percaya, Volkswagen dijangka mengeluarkan generasi baharu Passat pada tahun depan.
Sementara itu, Volkswagen dijangka akan memberi tumpuan terhadap model VW Aero B iaitu sebuah sedan berkuasa elektrik.
Ia dibangunkan berdasarkan model konsep ID. Space Vizzion yang dijangka akan ditawarkan kepada pengguna seawall 2023.
JENAMA kenderaan mewah Rolls-Royce Motor Cars mencatat sejarah baharu selepas berjaya menyerahkan lebih 5,586 kereta kepada para pelanggannya, tahun lalu.
Ia merupakan pencapaian gemilang dan tertinggi dalam sejarah jenama itu selama 117 tahun.
Ghost Mansory diberikan modifikasi daripada Rolls-Royce khas buat pelanggan lebih muda. – Foto ihsan Rolls-Royce
Ketua Pegawai Eksekutifnya Torsten Müller-Ötvös berkata, permintaan terhadap kereta Rolls-Royce adalah amat kukuh terutama bagi model Ghost dan Cullinan, lapor Bernama.
Sementara itu, Rolls-Royce komited untuk menghasilkan kereta masa depan elektrik sepenuhnya.
Pada masa sama, Rolls-Royce bercadang melakukan pelaburan untuk kilang pembuatannya bagi kesediaan elektrifikasi dan bakat masa depan.
Untuk itu, difahamkan terdapat lebih 37 perantis baharu akan menyertai syarikat pada September 2022.
Rolls-Royce Motor Cars merupakan anak syarikat milik penuh BMW Group dan adalah syarikat berasingan sepenuhnya daripada Rolls-Royce plc.
INISIATIF Baucar Diskaun Automotif diumum kerajaan baru-baru ini mendapat reaksi positif ramai pihak.
Perodua antara yang memuji langkah itu yang disifatkan membantu meringankan bebanan mangsa banjir.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, langkah itu juga membuktikan keprihantinan kerajaan membantu rakyat dalam kesusahan.
Jelasnya, Perodua telah menerima ribuan kenderaan yang rosak akibat banjir dan bantuan dihulur kerajaan sudah pasti melancarkan segala proses pembaikan.
Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu mangsa banjir. – Foto oleh Engear
“Perodua berterima kasih kepada pihak kerajaan atas tindakan pantas dan keprihatinan dalam membantu mangsa.
“1,987 kenderaan Perodua telah ditunda ke 200 pusat servis untuk penilaian dan setakat ini 323 unit telah dibaiki,” kata Zainal Abidin.
Minggu lalu, kerajaan telah mengumumkan inisiatif baucar bernilai RM1,000 bagi membantu mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan.
Baucar boleh digunakan bagi membuat tuntutan terhadap pembaikan serta penggantian kenderaan persendirian yang rosak.
Pemilik kenderaan boleh menebus baucar tersebut di pusat servis Perodua yang sah seluruh negara sehingga 31 Mac 2022.
Kelihatan sebuah kenderaan ditenggelami banjir dalam insiden tahun lalu. – Foto ihsan Malay Mail
Dalam perkembangan sama, Perodua juga telah melancarkan Program Bantuan Banjir Perodua pada 19 Disember 2021 selain menyediakan hab khas pembaikan banjir di Shah Alam.
Program Bantuan Banjir Perodua merangkumi diskaun 50 peratus alat ganti standard selain kos upah dan perkhidmatan tunda percuma.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung kejadian tren yang tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, Dabong, semalam.
Siasatan dijangka selesai dalam tempoh seminggu dan akan diumum kepada orang ramai.
Ketua Pegawai Operasi (KTMB) Mohd Zain Taha berkata, siasatan menyeluruh termasuk aspek teknikal, operasi dan corak perjalanan tren berkenaan.
“Jangkaan siasatan biasanya akan mengambil tempoh dua minggu sahaja kerana panel siasatan akan meneliti dengan lebih terperinci mengenai insiden terbabit.
“Ia akan diserahkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan sewajarnya dikenakan terhadap kakitangan yang terlibat,” katanya.
Foto ihsan Facebook/KTMB
Mohd Zain berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Hentian Kuala Gris, hari ini.
Semalam, kegagalan Shuttle Timuran No 51 berhenti di Hentian Kuala Gris menyebabkan 100 pelajar sekolah terkandas ke sekolah,
Setakat ini, empat kakitangan KTMB terlibat terdiri daripada pemandu, pembantu pemandu, penyelia kereta api dan pemeriksa tiket telah digantung tugas.
“Kita juga akan memanggil beberapa lagi kakitangan sebagai saksi untuk melengkapkan kes siasatan.
“Pihak KTMB menganggap insiden ini sepatutnya tidak berlaku dan akan memastikan ia tidak akan berulang lagi,” katanya lagi.
Foto ihsan Facebook/KTMB
Jarak perjalanan kereta api dari Hentian Gris ke stesen Hentian Dabong mengambil masa lebih 15 minit.
Rata-rata penduduk kawasan terbabit menggunakan khidmat kereta api KTMB sebagai pengangkutan awam utama.
NAMA Modenas Dominar 400 makin dikenali dalam kalangan ‘kaki motor’ sejak ia diperkenalkan pada tahun 2018.
Tahun lalu, Modenas telah melakukan penambahbaikan terhadap beberapa fungsi pada model ini sekaligus menjadikan ia bertambah ‘mantul’.
Baru-baru ini Engear berpeluang menunggang uji motosikal keluaran Modenas tersebut dan ternyata prestasi yang dipersembahkan amat luar biasa!
Nak tahu apa yang menarik tentang motosikal ini? Jom check it out!
Menarik tentang Modenas Dominar 400
Foto ihsan Modenas
Tidak dinafikan sudah terlalu banyak review dilakukan membabitkan model Modenas Dominar 400.
Namun, kali ini bukan kuasa atau ketahanan enjin yang Engear ingin huraikan tetapi lebih tertumpu kepada fungsi elektronik.
Apa yang kami maksudkan adalah mengenai satu fungsi menarik pada instrument panel yang tidak dihebahkan oleh Modenas kepada pelanggannya.
Boleh disifatkan agak teliti mengenai keselamatan, Modenas mewujudkan satu sistem yang memberi maklumat mengenai kedudukan tongkat motosikal berkenaan.
Contohnya, jika tongkat motosikal terlupa dinaikkan, akan terdapat tanda amaran pada instrument panel yang jelas boleh dilihat oleh penunggang.
Hal ini secara tidak langsung mampu mengelak sebarang kemalangan akibat tidak menaikkan tongkat motosikal.
Sementara itu, Modenas turut memperkenalkan sistem yang memberi maklumat kepada penunggang mengenai kedudukan sistem kill switch.
Apa yang dimaksudkan adalah penunggang akan dimaklumkan sama ada sistem kill switch berada pada kedudukan “on” atau ‘off”.
Mungkin kedengaran agak biasa namun, perlu diingat bahawa tidak banyak syarikat pengeluar motosikal yang peka mengenai fungsi yang diperkenalkan oleh Modenas ini.
Spesifikasi lain pada Dominar 400
Foto ihsan Modenas
Model baharu Dominar 400 mempunyai dua pilihan warna baharu iaitu Savanna Green dan Charcoal Black.
Dijual pada harga kurang RM14,00 (tidak termasuk cukai dan insuran), motosikal ini sangat ekonomi dan mampu milik bagi kebanyakan individu.
Antara ciri naik taraf menarik Dominar kali ini adalah komponen fork dengan penyerap hadapan terbalik yang menggantikan fork teleskopik konvensional pada model terdahulu.
Berikut antara ciri menarik lain terdapat pada Dominar 400:-
Dua paparan meter LCD memaparkan maklumat gear, kelajuan, jarak perjalanan, jam, rpm dan tahap minyak
Lampu hadapan automatik “LED mosaic”
Sistem klac Assist and Slipper
Brek ABS two-channel
Terdapat banyak lagi maklumat yang kami ingin sampaikan kepada anda.
Untuk informasi lanjut sila tonton video yang kami sediakan ini…chiow!
ADA pelbagai sebab mengapa terdapat pengguna memilih untuk memiliki kenderaan terpakai.
Antara alasan utama diberikan sudah pasti melibatkan faktor kewangan memandangkan harga kenderaan terpakai tidak semahal model baharu di pasaran.
Namun, tidak dinafikan juga ada pengguna membeli kenderaan terpakai bagi memenuhi keperluan hobi.
Justeru, untuk artikel kali ini Engear ingin kongsikan lima kenderaan terpakai jenama Toyota yang boleh didapati dalam pasaran Malaysia.
Jom check it out!
Toyota Camry (1996)
Foto hiasan ihsan Wikipedia
Toyota Camry generasi pertama ini merupakan varian GX menggunakan enjin 2.0 yang mana reka bentuk badan kelihatan sedikit besar berbanding model sebelumnya.
Menerusi pencarian di internet, model ini boleh didapati hanya serendah RM4,500 sahaja!
Namun, walaupun harganya tidak begitu mahal adalah dinasihatkan untuk anda memeriksa dengan teliti agar tiada sebarang kerosakan besar pada kenderaan ini.
Toyota Corona (1995)
Foto hiasan ihsan Wikipedia
Nama Toyota Corona sering menjadi sebutan bagi kebanyakan ‘kaki’ kereta sekitar tahun 90-an.
Harga model Corona ini boleh dimiliki serendah RM4,900 sahaja.
Antara tips membeli kereta terpakai adalah pastikan komponen pada kenderaan tersebut masih original dan berada pada keadaan standard.
Bukan apa, cuma ingin pastikan kenderaan tersebut tidak pernah berdepan kemalangan atau mengalami kerosakan serius.
Toyota LiteAce
Foto hiasan ihsan Wikipedia
Toyota LiteAce merupakan antara kenderaan jenis van yang popular suatu ketika dahulu.
Pencarian di internet mendapati LiteAce boleh dimiliki pada harga RM4,500 sahaja.
Kini, terdapat ramai individu yang gemar mengubah suai van menjadi sebuah kenderaan ‘camping’ bagi tujuan riadah.
Jadi, jika berminat mungkin boleh pertimbang untuk membeli sebuah LiteAce terpakai untuk merealisasikan hobi anda.
Toyota Corolla KE 70
Foto hiasan ihsan Wikipedia
Model Corolla KE 70 mungkin boleh dianggap sebagai antara model terbaik pernah dihasilkan oleh syarikat Toyota.
Reka bentuk kelihatan klasik menjadikan model ini sangat ‘rare’ ketika ini.
Sebuah Toyota Corolla KE 70 boleh didapati serendah RM3,500. Amacam?
Toyota TE 71
Foto hiasan ihsan Wikipedia
Corolla TE7 Liftback penah sangat popular sekitar tahun 1970-an.
Model ini sangat sesuai untuk ‘kaki’ kereta melakukan projek ubah suai kerana ia bukan sahaja memiliki reka bentuk menarik tetapi alat gantinya yang masih mudah didapati.
Menerusi pencarian Engear di internet, sebuah Toyota TE 71 boleh dibeli pada harga RM5,000.
Itu antara lima kenderaan terpakai ‘besi buruk’ Toyota kurang daripada RM5,000 di pasaran Malaysia.
Jika anda tahu model Toyota lain yang dijual sekitar harga tersebut, sila kongsi dengan kami di platform disediakan.
Kita jumpa lagi di artikel seterusnya di lain waktu!
VPCM turut menawarkan pengecualian cukai jualan bagi empat model Volkswagen iaitu Arteon R-Line 4MOTION, Passat Elegance, Tiguan Allspace Highline dan Tiguan Allspace R-Line.
Selain itu, pelanggan yang mendapatkan model Passat Elegance juga menerima penambahan rebat RM2,500 termasuk kad petrol percuma selama setahun!
Pada masa sama, Volkswagen menawarkan pelan pembayaran mudah dengan kadar faedah 0 peratus dengan pilihan ansuran selama enam atau 12 bulan.
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan secara percuma. – Foto ihsan Malay Mail
Sementara itu, VPCM menjanjikan penawaran penyelenggaran percuma selama tiga tahun dan waranti perbatuan tanpa had selama lima tahun.
Justeru, pemilik Volkswagen dinasihatkan membuat janji temu menerusi aplikasi Volkswagen Cares bagi melancarkan sebarang urusan.
Memetik kenyataan dikeluarkan, semua wakil pengedar Volkswagen seluruh negara akan menganjurkan bilik pameran terbuka pada 15 hingga 16 Januari.
GEMILANG International Ltd (GML) dijangka menghantar lebih 140 unit bas sekolah elektrik (electrical vehicle) ke Amerika Syarikat (AS).
Syarikat terkemuka berpangkalan di Johor itu berkata, ia merupakan sebahagian misi mempromosikan penggunaan kenderaan mesra alam untuk bas dan badan bas.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pang Chong Yong mengakui pesanan diterima dari AS adalah suatu yang membanggakan.
Ia bukan hanya sebagai pencapaian dalam usaha penembusan ke pasaran AS malah, menjadi kuantiti terbesar dalam satu pesanan bas EV pernah diterima pihaknya.
“GML telah membekalkan badan bas untuk pelbagai pembuat EV seperti BYD Auto dan CRRC Electric Vehicle Ltd bagi beberapa pasaran.
“Kami menjangkakan lebih banyak negara menjejaki peralihan kepada EV,” katanya.
Foto ihsan Facebook/GML
GML disenaraikan di Bursa Hong Kong telah membekalkan bas EV ke AS sejak 2016, lapor Bernama.
Tidak dinafikan, pasaran bas sekolah EV di AS sangat besar dengan aspek pertumbuhan eksponen.
Ini susulan Perjanjian Infrastruktur Bipartisan diumumkan menjadi undang-undang oleh Presiden AS Joe Biden.
Ia melibatkan komitmen US$2.5 bilion untuk membeli bas sekolah elektrik untuk daerah di seluruh AS.
“Berdasarkan rancangan baharu untuk menukar 500,000 bas sekolah AS kepada kenderaan pelepasan sifar karbon, kami yakin dapat menguasai lebih,” katanya lagi.
Projek utama GML termasuk Transit Aliran Bas Iskandar Malaysia (IMBRT) dan bas bandar elektrik pertama Sarawak untuk Kuching Metro.
Selain itu, ia turut meliputi projek rintis bas elektrik oleh kerajaan Sabah untuk pengangkutan awam.
GML juga telah membekalkan bas aluminium untuk Go KL, Rapid KL, Rapid Penang dan bas pengantara MRT sejak 13 tahun lepas.
BMW memperkenalkan model terbaharunya iaitu BMW iX M60 yang mampu memenuhi ‘nafsu’ individu yang sukakan kelajuan.
Menariknya, model ini bukan sahaja dapat mencapai kelajuan tinggi malah, didatangkan dengan rekaan menarik.
BMW iX M60 dihasilkan dengan mempunyai ciri teknologi moden termasuk rangka aluminium spaceframe, sangkar karbon dan panel plastik bertetulang gentian karbon.
Foto ihsan BMW
Bagaimana pula dengan keupayaan enjin?
Model BMW iX M60 ini dilengkapi dengan dua motor elektrik Msekaligus menjana kuasa setinggi 610 kuasa kuda dan daya kilas 1,100 Nm bagi mod Sport.
Bagi mod standard, ia mampu mencapai 533 kuasa kuda dan daya kilas 1,015 Nm. Hebat bukan?
Selain itu, antara bukti kehebatan enjin BMW iX M60 ini adalah ia mampu mencapai pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.6 saat!
Pek bateri berkapasiti 106.3 kWh pula membolehkan kereta ini dipandu sejauh 450 kilometer.
Foto ihsan BMW
Berikut antara ciri lain terdapat pada BMW iX M60:
Tetapan suspensi double-wishbone di hadapan
Gandar five-link di belakang
Sistem stereng Integral Active dan M Sport Brakes
Setakat ini, harga jualan BMW iX M60 2023 bermula $105,100 atau bersamaan RM440,527.
UMUM mengetahui pengeluaran model Alza yang berusia lebih 12 tahun di pasaran Malaysia akan dihentikan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, model telah banyak berjasa kepada kebanyakan rakyat Malaysia ini nampaknya masih mendapat permintaan tinggi.
Terbaharu, Perodua mengumumkan model Alza telah terjual lebih 14,828 unit sepanjang tahun lalu.
Apa lebih membanggakan, rekod jualan Alza hanya berbeza 500 unit jika dibandingkan dengan model Aruz pada tahun lalu.
Sebelum ini, Perodua memaklumkan tidak lagi akan menghasilkan model Alza bermula hujung Februari depan.
Keputusan itu dibuat bagi mematuhi undang-undang emisi ekzos ditetapkan kerajaan yang beralih dari Euro 2 kepada Euro 4.
Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengakui Alza masih mempunyai peminat tersendiri. – Foto oleh Engear
Bagaimanapun, Perodua mengakui berjaya memohon untuk meneruskan produksi Alza sehingga hujung Januari ini.
Justeru, terdapat lebih 1,100 unit terakhir akan dipasang sehingga hujung bulan ini selain Perodua dibenarkan menjual model Alza masih dalam simpanan mereka.
Alza diperkenalkan tahun 2009 dengan dijana oleh enjin 3SZ-VE 1.5 liter.
Sepanjang penjualan model ini, tiada sebarang kemas kini mekanikal diberikan pada Alza melainkan penambahbaikan design versi facelift 2014 dan 2018.
Setakat ini, tiada sebarang perincian rasmi oleh Perodua mengenai model baharu yang akan menggantikan Alza.
Pemerhati automotif bagaimanapun percaya, model bmenggantikan Alza adalah “kembar” kepada Dihatsu Xenia dan Toyota Avanza generasi baharu.
MODEL Toyota Corolla Cross Hybrid bakal dilancarkan di Malaysia pada 14 Januari ini.
Tarikh itu diumum Toyota Malaysia menerusi satu hantaran teaser di laman Facebook rasminya.
Sejak tempahan dibuka pada Oktober tahun lalu, model ini dijangka ditawarkan pada harga RM137,000 (tidak termasuk insuran).
Toyota Corolla Cross Hybrid menggunakan enjin 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson empat-silinder petrol.
Berdasarkan penggunaan enjin tersebut, ia mampu menghasilkan 98 PS pada 5,200 rpm dan 142 Nm tork pada 3,600 rpm.
Menerusi bantuan motor elektrik 53 kW (72 PS) dan 163 Nm juga, keseluruhan sistem kereta ini menghasilkan 122 PS yang mana kuasa dihantar ke roda depan melalui e-CVT.
Sementara itu, bateri nickel-metal hydride 6.5 Ah mempunyai jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan.
Para pelanggan berminat melanjutkan jaminan bagi bateri hibrid selama dua tahun lagi boleh berbuat demikian dengan membayar sekitar RM2,950.
Berikut merupakan ciri lain terdapat pada Toyota Corolla Cross Hybrid:-
Paparan multi-maklumat tujuh-inci di kluster instrument
Peninjau pandangan panoramik 3D (PVM)
Peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang
Sistem Telematik Kenderaan (VTS)
Sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense
Terdapat lima pilihan warna untuk versi hybrid iaiatu Red Mica Metallic, Nebula Blue Metallic, Platinum White Pearl dan Silver Metallic.
Warna Celestite Grey Metallic pula ditawarkan untuk varian hibrid.
SYARIKAT Perodua menunjukkan momentum positif apabila berjaya menghasilkan jualan lebih 22,940 unit pada bulan lalu.
Angka itu adalah lebih tinggi berbanding bulan November 2021 yang mana Perodua hanya mencatatkan jualan 20,299 unit kenderaan.
Walaupun terdapat peningkatan jualan namun, Perodua gagal melepasi rekod memasarkan lebih 200,000 kenderaan seperti dicatat pada tahun 2020.
Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad. – Foto oleh Engear
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad menjelaskan, hal ini mempunyai kaitan dengan isu kekurangan bekalan cip semikonduktor dan bencana banjir.
“Rantaian bekalan industri automotif tempatan terkesan dengan teruk sejak beberapa tahun ini.
“Ada rahmat tersendiri memandangkan jumlah tempahan kenderaan Perodua kekal sihat dan pelanggan masih memberi sambutan yang baik terhadap pengecualian cukai jualan,” katanya.
Secara keseluruhan, Perodua menjual 190,291 unit kenderaan tahun lalu dan tidak mendedahkan pecahan jualan mengikut model.
Bagaimanapun, Perodua memaklumkan Myvi terus mendahului industri kereta tempatan secara keseluruhan dengan penjualan melebihi 47,525 unit.
Sementara itu, Perodua kembali meletakkan sasaran 240,000 unit jualan bagi 2022.
Sebahagian Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) yang ditutup kepada pengguna sebelum ini telah dibuka semula.
Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan LPT1 ANIH Berhad berkata, pengguna kini boleh melalui laluan di kilometer 77 sehingga 78 yang ditutup akibat banjir sebelum ini.
Jelas ANIH, segala kerja pembersihan telah selesai termasuk proses membaiki kerosakan sepanjang laluan tersebut.
Sebelum ini, laluan di kilometer 77 sehingga 78 ditutup kerana dinaiki banjir sehingga merosakkan struktur jalan.
Bagaimanapun, pengguna jalan raya menghala ke Kuala Lumpur dari Karak masih perlu menggunakan laluan alternatif dengan membuat pusingan ‘U’ di Plaza Tol Karak.
Justeru, pengguna jalan raya dinasihati barhati-hati ketika menghampiri lorong kontra bermula dari Sungai Dua di Kilometer 74.8 hingga 77.3.
Sebarang maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang dan semua platform media sosial ANIH.
Untuk sebarang kecemasan atau pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 1800-88-7752 atau 09 5479111 / 1-700-818-700.