All posts by Zulkifli Mhd

Yamaha YZF-R25 dengan warna ‘Glacier White’ – RM22,998

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan pilihan warna baharu bagi model sportbike popular Yamaha YZF-R25. 

Sportbike bersesaran 250cc itu kini hadir dengan warna Glacier White menemani warna Racing Blue sedia ada. Menurut HLYM, warna baharu itu sudah boleh didapati di semua pengedar rasmi dengan harga jualan cadangan RM22,998. 

Seperti biasa, setiap pembelian motosikal Yamaha akan disertakan dengan pengunci cakera Yamaha berniali RM100. 

Untuk rekod, Yamaha YZF-R25 dikuasakan enjin parallel-twin 249cc DOHC yang berupaya menjana 35hp pada 12,000rpm dan 22.6Nm pada 10,000rpm. ABS juga didatangkan secara standard. 

Benelli dedah TRK552X di China – enjin lebih berkuasa, ada skrin TFT

Benelli akhirnya mendedahkan TRK522X generasi terbaru untuk pasaran global yang akan menjadi pengganti kepada model popular, TRK502X. 

Bagi tahun 2024, TRK552X hadir dengan kapasiti enjin lebih besar, 549cc berbanding 500cc sebelum ini. Kuasa pula meningkat dari 46.8hp dan 46Nm kepada 61hp dan 56Nm. 

Kelengkapan turut dipertingkat dengan fork USD boleh laras di bahagian depan dan brek kaliper J.Juan sementara ‘swingarm’ pula kini mengguna pakai bahan jenis aluminium yang lebih ringan. 

Sementara itu, lampu juga dipertingkat dengan pencahayaan LED serta panel meter TFT. 

Untuk rekod, TRK552X ini hadir dengan dua varian, TKR552 (standard) dan TRK552X yang dilengkapi dengan rim jenis lidi (spoked) bersaiz 19-inci. 

Kenali Tékhné, jenama alat ganti dua dan empat roda baharu Malaysia

Hong Leong Industries Berhad (HLI) dengan rasminya memperkenalkan Tékhné Sdn Bhd (TÉKHNÉ) sebagai entiti baharu dalam arena alat ganti tempatan. 

Menariknya, TÉKHNÉ menawarkan pelbagai produk alat ganti OEM dan REM yang komprehensif untuk kenderaan dua dan empat roda sekaligus menjaminkan tawaran yang meluas untuk pengguna disini. 

Mengenal pasti terdapat peningkatan dalam jualan kenderaan motosikal dan kereta serta permintaan terhadap barangan ‘aftermarket’, TÉKHNÉ melihat senario itu memberi ruang dalam menawarkan produk yang bukan sahaja komprehensif malah berkualiti. 

Tidak cukup dengan itu, TÉKHNÉ juga akan menubuhkan pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) tersendiri agar dapat memenuhi permintaan pasaran semasa secara langsung. 

Untuk mengetahui lebih lanjut produk ditawarkan, kunjungi www.tekhne.com.my. 

Eropah haramkan penyaduran krom pada motosikal 

Bermula 2024, Kesatuan Eropah (EU)  mencadangkan pengharaman proses penyaduran krom pada sebarang kenderaan baharu termasuk motosikal. 

Menariknya, langkah itu bukan sahaja akan berlaku di Eropah malah merangkumi Amerikak Syarikat bermula 2027. 

Menurut laporan media antarabangsa, langkah itu diambil ekoran terdapat kebimbangan perkara tersebut akan memberi kesan jangka panjang pada kesihatan dan alam sekitar. Ini kerana proses penyaduran krom menghasilkan pencemaran toksik 500 kali ganda lebih tinggi berbanding pencemaran dihasilkan enjin diesel. 

Pada masa sama, penyaduran krom juga dikaitkan dengan kanser paru-paru dan hidung selain dari memberi kesan pada sistem pembiakan manusia. 

Selain itu, proses penyaduran krom juga memberi kesan pada alam sekitar menerusi pembuangan sisa. Walaupun kesemua kesan ini boleh dielak namun EU mendapati senario ini tidak harus diambil mudah. 

Berdasarkan perkara diatas, jelasnya penghasilan motosikal yang sebelum ini popular dengan penyaduran krom seperti beberapa model khas Triumph, Harley-Davidson dan Moto Guzzi tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang. 

MForce lancar QJMotor LTR150 di Malaysia – RM8,888

MForce Bike Holdings telah melancarkan skuter retro 150cc serba baharu untuk pasaran tempatan menerusi QJMotor LTR150. 

Hadir dengan empat pilihan warna menarik; Lime Creme, Sky Blue, Mint Green dan Carnation Pink. Skuter retro ini ditawarkan pada harga RM8,888. 

Meskipun bergaya retro, skuter ini hadir dengan kelengkapan moden termasuk lampu LED, panel meter digital, port pengecas USB, fork teleskopik dan ABS dwi-saluran. 

Kelengkapan lain ditawarkan termasuk tangki 6.5L serta rim 12-inci depan/belakang yang dipadankan bersama cakera 190mm depan dan 225mm belakang.

Selain itu, turut ditawarkan fungsi lampu kecemasan dan fungsi idle stop yang mematikan enjin ketika berhenti di lampu isyarat bagi menjimatkan penggunaan bahan api. 

Atas kertas, LTR150 ini menawarkan 16hp dan 14.8Nm hasil penggunaan enjin satu silinder 149cc SOHC.

Menurut MForce, setiap pembelian QJMotor LTR150 ini hadir dengan waranti dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dulu). 

Suzuki Gixxer 250 dan 250SF di Malaysia tidak terjejas dengan ‘product recall’

Suzuki Malaysia dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial mengesahkan bahawa dua model pemasangan tempatan, Suzuki Gixxer 250 dan Gixxer 250SF tidak terlibat dengan panggilan semula (product recall) yang berlaku di pasaran dunia lain. 

Pengumuman itu dibuat susulan berlakunya panggilan semula bagi model 250cc di India yang melibatkan Gixxer 250, Gixxer 250SF dan V-Strom 250SX. 

Difahamkan, panggilan semula di India itu dibuat setelah didapati bahagian ‘camshaft’ bagi ketiga-tiga model itu telah terjejas dan boleh menyebabkan enjin mati secara tiba-tiba selain menghasilkan bunyi yang tidak normal. 

Dalam pada itu, Suzuki Malaysia memberi jaminan bahawa pemilik Gixxer 250 dan Gixxer 250SF boleh menikmati tahap keselamatan dan kepuasan tertinggi. 

Honda CBR400RR generasi baharu mendarat di Jepun – 45hp, 38Nm

Honda memperkenalkan generasi terbaru CBR400RR untuk pasaran Jepun yang telah dinaik taraf dengan pelbagai kelengkapan dan ciri baharu. 

Model keluaran 2024 itu hadir dengan fungsi Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta skrin TFT 5-inci yang boleh disambung ke telefon pintar menerusi sistem Honda RoadSync. 

Menariknya, mode baharul ini juga dilengkapi dengan fork Showa SFF-BP 41mm  di bahagian depan dan penyerap hentak jensi Prolink di bahagian belaakng. 

Selain itu, turut ditawarkan cakera brek berkembar di depan yang dipadankan bersama sistem ABS dwi-saluran, pencahayaan LED dan rim 17-inci depan dan belakang. 

Meskipun bersesaran 400cc namun CBR400RR ini hadir dengan tangki berkapasiti 17L sekaligus menawarkan penjimatan yang terbaik. 

Bagaimanapun, model 2024 ini masih lagi menawarkan 45hp dan 38Nm hasil dari enjin dua silinder 399cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair. 

Bagi pasaran Jepun, CBR400RR ini dijual pada harga JPY863,500 (RM27.5k). 

Wanita ini redah 300km setiap minggu cari rezeki di Kuala Lumpur

Seorang penunggang motosikal, Siti Norol Salwani Ismail telah menunggang motosikal hampr  300km setiap minggu agar dapat menjual sayur di Kuala Lumpur demi menanggung anak berusia 10 tahun. 

Wanita berusia 29 tahun itu bertolak dari Changkat Jering ke Kuala Lumpur dan menempuh perjalanan empat jam setiap minggu menggunakan kapcai jenis Honda Dash.

Siti Norol memulakan pengembaraan itu ketika masih seorang ibu tunggal sebagai usaha untuk menanggung anaknya. Walaupun baru sahaja selesai berkahwin untuk kali kedua pada Jumaat, dia berharap dapat meneruskan aktiviti tersebut. 

“Saya terlintas untuk menjual sayuran segar di Kuala Lumpur kerana mudah untuk mendapatkan sayuran tersebut di Changkat Jering dan Bukit Gantang.

“Awalnya agak memenatkan tetapi saya tidak sangka perniagaan kecilan ini akan berjaya,” jelasnya. 

Bagaimanapun, Siti Norol mengakui antara cabaran utama menunggang motosikal sejauh itu setiap minggu adalah cuaca buruk dan tayar pancit. 

Motosikal yang digunakan sebelum ini juga telah rosak namun dia juga telah menggantikan dengan yang baru agar dapat meneruskan perniagaan tersebut. 

“Suami baru saya sangat menyokong perniagaan ini dan dia bercadang untuk membantu saya,” tambah Siti Norol. 

Triumph bakal dedah Tiger Rally 660 tahun ini?

Baru sebulan selepas memperkenalkan Daytona 660, Triumph Motorcycles dilaporkan akan melancarkan Tiger Rally 660 pula tahun lewat tahun ini sebagai model 2025. 

Untuk rekod, ketika ini Triumph menawarkan tiga model dengan sesaran enjin tiga silinder 660cc termasuk Trident 660, Tiger Sport 660 dan terbaru Daytona 660. 

Kemunculan Tiger Rally 660 itu sudah pun dijangka kerana lakaran awal barisan model 660cc itu telah pun didedahkan beberapa tahun lalu.

Pada masa sama, dengan tiga daripada empat model yang didedahkan sebelum ini telah pun menjadi kenyataan maka tidak hairanlah motosikal ‘adventure’ pula yang akan diperkenalkan. 

Memetik laporan media antarabangsa, Triumph dijangka memperkenalkan Tiger Rally 660 itu selewatnya tahun ini sebagai model keluaran 2025. 

CFMoto 450MT mendarat di Amerika Syarikat

Amerika Syarikat menjadi pasaran pertama yang menerima CFMoto Ibex 450 (450MT di pasaran global) kurang beberapa bulan selepas model itu didedahkan di EICMA, pada November lalu. 

Motosikal segmen ‘adventure’ itu merupakan model ketiga yang dikuasakan enjin dua silinder 449cc selepas 450NK dan 450SR. 

Bagaimanapun, enjin tersebut telah ditala semula untuk tujuan ‘off-road’ dan kini menawarkan 44hp dan 44Nm dengan kuasa hadir lebih awal berbanding 450NK dan 450SR. 

Antara kelengkapan ditawarkan termasuk suspensi KYB depan dan belakang boleh laras masing-masing menawarkan jarak gerak 203mm. Sementara itu, pakej brek terdiri dari kaliper J.Juan 4-piston depan dan 1-piston di belakang. Menariknya, ABS didatangkan secara standard dan boleh dipadamkan ketika tunggangan ‘off-road’. 

Sebagai pelengkap, model ini juga dipasang tayar 21-inci depan dan 18-inci belakang serta panel meter TFT yang boleh disambungkan ke telefon pintar. 

Sementara itu, ciri lain ditawarkan termasuk lampu LED penuh, penghadang angin boleh laras dan ruang pengecas USB. 

Menurut laporan, CFMOTO Ibex 450 ini dipasarkan di AS dengan harga jualan USD6,499 atau sekitar RM30k. 

Dalam pada itu, kami juga difahamkan model ini akan turut dipasarkan di Malaysia. 

HLYM pamer Yamaha Y16ZR edisi MotoGP – bukan untuk dijual

Hong Leong Yamaha Motor membuat kejutan ketika meraikan ketibaan pelumba MotoGP, Fabio Quartararo dan Alex Rins dan Sungai Buloh apabila mendedahkan dua unit Yamaha Y16ZR edisi khas. 

Kedua-dua motosikal berkenaan tampil dengan livery Monster Energy Yamaha dan memaparkan nombor perlumbaan #20 Quartararo dan #42 Rins. 

Kedua-dua pelumba turut menurunkan tandatangan masing-masing sambil disaksikan pengurusan HLYM dan prinsipal pasukan Yamaha MotoGP, Lin Jarvis. 

Bagaimanapun,sayangnya kami dimaklumkan Yamaha belum ada perancangan untuk memperkenalkan Y16ZR edisi MotoGP itu buat masa ini.  

Namun, mengambil kira Yamaha pernah melancarkan Y15ZR dan R15 dengan livery Monster Energy Yamaha itu maka kami jangkakan perkara sama akan turut dilaksanakan kemudian. 

Dalam pada itu, Quartararo dan Rins akan turun  beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena ujian rasmi Sepang Test dari 6 hingga 8 Februari ini. 

Ini 5 sebab Ducati hanya untuk mereka yang poket tebal

“Kenapa Ducati mahal sangat harganya?”

Itu soalan yang sering diajukan bukan sahaja oleh komuniti motosikal malah orang ramai.

Soalan itu amat relevan kerana hakikatnya, motosikal Ducati sememangnya didatangkan dengan tanda harga yang tinggi.

Sejak 1926 lagi, kilang di Borgo Panigale Itali itu hanya tahu menghasilkan satu produk sahaja, motosikal.

Namun, alasan itu sahaja tidak cukup untuk ‘menghalalkan’ tanda harga yang bukan sahaja di anggap ‘bangsawan’ di Malaysia malah di pelusuk dunia.

Ini lima (5) sebab kenapa motosikal Ducati mahal terlampau.

  1. Juara dunia di pentas antarabangsa

Ducati sememangnya terbukti di medan perlumbaan dengan 51 kemenangan setakat ini di pentas MotoGP menerusi Casey Stoner, Andrea Dovizioso, Loris Capirossi, Jorge Lorenzo, Danilo Petrucci, Troy Bayliss. Andrea Iannone.

Bagaimanapun, Francesco Bagnaia terus membuktikan kehebatan Ducati dengan muncul dua kali juara dunia berturut-turut pada musim 2022 dan 2023. 

Ducati turut cemerlang di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dengan lebih 350 kemenangan.

  1. Ducati adalah jenama ‘premium’

Berbanding jenama motosikal lain, Ducati mengetengahkan imej premium sejak 1926 lagi sepertimana Ferrari dan Lamborghini bagi platfom empat roda.

Bagi mengekalkan status premium, Ducati mengguna pakai alat yang mahal bagi menghasilkan setiap motosikal maka tak hairanlah Ducati mensasarkan pembeli yang memiliki poket tebal dan berpuluh kad kredit.

  1. Jentera Ducati bukan ‘mass produce’ 

Ketika pengeluar lain memfokuskan penggunaan mesin dan robot bagi menghasilkan motosikal secara besar-besaran, Ducati masih lagi mengguna pakai tenaga kerja manusia.

Senario ini menyaksikan motosikal Ducati dihasilkan dalam jumlah yang sedikit.

Apabila kurang mesin dalam bahagian pengeluaran, kos pengeluaran adalah lebih tinggi lantas produk yang dihasilkan juga lebih mahal.

Tidak hairanlah rata-rata motosikal Ducati (baharu) berharga lebih RM100,000 kecuali Monster dan Scrambler. 

  1. Reka bentuk yang sukar ditandingi 

Ducati memang dibina dengan satu elemen penting, menarik perhatian orang ramai tidak kira di mana sahaja. Sebagai contoh jika berada di BHP Karak, di antara lautan motosikal, Ducati tetap mencuri tumpuan.

Ini kerana setiap rekaan Ducati bukan hanya untuk tampak cantik malah menusuk sanubari setiap peminat dua roda.

Lihat sahaja Ducati Panigale V4 dan Streetfighter V4 terbaru, terbeliak mata bagi semua yang memandang.

Fakta setiap jentera Ducati dihasilkan di Itali juga antara menjadi daya penarik utama.

  1. Enjin Desmo yang cukup berkuasa

Jentera sportsbike, Ducati Panigale V4 R menghasilkan 218hp dan 112Nm pada manakala Streetfighter V4 menjana 208hp pada 12,750rpm.

Bayangkan, sebuah motosikal naked menawarkan kuasa seangkatan dengan segmen superbike?

Bukan itu sahaja, motosikal adventure, Multistrada V4 S terbaru menawarkan 170hp dan itu sudah cukup meletakkan motosikal tersebut seangkatan jentera ‘supersport’. 

Hakikatnya, tak kira model Ducati mana pun yang ditawarkan, masing-masing akan menghasilkan kuasa yang lebih tinggi berbanding pesaing lain

QJMotor SRK 921 RR dijangka masuk Malaysia tahun ini

MForce Bike Holdings dikhabarkan akan memperkembangkan tawaran QJMotor di Malaysia menerusi SRK 921 RR serba baharu.

Walaupun baru sahaja landar di China awal Januari lalu namun menurut laporan Mekanika, Malaysia akan menerima model baharu itu tahun ini.

Untuk rekod, SRK 921 RR dikuasakan platform MV Agusta Brutale 1000 keluaran 2010 dan hadir dengan reka bentuk mirip SRK 600 RR dan SRK 800 RR . 

Selain itu, beberapa elemen MV Agusta juga kelihatan di bahagian badan termasuk ekzos empat lubang dan ‘swingarm’ jenis ‘single-sided’.

Sementara itu, enjin 4-silinder 921cc pada 921RR ini telah ditala bagi menghasilkan 129hp pada 10,000rpm dan 93Nm pada 8,000rpm.

Selain itu, 921RR ini juga hadir dengan ciri premium yang pelbagai termasuk:

  • 6-axis IMU
  • traction control
  • cornering ABS
  • kamera papan pemuka
  • TPMS (tyre pressure monitoring system)

Menariknya, model ini juga dilengkapi dengan kelengkapan ‘kayangan’ termasuk brek Brembo Stylema, ‘suspensi boleh laras dari Marzocchi dan ‘steering damper’. 

Bagi pasaran China, SRK 921 RR ini dijual pada harga CNY69,999 (RM47k).

Skuter gaya retro, Honda Stylo 160 mendarat di Indonesia – RM9.1k

Astra Honda baru sahaja melancarkan skuter terbaru untuk pasaran Indonesia kali ini menerusi Honda Stylo 160. 

Honda Stylo 160 merupakan skuter terbaru yang dikuasakan enjin 156.9cc eSP+ dan PGM-Fi dan menawarkan 15hp dan 13.8Nm. 

Walaupun gaya retro, Stylo 160 lengkap dengan ciri premium dan moden termasuk ABS satu saluran (CBS pada varian Standard), lampu LED penuh, dua storan di depan dan satu di bawah tempat duduk, pengecas USB, serta sistem kunci pintar (keyless). 

Tidak dilupakan, sistem ABS pula dipadankan bersama cakera brek depan dan belakang 220mm. Ditawarkan sebagai skuter harian yang praktikal, Stylo 160 ini juga dilengkapi dengan tangki 5L. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk  rim 12-inci yang dipadankan bersama tayar 110/90 depan dan 130/80 serta fork teleskopik depan dan penyerap hentak tunggal di belakang. 

Bagi pasaran Indonesia, Stylo 160 dijual pada harga IDR30.425 juta (RM9.1k). 

Didi Resources kekal pengedar rasmi motosikal Harley-Davidson di Malaysia

Didi Resources terus diberi kepercayaan selaku pengedar rasmi jenama Harley-Davidson di Malaysia. 

“Kami berharap kerjasama ini akan terus mengukuhkan komuniti Harley-Davidson di Malaysia. Kami berbesar hati dapat meneruskan tanggungjawab ini di samping mengukuhkan lagi program pembangunan yang selaras dengan Harley-Davidson,” jelas Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo . 

Bukan setakat pengedar, Didi Resources juga dipertanggungjawabkan untuk menyediakan servis selepas jualan menerusi rangkaian pengedar seluruh negara. 

Sementara itu,  Didi Resources juga akan kekal sebagai pengedar bukan eksklusif bagi barangan dan aksesori Harley-Davidson di Malaysia. 

MForce lancar SYM Maxsym T508, Husky ADV 150 bulan Mac ini

MForce Bike Holdings selaku pengedar rasmi jenama SYM di Malaysia bakal melancarkan dua skuter terbaru untuk pasaran tempatan. 

Memetik laporan Mekanika, dua skuter jenama SYM itu berupa Maxsym TL508 generasi terbaru dan Husky ADV 150. 

Maxsym TL508 merupakan pengganti kepada TL500 yang dipasarkan di Malaysia sebelum ini. Antara naik taraf terbesar adalah kapasiti enjin parallel-twin yang meningkat dari 465cc kepada 508cc.

Peningkatan itu menyaksikan TL508 menawarkan 45hp dan 50Nm berbanding 40hp dan 42.5Nm sebelum ini. 

Bagaimanapun, rata-rata komponen lain masih dikekalkan dari generasi terdahulu. 

Dalam pada itu, Husky ADV 150 bakal memberi saingan kepada segmen skuter 150cc di Malaysia. 

Skuter tersebut dipacu enjin satu silinder SOHC yang berupaya menghasilkan 14.5hp dan 14.5Nm. Antara ciri ditawarkan termasuk ABS dwi-saluran dan panel meter TFT. 

Harga bagi kedua-dua model ini dijangka akan diketahui ketika hari pelancaran nanti. 

Harley-Davidson lancar CVO Pan America 1250 

Harley-Davidson dengan rasminya memperkenalkan CVO Pan America 1250 untuk pasaran global sekaligus menjadi motosikal ‘adventure’ pertama yang muncul dengan versi CVO. 

Pelancaran model ini bukanlah satu kejutan kerana khabar angin mengenai kemunculan versi CVO telah pun timbul beberapa bulan lalu. 

Dibangunkan daripada Pan America 1250 Special, versi CVO ini juga dilengkapi dengan  suspensi ‘semi-active’, panel meter TFT dengan fungsi ‘touchscreen’, serta od menunggang pelbagai. 

Tidak dilupakan enijn V-Twin 1250cc itu juga berupaya menjana 150hp dan 125Nm. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • top box dan panniers
  • quickshifter
  • rim tubeless
  • lampu LED

“Sekolah memandu rugi besar jika Lesen B2 dinaik taraf ke B secara automatik”

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menepis kerisauan institut memandu akan risiko membenarkan pemegang lesen motosikal B2 untuk dinaik taraf ke lesen B (full). 

“Lagi bahaya (jika lesen B2 dinaik taraf ke B) kerana mereka akan hilang pendapatan,” gurau Anthony Loke sewaktu menjawab dakwaan Persatuan Insititu Memandu Malaysia bahawa terlalu tergesa-gesa untuk memberikan lesen B (full) secara automatik mengundang bahaya. 

Meskipun begitu, Loke menegaskan bahawa tiada keputusan muktamad telah tercapai setakat ini namun memberi jaminan bahawa kajian mendalam sedang dilaksanakan ketika ini. 

“Kelulusan tidak akan diberikan secara terus. Akan ada beberapa aspek penting dipertimbang. 

“Untuk membolehkan lesen layak dinaik taraf beberapa syarat perlu dipenuhi termasuk had umur dan berapa tahun telah memegang lesen sedia ada. Juga terdapat satu dua perkara lain yang sedang diteliti,” tambahnya.NST

Ducati masuk arena ‘motocross’ dengan Desmo450 MX

Ducati bakal melangkah ke kejuaraan dunia MXGP apabila mendedahkan mesin ‘motocross’ sulung menerusi Ducati Desmo450 MX. 

Jentera motocross itu dipamerkan kepada umum ketika pelancaran pasukan MotoGP dan WorldSBK di Itali, baru-baru ini. 

Walaupun layak beraksi di MXGP, Ducati Desmo450 MX terlebih dahulu perlu melepasi syarat homologasi bagi menyertai Kejuaraan Motocross AMA di Amerika Syarikat.

Mengambil kira motosikal berkenaan hanya akan memasuki peringkat pengeluaran pada pertengahan 2025, ini bermakna Desmo450 MX berkemungkinan besar hanya akan beraski di AMA selewatnya 2026. 

Bagaimanapun, Ducati menjelaskan orang ramai dapat menyaksikan Desmo450 MX di siri Italian Motocross Pro 2024 yang tidak menetapkan syarat homologasi. Syarat utama homologasi tersebut adalah mewajibkan penghasilan sebanyak 400 unit sebelum dibenarkan penyertaan.

Dalam pada itu, Ducati masih belum mendedahkan spesifikasi terperinci namun melihat kepada gambar dikongsikan kami dapat menyaksikan beberapa kehadiran komponen penting termasuk fork Showa, brek Brembo dan ekzos Akrapovic. 

MotoGP: Marc Marquez yakin akan kemalangan di Sepang

Gresini Racing menjadi pasukan pertama untuk memperkenalkan skuad baharu menjelang Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2024 yang akan membuka tirai pada Mac. 

Bagaimanapun, sebelum itu para pelumba akan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Februari bagi sesi Sepang Shakedown pada 1 hingga 3 Februari dan ujian rasmi pada 6 hingga 8 Februari. 

Fokus ujian kali ini pastinya terarah pada lapan kali juara dunia Marc Marquez yang bakal menguji kemampuan jentera Ducati selepas meninggalkan pasukan Honda pada penghujung musim lalu.

Sehubungan itu, Marquez dalam satu kenyataan selepas perasmian pasukan satelit Ducati itu pada Ahad mengakui tidak sabar untuk menguji jentera Desmosedici GP di Sepang. 

“Ketika (ujian) di Valencia, gaya tunggangan saya agak lancar tetapi saya belum pasti sama ada itu adalah gaya saya bersama Ducati. Pada masa sama, ketika itu saya belum bersedia untuk menunggang secara agresif. 

“Jadi saya tidak sabar untuk menguji jentera di Malaysia dan Qatar yang sememangnya litar sukar bagi saya setiap tahun,” jelasnya. 

Marquez sememangnya terkenal dengan gaya menunggang yang agresif sehinggakan musim lalu, enam kali juara dunia MotoGP itu jatuh 29 kali. 

“Saya perlu mengambil risiko untuk mencari had sebenar jentera dan ini adalah gaya saya. Pada masa sama, untuk menjadi lebih pantas saya perlu mengambil risiki besar. 

“Oleh itu saya yakin akan merekodkan kemalangan pertama di Malaysia atau Qatar. Lebih baik kemalangan ketika sesi ujian berbanding perlumbaan sebenar!” tambah Marquez. 

Pelumba Sepanyol itu akan bersama-sama adiknya, Alex (Marquez) di kem Gresini Racing musim ini.