BAIC BJ40 Plus, SUV off-road gaya Jeep Wrangler, unit CKD, harga anggaran RM180k-RM190k

Ucapkan selamat datang kepada sebuah lagi jenama automotif dari Tanah Besar China, iaitu BAIC, atau nama penuhnya Beijing Automotive Group ke pasaran Malaysia.
Jenama itu turut sama memperlihatkan dua buah model baharu yang bakal merancakkan lagi pasaran SUV di sini, iaitu BAIC BJ40 Plus dan BAIC X55 II.
BAIC BJ40 Plus secara asasnya merupakan sebuah SUV off-road dengan binaan body-on-frame, di mana rekaan luarannya banyak diinspirasikan daripada SUV off-road terkenal Jeep Wrangler.
Berikut merupakan perincian ringkas BAIC BJ40 Plus
1. Dimensi
BJ40 Plus membawakan ukuran sepanjang 4,645 mm, lebar 1,925 mm, tinggi 1,871 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,745 mm.
Untuk memudahkan pemanduan off-road, BJ40 Plus menawarkan sudut pendekatan 37 darjah, sudut breakover 23 darjah, dan sudut pelepasan 31 darjah.
2. Enjin
Hanya satu sahaja pilihan enjin ditawarkan untuk BJ40 Plus, iaitu nadi empat silinder sebaris 2.0 liter turbo menghasilkan 224 PS dan 380 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan 4WD BorgWarner menerusi transmisi automatik ZF lapan nisbah kelajuan.
3. Suspensi
Menyokong binaan badan body-on-frame BJ40 ini ialah tetapan suspensi terdiri daripada sistem double wishbone dan spring gegelung di depan, diikuti 5-link torsion beam dengan spring gegelung di bahagian gandar belakang.
4. Luaran
BJ40 Plus membawakan ciri seperti bumbung yang boleh dibuka, tempat pemijak sisi, cangkuk tunda, sistem pencahayaan LED depan dan belakang, rim aloi aluminium bersaiz 17 inci, serta kehadiran tayar simpanan saiz penuh pada pintu belakang.
Terdapat sehingga tujuh warna pilihan, iaitu merah, hitam, hijau, putih, emas, biru dan biru kusam.
5. Dalaman
Rekaan ruang kabin BJ40 Plus ini banyak mengambil inspirasi daripada sebuah lagi SUV off-road terkenal, iaitu G-wagen.
Antara ciri yang dimuatkan termasuklah roda stereng balutan kulit, tempat duduk kulit dengan larasan berkuasa empat tahap, skrin kluster digital 12.3 inci, skrin tengah 10 inci, serta sistem audio dengan enam pembesar suara.
Ruang kargo pula adalah sebesar 532 liter, dan boleh dibesarkan sehingga 965 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
BAIC BJ40 Plus bakal dijual dalam bentuk unit pemasangan tempatan (CKD) dari kilang EP Manufacturing Berhad (EPMB) Melaka, dengan harga jualan anggaran bermula dari RM180 ribu hingga RM190 ribu.
BAIC BJ40 Plus
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.