Ironman 4×4 lancar aksesori off-road khusus untuk Mitsubishi Triton

Di Australia, bull bar merupakan antara aksesori wajib yang dipadankan pada trak pikap masing-masing.

Populariti aksesori tersebut mendorong pengeluar barangan off-road terkemuka, Ironman 4×4 tampil melancarkan sehingga tiga rekaan yang berbeza, khusus untuk para pemilik trak pikap Mitsubishi Triton.

Tiga rekaan bull bar yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

1. Commercial – bull bar ‘aras mula’ yang menawarkan beberapa titik pelekap untuk memuatkan kelengkapan tertentu.

2. Deluxe – bull bar yang lebih lengkap dengan ciri seperti lampu LED tambahan, titik pemulihan, serta cagak khas untuk antena.

3. Raid – bull bar yang lebih ringkas tanpa batang besi perlindungan untuk unit lampu utama dan hud.

Kesemua bull bar yang ditawarkan itu diperbuat daripada bahan yang digelar sebagai powder-coated steel, dan masih lagi berupaya mengekalkan segala ciri keselamatan yang telah wujud pada trak pikap tersebut.

 

Ironman 4×4 turut menawarkan penambahan fender lebar khusus untuk geng trak pikap bertayar besar, bar pelindung untuk bahagian belakang, serta kit naik taraf suspensi yang menawarkan konfigurasi gas nitro atau sel busa, serta tetapan untuk tugas ringan, tugas sederhana atau tugas berat.

Di pasaran Australia, anda boleh mendapatkan aksesori Ironman 4×4 bermula seawal Julai 2024 dengan harga yang tertera seperti berikut:

Fender flare – AU$499 (RM1,559)
Bar pelindung belakang  – AU$1,411 (RM4,409)
Bull bar Commercial – AU$1,934 (RM6,043)
Bull bar Raid – AU$2,299 (RM7,183)
Bull bar Deluxe – AU$2,561 (RM8,002)
Kit suspensi – bermula dari AU$2,184-3,008 (RM6,824-RM9,398)