BMW M3 Competition xDrive 2025, kuasa 523 hp tapi rupa depan kurang garang

2025-bmw-m3-front 2

BMW akhirnya mengemas kini penawaran model sedan pantas M3 untuk model tahun 2025.

Kemas kini pertengahan kitaran tersebut membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik yang tidak begitu ketara, namun menjadikannya kurang garang berbanding penawaran terdahulu.

 

 

Seperti contoh, unit lampu utama yang telah direka semula dengan grafik LED yang lebih ringkas, rim aloi tempa dengan kemasan baharu, serta logo dengan kemasan luaran perak untuk M3 Competition.

Ada duit ekstra? Anda boleh mendapatkan pakej M Carbon Exterior yang menambah komponen CFRP seperti inlay liang kemasukan udara hadapan, perumah cermin sisi, diffuser serta spoiler belakang, serta opsyen untuk menambah brek seramik karbon, tempat duduk bucket M Carbon, roda stereng balutan Alcantara dan trim gentian karbon.

 

 

Untuk ruang kabin, BMW M telah meringkaskan lagi kokpit dengan mengurangkan butang fizikal, diikuti dengan roda stereng tiga jejari bawah rata, serta skrin sebesar 12.3 inci dan 14.9 inci yang dikawal oleh BMW Operating System 8.5.

Selain itu, terdapat juga penggunaan bahan yang lebih premium, seperti kemasan Sensatec dan Aluminum Rhombicle Anthracite, serta opsyen M Carbon Fiber dan M Fine Brushed Aluminum.

Tidak seperti Mercedes-AMG C 63 yang mahu tunjuk kuasa dengan enjin hibrid empat silinder sebaris, kesemua model M3 mengekalkan penawaran enjin enam silinder sebaris 3.0 liter berkuasa 473 hp yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan dan pacuan roda belakang, atau 503 hp dalam trim M3 Competition dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.8 saat, sementara model tiga pedal pula sepantas 4.1 saat.

 

 

Mahukan opsyen yang lebih berkuasa, pilih sahaja M3 Competition xDrive, di mana BMW M telah ‘mengurut’ semula unit rangkaian kuasa itu supaya mampu menjana kuasa setinggi 523 hp (+20 hp) dan daya kilas puncak 649 Nm yang masuk antara 2,750 hingga 5,730 rpm.

Dalam versi ini, M3 Competition xDrive berupaya memecut sepantas 3.4 saat dari pegun ke 100 km/j.

Produksi BMW M3 2025 hanya akan bermula pada bulan Julai 2024 di kilang BMW Munich, Jerman.

 

View Comments (2)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved