Selepas GR Starlet, Toyota S-FR pula dapat lampu hijau, pacuan belakang, 1.3L turbo, 150 PS, 220 Nm

20151203_01_04_s

Selepas wujudnya laporan Toyota mahu membangunkan hot hatch Starlet FWD, pengeluar itu dikatakan berminat untuk memulakan semula projek pembangunan kereta sports pacuan roda belakang Toyota S-FR yang tertangguh sejak sekian lama.

Menurut laporan Best Car Web, projek S-FR tercetus kembali disebabkan oleh kehadiran enjin tiga silinder sebaris 1.3 liter turbo berkuasa 150 PS/220 Nm yang asalnya direka untuk model GR Starlet.

 

 

Ini kerana, pihak Toyota berpendapat adalah tidak masuk akal untuk membangunkan satu enjin baharu yang khas untuk kegunaan satu model sahaja.

Selain daripada itu, laman penerbitan Jepun itu turut mendakwa projek pembangunan kereta sports kompak ini sebenarnya melibatkan tiga pihak, iaitu Toyota, Daihatsu dan Suzuki.

 

 

Sumber yang rapat dengan perkara tersebut memberitahu projek pembangunan S-FR tersebut masih lagi berjalan, namun pendekatan yang digunakan mungkin berbeza disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah isu skandal keselamatan yang melanda Daihatsu tempoh hari.

Terdapat kemungkinan besar selain daripada Toyota S-FR, kereta sports itu akan muncul menerusi jenama yang berbeza, seperti contoh Daihatsu menggunakan Vision Copen Concept, manakala Suzuki pula mungkin tampil dengan model pengganti Cappucino.

 

 

Toyota S-FR (Small, Front-engined, Rear wheel drive) pada mulanya diperlihatkan secara rasmi pada acara Tokyo Motor Show 2015.

Berdasarkan spesifikasi dalam permainan simulasi Gran Turismo, ia dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter aspirasi semula jadi berkuasa 133 hp dan 150 Nm yang memacu roda belakang menerusi kotak gear manual enam nisbah kelajuan.

Best Car Web mendedahkan S-FR yang bakal muncul tahun 2026 kelak mempunyai ukuran dimensi sepanjang 4,000 mm, lebar 1,730 mm, tinggi 1,320 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,480 mm, dan berat badan sekitar 1,100 kg sahaja.

View Comments (6)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved