Kereta sports enjin rotari berkembar sedang dipertimbangkan – Mazda

mazda_iconic_sp_3_l

Minggu ini, tiga syarikat gergasi Jepun iaitu Toyota, Subaru dan Mazda mengejutkan dunia dengan membentuk satu pakatan baharu yang akan memfokuskan kepada pembangunan enjin pembakaran dalaman yang lebih cekap tenaga.

Ketiga-tiga syarikat itu akan menumpukan perhatian kepada enjin ‘signature‘ masing-masing, di mana Toyota akan melabur untuk enjin empat silinder sebaris, manakala Subaru pula dengan enjin bentangan mendatar mereka.

Mazda pula dilapor akan terus mempertahankan peranan enjin rotari dalam kenderaan baharu mereka.

 

 

Dalam Multipathway Workshop yang dianjurkan baru-baru ini, Mazda turut memperlihatkan bukan satu, tapi dua jenis sistem enjin rotari iaitu 1-Rotor Rotary-EV dan 2-Rotor Rotary EV.

Untuk makluman, sistem 1-Rotor Rotary-EV telah pun diguna pakai pada model Mazda MX-30 e-Skyactiv R-EV, di mana enjin rotari tunggal bersesaran 830 cc (75 hp/116 Nm) itu digunakan sebagai unit penjana tenaga untuk kegunaan motor elektrik dan bateri.

 

 

Untuk sistem 2-Rotor, Mazda memberitahu, “Unit konsep ini dilengkapi dengan enjin rotari dengan rotor berkembar yang dipasang membujur untuk penjanaan kuasa, membolehkan bekalan kuasa yang lebih besar dan merealisasikan perkadaran pusat graviti yang rendah.

Lebih menarik lagi apabila sistem enjin twin-rotor ini juga sedang dipertimbangkan untuk kegunaan kereta sports!

Dengan rekaan yang lebih kompak dan titik graviti yang rendah, ia membolehkan para pereka menghasilkan garis hud yang lebih rendah, bertujuan untuk menambah baik aspek aerodinamik.

Selain itu, Mazda akan menggunakan teknologi elektrifikasi untuk memanaskan enjin dan penukar bermangkin ketika suhu sejuk, di mana pendekatan ini mampu mengurangkan emisi dan memanjangkan hayat enjin.

 

 

Sistem enjin dua rotor itu mungkin sekali calon yang sesuai untuk dipadankan dengan kereta sports RX generasi baharu, ditambah pula dengan beberapa petunjuk besar yang telah diperlihatkan oleh Mazda sebelum ini.

Bertempat di Japan Mobility Show 2023, Mazda telah mengejutkan dunia menerusi model Iconic SP, sebuah konsep kereta sports berkuasa 365 hp berenjin rotari yang digandingkan dengan platform kenderaan elektrik.

Februari yang lepas, Mazda telah menubuhkan satu pasukan pembangunan enjin rotari khas terdiri daripada 36 orang jurutera yang akan bekerjasama membina barisan kereta-kereta menarik untuk menarik minat pelanggan.

Jadi, adakah ini bermakna kita semua akan dapat melihat kemunculan model pengganti Mazda RX-7 kelak?

 

View Comments (5)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved