Renault teruskan projek EV kos rendah guna bantuan rakan kongsi China

Setelah perbincangan antara Renault dan Volkswagen tidak mencapai kata sepakat, pengeluar automotif Perancis itu dilapor akan meneruskan pembangunan model kenderaan elektrik kos rendah (Twingo EV) dengan bantuan daripada rakan kongsi China, lapor SCMP.
Menurut sumber yang enggan dikenali, keputusan untuk bekerjasama dengan syarikat China adalah kerana perancangan untuk menjual Renault Twingo EV bermula tahun 2026.
“Pembangunan model tersebut akan dibuat dengan rakan kongsi China untuk mengurangkan kos dan tempoh pembangunan,” ujar wakil Renault.
Sementara proses rekaan dan kejuruteraan lanjutan pula akan dibuat di Perancis yang diketuai oleh Ampere – divisyen EV Renault – sebelum Renault Twingo EV boleh mula dipasang di kilang Slovenia berdasarkan apa yang diumumkan oleh CEO-nya, Luca de Meo.
Langkah ini memungkinkan Renault untuk menjual Twingo EV di bawah julat harga €20,000 (RM102,085) di pasaran Eropah, sekaligus menjadikannya salah satu senjata ampuh untuk melawan penguasaan kenderaan elektrik mampu milik dari negara China.
Keputusan untuk bekerjasama dengan China juga memberikan petanda Renault kini sedia untuk belajar pendekatan pantas yang digunakan oleh syarikat dari Tanah Besar dalam pembangunan EV.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.