Toyota mahu bikin lebih banyak kereta sports untuk peminat, akui sukar bergerak solo

Para peminat Toyota mungkin sudah tidak sabar untuk menantikan kemunculan model-model kereta sports baharu seperti pengganti MR2 atau Celica.
Namun begitu, Toyota tidak boleh sewenang-wenangnya membelanjakan wang untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk sebuah produk yang dikhususkan untuk golongan niche.
Sebelum ini, Toyota telah bekerjasama dengan Subaru untuk membangunkan GR86/BRZ, diikuti BMW untuk GR Supra/Z4.
Jenama Jepun itu berazam untuk mengeluarkan lebih banyak kereta sports, namun mereka mengakui sukar untuk bergerak solo dalam usaha ini.
Bercakap kepada media Australia, Presiden Toyota Gazoo Racing Tomoya Takahashi berkata, “pasaran kereta sports semakin mengecil pada masa hadapan. Kami tidak dapat mengekalkan (penawaran) kereta sports sebagai satu jenama, Toyota. Kerjasama antara jenama akan meningkat pada masa depan.”
Ujarnya lagi, “misi ini bukanlah untuk membuatkan pengeluar bertahan, akan tetapi untuk melindungi para peminat kereta. Inilah sebabnya kami perlu bekerjasama untuk mengagihkan kos dan seterusnya melaksanakan projek kereta sports.
Persis sebuah restoran yang sedang berkembang pesat, Toyota mempunyai beberapa ‘menu’ baharu yang bakal dihidangkan kepada pelanggannya.
Antara yang muncul dalam senarai ialah coupe FR mampu milik S-FR, hot hatch FWD Starlet, coupe Celica, MR2 serta sebuah prototaip kereta lumba Toyota GR GT3 yang sudah dikesan di litar Spa-Francorchamps.
Namun, sebelum model-model sporti yang tidak praktikal itu dilancarkan, Gazoo Racing berkemungkinan besar akan melancarkan barisan SUV berprestasi tinggi yang dikhususkan untuk golongan berkeluarga yang mahukan ruang lebih besar.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.