Land Rover Defender Octa diperkenalkan sebagai varian paling lasak dan power

Land Rover Defender Octa 03

BARISAN Land Rover Defender 110 kini diperluaskan lagi dengan kehadiran varian baharu yang dikenali sebagai Defender Octa.

Menurut Land Rover, Octa merupakan Defender yang paling berkuasa pernah dihasilkan. Ia dikuasakan oleh enjin mild-hybrid 4.4-liter twin-turbo V8 dari BMW yang menghasilkan 635 PS dan 750 Nm.

Jumlah tork akan ditingkatkan kepada 800 Nm dengan Dynamic Launch Mode, membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100 km/j 4.0 saat dengan bantuan transmisi automatik lapan kelajuan.

Kelebihan Defender Octa tidak terhad kepada trenkuasa sahaja kerana casis turut diberi dipertingkatkan secara menyeluruh menerusi sistem yang digelar sebagai 6D Dynamics.

Menggunakan peredam separa-aktif, sistem itu bertindak untuk mengurangkan pitch dan body roll, serta memaksimumkan artikulasi suspensi bagi membolehkan ia mengharungi bentuk muka bumi yang lebih ekstrem.

Jika dibandingkan dengan varian lain, ketinggian Defender Octa turut dinaikkan sebanyak 28 mm, manakala trek roda dilebarkan sebanyak 68 mm.

Digabungkan dengan tayar berukuran 33 inci, ini secara tidak langsung menambah baik sudut pendekatan dan pelepasan, selain membolehkan Octa meredah air pada kedalaman sehingga satu meter.

Selain itu, model ini juga mempunyai wishbone yang lebih panjang dan tegar, cakera brek depan berukuran 400 mm dengan angkup Brembo, serta nisbah stereng paling pantas bagi mana-mana varian Defender untuk pengendalian yang lebih tepat.

Di samping mod Comfort dan Dynamic, Defender Octa didatangkan dengan mod pemanduan Octa yang ditala khas untuk pemanduan off-road pada kelajuan tinggi.

Sudah tentu, sistem Terrain Response dengan mod Sand, Mud and Ruts, Grass, Gravel, Snow dan Rock Crawl turut disertakan bersama-sama dengan ClearSight Ground View.

Penampilan luaran Defender Octa boleh dibezakan menerusi bampar yang dioptimumkan untuk off-road, gril unik untuk aliran udara yang lebih tinggi, dapra lebih lebar dan empat muncung ekzos.

Ia juga mempunyai perlindungan bawah badan termasuk perisai aluminium aloi pada bahagian bawah bampar depan, dan recovery point berwarna Phosphor Bronze pada bahagian depan dan belakang.

Bahagian dalaman pula menampilkan tempat duduk Performance dengan teknologi audio Body and Soul terintegrasi yang bukan sahaja membolehkan pemandu dan penumpang depan mendengar muzik, malah ‘merasai’ setiap rentak.

Tempahan untuk Defender Octa akan dibuka tidak lama lagi, dengan harga bermula dari £145,300 (RM869k) di United Kingdom.

Di Malaysia, Jaguar Land Rover Malaysia mengumumkan yang pendataran minat untuk Defender Octa kini dibuka di https://www.landrover.com.my/defender/defender-octa/overview.

View Comments (9)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved