Toyota GR86 2025 dapat naik taraf aspek pengendalian, dan warna hijau eksklusif!

Toyota GR86 Ridge Green Limited 2025 (1)

Toyota Jepun telah mengemaskini penawaran model kereta sports coupe pacuan roda belakang Toyota GR86 untuk model tahun 2025 dengan membawakan naik taraf yang dinanti-nantikan oleh para peminatnya.

Berbanding GR86 yang telah diperkenalkan sebelum ini, Toyota mendakwa GR86 2025 mampu menawarkan pengendalian yang lebih tajam serta perasaan pemanduan yang lebih terhubung dengan jalan raya.

 

 

Berdasarkan input yang diperoleh daripada litar lumba, Toyota telah menala kembali karakteristik sistem gantungan serta kawalan stereng berkuasa elektrik (EPS) jentera ini untuk respons dan pengendalian yang lebih jitu tanpa mengorbankan aspek kestabilan.

Untuk model bertransmisi manual, kawalan pendikit telah diubah semula untuk memudahkan pemandu membuat ‘throttle blipping‘, selain menawarkan tindak balas pendikit yang lebih terus-menerus.

 

 

Para jurutera Toyota turut mengubah aspek toleransi kelajuan enjin pada model GR86 bertransmisi automatik untuk pemanduan yang lebih sporti berdasarkan maklum balas pelanggan yang terlibat dalam sukan permotoran.

Selain daripada itu, Toyota GR86 2025 telah dikemaskini dengan penambahan ciri baharu seperti sistem amaran tekanan tayar serta lampu nyalaan siang (DRL).

 

 

Bagi mereka yang mahukan sesuatu yang lebih istimewa, Toyota Jepun turut memperkenalkan GR86 edisi “RZ Ridge Green Limited” yang dihadkan sebanyak 200 unit sahaja.

Ia membawakan warna hijau eksklusif pada bahagian luaran, rim 18 inci berwarna gangsa, rotor brek berliang Brembo, penyerap hentak SACHS, kemasan upholsteri kulit dan suede dua tona berwarna hitam/tan, serta sulaman istimewa pada panel pintu.

 

Toyota GR86 edisi Ridge Green Limited dijual pada harga bermula dari ¥3,897,000 (RM114,560) dan hanya boleh dibeli menerusi sistem cabutan bertuah yang akan ditutup permohonannya pada 28 Julai ini.

Mereka yang terlepas peluang boleh mendapatkan Toyota GR86 spesifikasi standard dengan harga jualan dari ¥3,195,000 (RM93,923) untuk versi manual sementara versi auto bermula dari ¥3,293,000 (RM96,804).

 

Toyota GR86 RZ Ridge Green Limited 2025


Toyota GR86 2025

View Comments (16)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved