Porsche Carrera Cup Asia 2024 tampil perlumbaan endurans di Litar Sepang

Perlumbaan pusingan ke-9, 10, dan 11 Porsche Carrera Cup Asia 2024 telah pun melabuhkan tirainya pada 10 dan 11 Ogos yang lepas.

Ia menyaksikan pasukan tempatan Sime Darby Racing Team yang mewakili Porsche Malaysia bersaing di tanah air sendiri untuk tahun kedua berturut-turut di dalam kategori PRO.

 

Pusingan ke-9

Dalam perlumbaan pusingan ke-9, Mathys Jaubert (TORO Racing) meraih kedudukan pertama walaupun pelumba Porsche Junior 2024 Alessandro Ghiretti mendahului selepas beberapa selekoh pertama.

Ini merupakan kemenangan pertama Jaubert dalam Porsche Carrera Cup Asia, sementara dua tempat lagi diduduki oleh Marco Giltrap (Team Porsche New Zealand) dan Rodrigo Dias Almeida (R&B Racing).

Dalam kelas Pro-Am, Bao Jinlong meneruskan penguasaan dominan, juga meraih tempat keempat secara keseluruhan.

Sementara kategori Am pula menyaksikan Eric Kwong (Bergwerk Motorsport) mengalahkan Munkong Sathienthrakul (EBM) untuk menduduki tangga pertama.

 

Pusingan ke-10

Perlumbaan yang berlangsung pada waktu malam itu merekodkan sebanyak 29 buah jentera mengelilingi litar Sepang.

Dylan Pereira (Team Shanghai Yonda BWT) meraih gelaran juara pertama sejak pembukaan musim, sementara Liu Kai Shun (R&B Racing) merampas kedudukan tempat Bao Jinlung sekaligus meraikan kemenangan pertama beliau dalam kategori Pro-Am.

Kedudukan dalam kategori Am pula bertukar tangan, di mana Sathienthirakul berjaya mengalahkan Eric Kwong dengan perbezaan masa beberapa saat.

 

Pusingan ke-11

Perlumbaan akhir pada hujung minggu lepas menampilkan format endurans buat pertama kali, dan keadaan menjadi sukar disebabkan oleh kondisi cuaca basah.

Nazim Azman yang mewakili Sime Darby Racing Team pada mulanya berjaya menduduki tangga ketiga, namun terpaksa menerima penalti pasca perlumbaan disebabkan sentuhan semasa memotong Ragginger.

Ia sekaligus membolehkan pelumba Porsche Holding itu meraih kedudukan podium.

Dalam kelas Pro-Am, Kai Shun menunjukkan kehebatan dengan meraih kemenangan kedua untuk perlumbaan tersebut, sementara persaingan sengit antara Eric Kwong dan Sathienthirakul menyaksikan pelumba Bergwerk kembali merampas kedudukan pertama daripada pelumba EBM.

Dengan berbaki lima lagi perlumbaan, Ghiretti terus mendahului kejuaraan dengan kelebihan 20 mata di hadapan pencabar terdekat Jaubert.

Bao mempunyai kelebihan yang selesa dalam kelas Pro-Am, sementara dalam kategori Am pula Eric Kwong mendahului Munkong Sathienthirakul dengan kelebihan 21 mata.

Porsche Carrera Cup Asia 2024 akan kembali untuk pusingan ke-12 dan 13 di Litar Marina Bay, Singapura sebagai perlumbaan sokongan kepada Grand Prix Singapura.

Turut berlangsung ialah acara Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2024 menampilkan tiga kategori utama (Junior Dreamers, Young Dreamers, dan Driven Dreamers) di mana setiap peserta diberikan peluang memandu Porsche 911 GT3 Cup (992) atas Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang maya.

Dalam masa yang sama, Porsche Malaysia turut mempamerkan beberapa buah model 911, termasuklah 911 S/T, 911 Dakar, dan jentera lumba 911 RSR.