Tahukah anda, Volvo merupakan antara pengeluar automotif terawal di dunia yang mengumumkan strategi untuk menawarkan portfolio EV sepenuh masa menjelang 2030.
Malah, pada akhir Mei 2024, CEO-nya Jim Rowan menjelaskan sasaran tersebut masih lagi boleh dicapai, dan beliau turut yakin Volvo mampu akhiri jualan kenderaan berenjin pembakaran dalaman dalam tempoh masa lima tahun lagi.
Namun, dalam satu acara yang dianjurkan bersama pelabur pada lewat Julai lalu, CEO tersebut akhirnya mengakui “ia memerlukan masa bagi menghubungkan beberapa bahagian dalam dunia untuk mencapai elektrifikasi penuh.”
Dengan erti kata lain, sasaran awal untuk menjadi jenama EV tulen menjelang 2030 mungkin sukar untuk dicapai.
Melihatkan kepada perkembangan terkini, Volvo membuat keputusan untuk melaraskan kembali sasaran jualan, di mana pengeluar itu menyasarkan 90-100 peratus jualan terdiri daripada EV dan PHEV menjelang akhir dekad ini.
Sementara kenderaan hibrid yang tidak memerlukan port pengecasan pula akan kekal dijual untuk tempoh yang lebih lama berbanding jangkaan awal.
Pengeluar Sweden itu percaya beberapa faktor yang menyumbang kepada peralihan penggunaan EV yang kian perlahan, seperti pembangunan infrastruktur yang agak lembab, diikuti pengurangan insentif jualan EV serta pengenalan tarif baru untuk EV di sesetengah pasaran.
Selain Volvo, beberapa pengeluar utama dunia turut menyemak semula strategi elektrifikasi yang agresif, seperti Porsche, Mercedes-Benz, Bentley serta Ford.