Bekas menteri pengangkutan Singapura mengaku bersalah terima sogokan

Laman berita Reuters melaporkan bekas menteri pengangkutan Singapura S Iswaran mengaku bersalah atas pertuduhan menerima hadiah semasa memegang jawatan dalam kerajaan.
Iswaran merupakan menteri kabinet Singapura pertama yang dibicarakan di mahkamah selepas kes rasuah terakhir dilaporkan pada tahun 1986 tidak dapat dibicarakan di mahkamah kerana menteri pembangunan negara itu meninggal dunia.
Bekas menteri berusia 62 tahun yang ditahan pada Julai tahun lalu dituduh mengambil sogokan bernilai ratusan ribu dolar Singapura daripada taikun hartanah Ong Beng Seng, di mana sebahagiannya untuk memajukan kepentingan perniagaan Ong.
Menurut kertas pertuduhan, Iswaran didakwa menerima hadiah berupa tiket tiket perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris, muzikal, penerbangan dengan pesawat peribadi Ong dan tiket ke Formula Satu GP Singapura.
Menurut laman Channel News Asia (CNA), dia mengaku bersalah atas tuduhan menghalang keadilan, serta menerima hadiah yang bernilai tanpa bayaran atau bayaran yang tidak mencukupi daripada seseorang yang terbabit dengannya atas kapasiti rasmi.
Dalam pada itu, pihak pendakwa raya mengurangkan pertuduhan yang dihadapi Iswaran kepada lima daripada 35, manakala baki 30 lagi pertuduhan akan diambil kira untuk menjatuhkan hukuman.
Untuk pertuduhan menerima hadiah, seseorang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda, manakala bagi kesalahan menghalang keadilan, Iswaran boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.