Pasukan F1 teruja untuk beraksi semula di Litar Sepang – Presiden MAM

Kali terakhir Litar Antarabangsa Sepang menjadi lokasi penganjuran sukan berprestij Formula Satu adalah pada tahun 2017 sejak sukan tersebut diperkenalkan di tanah air pada tahun 1999.
Walaupun sudah sekian lama tidak digegarkan dengan deruman enjin jentera F1, litar tersebut masih lagi menjadi kegemaran buat sesetengah pelumba, selain menjadi sebutan ramai di media sosial setiap kali nama Litar Antarabangsa Sepang dipetik.
Laman Berita Harian melaporkan Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir mendedahkan sukan tersebut boleh dianjurkan kembali di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, namun menegaskan sesuatu yang lebih segar perlu diperkenalkan.
Antara perubahan yang boleh dibuat adalah menganjurkan perlumbaan di sebelah malam.
Beliau turut mendedahkan beberapa pasukan F1 yang berentap pada ketika ini teruja sekiranya perlumbaan tersebut dapat dikembalikan ke Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.
“Mungkin jika kita berpeluang untuk menjadi penganjur sekali lagi, kita harus melakukan perbezaan. F1 bukan lagi mengenai menonton 20 jentera berlumba di litar, ia lebih daripada itu ketika ini.
“Kita memerlukan acara sampingan yang melengkapkan perlumbaan Grand Prix kedua-duanya di litar dan ibu kota ketika minggu perlumbaan. Persidangan dan konsert kini menjadi sebahagian daripada minggu perlumbaan F1.
“Kita juga boleh menganjurkan perlumbaan di sebelah malam menggunakan sinaran lampu dan ia lebih sejuk. Bahrain sudah melakukannya daripada perlumbaan siang ke malam dan ia membuktikan bukan mustahil untuk melakukannya.”
Namun begitu, Mokhzani menegaskan penganjuran kembali sukan F1 di Malaysia bukan tugas yang mudah memandangkan ia memerlukan kos yang amat tinggi.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.