Sekolah ini akan ajar anda memandu pantas atas salji guna GR Corolla

Bermula tahun 2025, sebuah sekolah memandu di Colorado akan menggunakan khidmat barisan kereta sports Toyota Gazoo Racing, iaitu GR Supra, GR86 dan GR Corolla untuk program pemanduan musim sejuk.
Program pemanduan berprestasi tinggi ini akan menawarkan kursus selama satu atau dua hari, di mana setiap pelajar akan diberikan tunjuk ajar memandu di atas litar yang diliputi ais dan salji di Steamboat Springs.
Barisan jentera GR itu akan disediakan dalam versi manual dan automatik bagi membolehkan pemandu dari pelbagai latar belakang merasai sendiri pengalaman mengendalikan jentera beradrenalin tinggi itu.
Namun untuk program pemanduan yang biasa, sekolah itu masih lagi mengekalkan penggunaan kenderaan pacuan semua roda Toyota seperti sedan Camry, SUV Highlander dan 4Runner.
Dibuka sejak tahun 1983, Bridgestone Winder Driving School telah bertanggungjawab memberikan tunjuk ajar kepada hampir 100,000 orang pemandu untuk lebih yakin memandu di dalam keadaan jalan cengkaman rendah.
Bagi kami, program yang bagus sebegini wajar diperluaskan kepada rakyat Malaysia terutama pemilik kereta sports dan kenderaan elektrik (EV) supaya mereka dapat mempelajari aspek pengendalian kereta-kereta berkuasa tinggi dalam pelbagai keadaan cuaca.
Walaupun di Malaysia tiada musim salji, tapi kemahiran tersebut boleh diaplikasikan untuk pemanduan atas jalan licin, memandangkan sejak kebelakangan ini negara kita kerap menerima taburan hujan yang agak tinggi.
Hakikatnya, memang ramai orang yang mampu membeli kereta pantas, tapi hanya segelintir sahaja yang mempunyai kesedaran untuk menaik taraf kemahiran diri sendiri.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.