Kia Niro Tri-Fuel ini boleh gerak sejauh 1,600 km!

Kereta hibrid masih belum cukup untuk padamkan perasaan kebimbangan jarak?
Usah risau, kerana Kia kini menawarkan produk crossover hibrid yang mampu bergerak sejauh 1,600 km, iaitu Kia Niro Tri-Fuel.
Ia menampilkan kombinasi enjin Smartstream 1.6 liter berkuasa 89 hp berserta motor elektrik berkuasa 43 hp, menjadikan jumlah kuasa keseluruhan sekitar 126 hp dan 264 Nm.
Tidak seperti Kia Niro Hybrid yang biasa, Kia Niro Tri-Fuel mempunyai dua tangki bahan api, terdiri daripada tangki petrol sebesar 41.6 liter dan tangki propana (LPG) sebesar 40 liter yang diposisikan di bawah lantai kargo.
‘Tangki’ ketiga yang wujud pada Kia Niro sebenarnya merupakan pek bateri berkapasiti 1.3 kWh.
Dengan dua tangki penuh (berserta pek bateri itu tadi), Kia Niro Tri-Fuel boleh dipandu sejauh 1,600 km, selain mengurangkan emisi CO2 sebanyak 6 peratus berbanding model hibrid standard.
Untuk bertukar daripada petrol kepada LPG, pemandu boleh menekan satu butang khas yang disediakan bersebelahan dengan butang pandu mula, selain memeriksa kapasiti bahan api LPG yang masih tinggal.
Proses pemasangan sistem LPG ini dibuat oleh syarikat kelengkapan gas BRC, namun pemilik masih boleh menikmati jaminan penuh selama tujuh tahun atau had perbatuan 150,000 km.
Menurut Kia, pemilik Niro Tri-Fuel mampu menjimatkan kos pengisian bahan api sehingga €5,000 (RM23,453).
Harga jualan Kia Niro Tri-Fuel bermula dari €34,450 (RM161,591) dan boleh mencecah sehingga €39,200 (RM183,872) untuk varian premium.
Buat masa ini, jualan Kia Niro Tri-Fuel dihadkan untuk pasaran Itali sahaja.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.