Land Rover Defender bakal tawan Rali Dakar tahun 2026

Land Rover dalam satu kenyataan mengumumkan penyertaan syarikat tersebut dalam acara perlumbaan Rali Dakar tahun 2026.
Tidak cukup dengan itu, Land Rover juga akan menjadi rakan kenderaan rasmi Rali Dakar untuk tempoh tiga tahun bermula tahun hadapan.
Ini bermakna, Land Rover akan menyediakan barisan model Defender untuk tujuan pengangkutan dan kenderaan sokongan acara Rali Dakar sehingga tahun 2028.
Selain itu, sebanyak enam buah Defender yang telah diubahsuai akan dibekalkan untuk tujuan pengujian laluan bagi acara perlumbaan akan datang.
Biarpun Defender sangat terkenal dengan kemampuan pemanduan off-road, ini merupakan kali pertama sebuah pasukan rasmi Defender menyertai acara Rali Dakar.
Menurut pengarah urusan JLR Motorsport, James Barclay berkata, “kali pertama kami menyertai Dakar sebagai pasukan pengilang, bermakna kami berada di landasan permulaan yang tepat untuk perjalanan kami.
“Kami sedar banyak perkara yang perlu dipelajari dan dicapai sebelum memulakan tahun 2026, tapi kami sudah pun bermula dengan baik dan tidak sabar untuk menempuh cabaran tersebut.
Lebih banyak perincian berkenaan program tersebut bakal diketahui menjelang Rali Dakar 2025.
Bertempat di Arab Saudi, Rali Dakar 2025 edisi ke-47 akan berlangsung antara 3 hingga 17 Januari 2025 merangkumi laluan antara Bisha ke Shubaytah merentasi laluan padang pasir Rub’ al Khali (Empty Quarter).
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.