Lima model menarik daripada koleksi eksotik Sultan Brunei

MAIN PIC SULTAN BRUNEI COLLECTION

Anda mungkin sudah beberapa kali mendengar tentang kisah Sultan Brunei dan koleksi kenderaan peribadi baginda yang cukup mewah dan banyak, mungkin sekarang ini mencecah ribuan unit.

Ada di antaranya merupakan model binaan sekali yang tidak wujud di mana-mana negara, dan mungkin ada di kalangan kereta tersebut yang hanya digunakan sekali sahaja sebelum disimpan dalam gudang.

Kini, anda boleh melihat dengan lebih dekat sebilangan (kecil) koleksi kenderaan yang dikumpul oleh Sultan Brunei, terima kasih kepada kewujudan akaun Instagram brunei_cars_2001. 

Kesemua gambar yang dirakamkan ini diambil sekitar tahun 2001, jadi kita sendiri tidak dapat mengetahui keadaan semasa kesemua jentera yang wujud di dalam inventori.

Berikut merupakan lima model kenderaan yang kami rasakan sangat menarik untuk dikongsikan kepada para pembaca:

 

1. McLaren F1

Sultan Brunei mungkin sekali salah seorang peminat tegar model McLaren F1, memandangkan baginda mempunyai sehingga 10 buah unit daripada 106 unit F1 yang pernah diproduksikan.

Selain daripada model F1 biasa, terdapat juga dua unit F1 LM, sebuah F1 GT dan sebuah McLaren F1 GTR yang dibina berdasarkan jentera Ueno Clinic yang memenangi perlumbaan 24 Hours of Le Mans tahun 1995.

Ia menggunakan enjin bentangan V12 6.1 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 627 PS dan 650 Nm yang dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

McLaren F1 memegang rekod sebagai kereta produksi terpantas untuk tempoh beberapa tahun sebelum rekod tersebut dipadamkan oleh Bugatti Veyron dan Bugatti Chiron.

 

2. Bugatti EB110 SS

Sultan Brunei juga turut mempunyai sekurang-kurangnya empat buah supercar Bugatti EB110 SS di dalam koleksinya.

Tiga daripadanya dilayangkan warna kuning, hitam dan perak, manakala sebuah lagi unit berwarna hitam dihiasi liveri jalur perlumbaan merah, biru dan kuning.

Jentera ini dikuasakan oleh nadi V12 3.5 liter dengan bantuan empat unit turbo, menghasilkan kuasa 560 PS (atau 603 PS dalam versi Super Sport), sebelum dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

Pecutan 0-97 km/j adalah sepantas 3.4 saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 342 km/j.

 

3. Porsche 962

Selain daripada beberapa koleksi model Porsche 911, Sultan Brunei juga turut mengumpul beberapa unit model 959, dan sekurang-kurangnya lima unit Dauer Porsche 962!

Untuk makluman, Porsche 962 pada asalnya dibina untuk perlumbaan Group C bagi menggantikan Porsche 956, sebelum 13 unit dibina untuk versi jalanan.

Dauer 962 menggunakan enjin yang sama seperti model 962 versi perlumbaan, enjin flat-6 2,994 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 730 PS yang dipadankan dengan transmisi perlumbaan lima-kelajuan.

 

4. Bentley Dominator

Bentley Dominator dihasilkan pada tahun 90-an, jadi boleh dikatakan ia merupakan bapa kepada SUV-SUV ultra mewah yang wujud pada ketika ini seperti Rolls-Royce Cullinan dan juga Bentley Bentagya.

Namun pada ketika itu, ia tidaklah dihasilkan untuk pasaran umum.

Sebaliknya, Bentley menghasilkan kira-kira enam unit sahaja model Dominator, dan kesemuanya dikhususkan untuk kegunaan Sultan Brunei sahaja.

Sayang sekali, spesifikasi SUV mewah pertama Bentley ini tidak pernah dikongsikan oleh mana-mana pihak, termasuklah Bentley sendiri.

 

5. Ferrari F90

Sebagai seorang peminat Ferrari, tidak sah kalau tiada koleksi supercar buatan jenama Prancing Horse di dalam inventori Sultan Brunei.

Terdapat sekurang-kurangnya tujuh buah model Ferrari F40 yang sangat digilai ramai golongan petrolhead, beberapa unit F50, dan ada tiga model Ferrari F90 yang mana kewujudannya mungkin tidak diketahui umum.

Tidak dikelirukan dengan model SF90 yang lebih moden, Ferrari F90 dihasilkan oleh Pininfarina berdasarkan permintaan khas daripada Putera Jefri Bolkiah, abang kepada Sultan Hassanal Bolkiah.

Pada awalnya, pembangunan model F90 tidak diketahui langsung oleh pihak Ferrari, sebelum perkara tersebut bocor pada tahun 1988.

Projek tersebut dikendalikan oleh Enrico Fumia, ketua bahagian R&D Pininfarina, dan nama F90 tersebut merujuk kepada “Ferrari 90-an”.

Kesemua enam unit F90 tersebut menggunakan platform Testarossa, namun dengan panel badan serba baharu dan dikuasakan oleh enjin 390 PS yang memacu roda belakang.

Anda boleh melihat senarai penuh (mungkin tidak sepenuhnya) koleksi kereta Sultan Brunei menerusi pautan akaun Google Drive ini.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved