Perodua pengeluar kedua terbesar di ASEAN sepanjang tahun 2024

Tahun 2024 menyaksikan Perodua bukan sahaja mencatatkan rekod pendaftaran kenderaan tertinggi bagi pasaran tempatan, malah pengeluar itu kini berjaya menduduki tangga kedua dalam carta jualan kenderaan penumpang pasaran ASEAN tahun yang sama.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Perodua kepada para pengamal media bersempena dengan acara ‘Up-Close & Casual With Perodua’, semalam.
Berdasarkan data jualan kenderaan penumpang ASEAN 2024, Perodua berjaya merekodkan angka jualan sebanyak 358 ribu unit, memintas Honda yang kini berada di tempat ketiga (303 ribu unit).
Untuk rekod, pada tahun 2023 Perodua menduduki tangga ketiga dengan jumlah jualan kenderaan sebanyak 330 ribu unit di belakang Honda di tangga kedua (351 ribu unit) dan Toyota di tangga pertama (752 ribu unit).
Sejak mula ditubuhkan sehingga kini, Perodua kini mencatatkan jumlah kenderaan sebanyak 5.1 juta unit di atas jalan raya.
Daripada jumlah tersebut, Myvi masih lagi menerajui carta sebagai raja jalanan dengan jumlah kenderaan sebanyak 1.487 juta unit, diikuti Perodua Axia (746 ribu unit), Perodua Kancil (709 ribu unit), dan Perodua Alza (503 ribu unit).
Selain daripada itu, tahun 2024 juga menyaksikan Perodua melepasi kapasiti pengeluaran asal sebanyak 320,000 unit, di mana sebanyak 368,100 kenderaan dikeluarkan pada tahun itu.
Menurut Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, “rekod 368,100 unit itu dicapai dengan meminimumkan masa henti (downtime) mengikut jadual penyelenggaraan, koordinasi dan perancangan dinamik dengan pembekal dan pengedar, serta tangkas menangani cabaran.”
Untuk tahun 2025, Perodua memperuntukkan sejumlah RM1.6 bilion perbelanjaan model di mana sebahagian besar pelaburannya akan dikhaskan untuk penambahbaikan kilang, peningkatan kapasiti stamping, serta pembangunan model baharu dan perkakasan.
Dalam pada itu, Perodua menjangkakan jumlah pengeluaran 2025 akan merosot 4.9 peratus kepada 350,000 unit, serta pengurangan jumlah pendaftaran sebanyak 3.7 peratus kepada 345,000 unit.
“Walau bagaimanapun, permintaan terhadap kenderaan kami kekal sihat dengan tempahan tunggakan semasa kini mencecah 68,000 unit, di mana 28,000 tempahan mempunyai surat aku janji yang dikeluarkan tanpa stok,” jelasnya lagi.
Dari segi perniagaan selepas jualan, Dato’ Sri Zainal berkata syarikat itu menyasar untuk meningkatkan jumlah penyelenggaraan kenderaan tahun ini kepada 3.7 juta, atau peningkatan sebanyak 7.6 peratus.
Perodua juga akan terus menyokong ekosistem automotif negara dengan pembelian komponen tempatan yang dianggarkan berjumlah RM10.8 bilion daripada pembekal di negara ini.
“Tahun 2025 akan menjadi tahun yang mengujakan buat Perodua kerana kami sedang mempersiapkan syarikat dan rakan strategiknya untuk sebarang perubahan yang bakal berlaku. Kami percaya apabila perubahan ini sudah lengkap, kami mampu mengukuhkan kedudukan kami di negara ini serta rantau ini,” katanya.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.