Honda CR-V terajui segmen SUV saiz pertengahan tahun 2024

Honda Malaysia mengumumkan pencapaian impresif di mana model SUV generasi keenam Honda CR-V mencatatkan angka jualan melebihi 11,300 unit sepanjang tahun 2024.
Pencapaian ini sekaligus menobatkan CR-V sebagai model nombor satu di dalam segmen SUV saiz pertengahan dengan penguasaan pasaran sekitar 36 peratus.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, “sejak dilancarkan pada Disember 2023, Honda CR-V telah mendapat permintaan yang cukup tinggi, mengukuhkan lagi kedudukannya yang dominan di dalam pasaran.
Jelasnya lagi, CR-V merupakan model ketiga paling laris terjual sepanjang 2024.
Daripada jumlah keseluruhan jualan CR-V, varian hibrid 2.0L e:HEV RS menyumbang sebanyak 20 peratus, dan memegang 87 peratus di dalam segmen SUV hibrid saiz pertengahan.
Varian petrol juga tidak mengecewakan, di mana varian E menjadi pilihan utama pelanggan dan menyumbang kepada 40 peratus jualan keseluruhan CR-V.
Untuk pasaran Malaysia, Honda CR-V ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 193 PS dan 243 Nm, atau enjin hibrid 2.0L e:HEV dengan kuasa 184 PS dan 335 Nm.
Penampilan luaran CR-V disumbangkan oleh unit lampu LED depan dan belakang, jeriji hadapan yang unik, serta fungsi yang khusus untuk varian teratas seperti Active Corning Lights dan Active Shutter Grille.
Selain daripada ruang kabin yang luas dan selesa, CR-V juga menawarkan ruang kargo sebesar 589 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,072 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.
Tidak ketinggalan, ciri keselamatan menyeluruh termasuklah Honda CONNECT, Honda SENSING, serta ciri tambahan untuk varian e:HEV seperti Adaptive Driving Beam dan sistem kamera 360 darjah.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.