PLUS mula uji sistem tol tanpa palang April ini

Laman berita The Edge melaporkan syarikat konsesi lebuh raya PLUS Expressways Bhd akan memulakan ujian rintis sistem tol tanpa palang tersendiri, bermula April ini.
Sistem aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) yang dibangunkan sendiri itu bertujuan untuk mengelakkan salah guna dan eksploitasi keuntungan semasa pelaksanaannya.
Selain itu, syarikat tersebut akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengenakan penalti terhadap pengguna yang culas membayar tunggakan tol.
Menurut seorang eksekutif industri, objektif kerjasama dengan JPJ adalah untuk memastikan pengguna yang masih mempunyai tunggakan bayaran tol untuk melunaskan hutang sebelum dibenarkan memperbaharui cukai jalan.
The Edge turut melaporkan pihak PLUS mempunyai kelebihan tersendiri, di mana syarikat tersebut memiliki subsidiari Teras Teknologi Sdn Bhd yang kini menyediakan sistem pembayaran tol elektronik kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya lain.
Selain PLUS, antara syarikat konsesi lebuh raya yang sudah memulakan ujian rintis sistem MLFF termasuklah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), serta Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR).
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.