Honda, Nissan batal rancangan bergabung

Tidak sampai dua bulan pengumuman dibuat, Honda dan Nissan akhirnya membuat keputusan untuk membatalkan rancangan penggabungan.
Mengikut perancangan asal, pelan penggabungan antara Honda dan Nissan itu bakal membentuk kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia, selepas Toyota dan Volkswagen.
Memetik laporan Japan News, Nissan telah menolak cadangan Honda untuk menjadikannya sebagai sebuah anak syarikat milik penuh, menyebabkan perbincangan penggabungan terganggu.
Dalam pengumuman terdahulu, kedua-dua pihak menandatangani memorandum untuk kerjasama di dalam EV dan beberapa bidang berkaitan termasuklah perisian kenderaan.
Pada bulan Disember, Honda dan Nissan mengumumkan perancangan untuk membentuk sebuah syarikat induk menjelang tahun 2026 yang akan menyelia operasi jenama masing-masing.
Penggabungan ini asalnya bertujuan untuk mengurangkan kos serta meringankan beban kewangan, seterusnya membolehkan kedua-dua jenama bersaing dengan jenama global seperti Tesla dan BYD.
Kedua-dua Honda dan Nissan bercadang untuk mengumumkan hasil perbincangan pada penghujung bulan Januari, namun ia telah ditangguhkan ke pertengahan Februari.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.