MODENAS serah Ninja ZX-6R kepada 100 pemilik pertama di Litar Sepang

OWNER NINJA ZX-6R

Setelah empat bulan tempahan dibuka, hari ini syarikat Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyerahkan model supersport kelas pertengahan Kawasaki Ninja ZX-6R serba baharu kepada 100 orang pemilik pertama.

Bertempat di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, acara serahan tersebut turut dihadiri oleh para pengedar Kawasaki, peminat setia serta wakil-wakil media.

MODENAS pada asalnya menyasarkan hanya 50 unit sahaja, namun jumlah tersebut digandakan kepada 100 unit disebabkan permintaan yang sangat menggalakkan.

Ia juga sekaligus menghabiskan jualan bagi dua kumpulan pertama dalam tempoh masa yang singkat.

Dari segi spesifikasi, Ninja ZX-6R dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 636 cc menghasilkan 122 hp dan daya kilas 69 Nm, dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan berserta klac assist & slipper.

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan Showa SFF-BP 41 mm, diikuti dengan penyerap hentak tunggal di bahagian belakang.

Sistem brek pula bergantung kepada angkup empat omboh dan rotor berkembar 310 mm di depan, serta angkup omboh tunggal dan rotor 220 mm di bahagian belakang.

Ciri bantuan elektronik termasuklah kawalan cengkaman (KTRC), penukaran gear pantas (quickshifter), tiga mod tunggangan (Road, Rain, Sport), dan skrin paparan TFT 4.3 inci yang boleh dihubungkan dengan peranti pintar.

Dipasang di kilang MODENAS Gurun, Kedah, Kawasaki Ninja ZX-6R dijual pada harga bermula dari RM59,900 sahaja.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved