12 perkara menarik kami lihat di kilang Zontes China

Jika disebut nama Zontes, pasti ramai yang teringat akan skuter kembara Zontes 368G ADV yang baru sahaja memasuki pasaran Malaysia awal tahun yang lalu.
Namun, jika kita imbas kembali lima tahun terdahulu, ia merupakan satu nama yang cukup asing, apatah lagi pada ketika itu sudah banyak jenama motosikal ternama yang sudah bertapak di sini.
Untuk info, Zontes merupakan salah satu daripada lebih 200 jenama motosikal yang ada di pasaran China, dan ia juga merupakan salah satu daripada jenama yang dimiliki oleh Guangdong Tayo Motorcycle Technology Co. Ltd yang ditubuhkan pada tahun 2003.
Di sana, Zontes bertanggungjawab menghasilkan barisan motosikal bersesaran sederhana dan besar, dan kini jenama itu sudah pun bertapak di beberapa pasaran utama dunia.
Penghujung tahun 2024, kami dan sekumpulan media automotif lain berpeluang untuk melawat sendiri kilang Tayo yang terletak di Guangdong, China.
Ada beberapa perkara menarik yang kami dapat perhatikan sepanjang lawatan di kilang yang canggih itu:
1. Sebelum memasuki kilang tersebut, anda perlu melalui bukaan pintu yang mirip markas ketenteraan wujud dalam cerita sci-fi. Ia boleh diaktifkan menggunakan proses imbasan wajah.
2. Kilang Tayo mempunyai hampir 4,000 orang pekerja, di mana 60 peratus daripadanya terdiri daripada graduan ijazah kolej dan ke atas – majoritinya memang anak muda!
Tidak menghairankan apabila kita dapat melihat barisan produk mereka sentiasa memiliki spesifikasi yang lebih malar segar.
3. Daripada jumlah tersebut, kira-kira seribu orang diletakkan di bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Ada yang duduk di hadapan komputer, namun kami dapat melihat ada di antara mereka diberikan tugas mengendalikan model-model motosikal yang diperbuat daripada tanah liat.
Sayang sekali, kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar model-model tersebut.
4. Zontes turut mengendalikan aduan-aduan berkenaan komponen motosikal yang diperoleh daripada pemilik termasuklah dari luar negara, di mana jurutera yang bertanggungjawab perlu menyelesaikan isu tersebut dalam tempoh 24 jam (tertakluk hari bekerja).
5. Kilang Tayo ini mempunyai sehingga 12 barisan pengeluaran yang bertanggungjawab mengeluarkan pelbagai model motosikal dan skuter.
6. Menurut pegawai yang bertugas, Zontes menghasilkan sendiri kesemua komponen enjin (termasuklah aci sesondol, kerangka luar enjin, gear dan pengimbang) yang digunakan pada barisan model motosikal mereka, tanpa bantuan pihak ketiga.
7. 60 hingga 70 peratus komponen motosikal (selain enjin) turut dihasilkan sendiri di kilang tersebut termasuklah unit lengan ayun, panel badan, pelana dan juga skrin paparan.
Hanya komponen seperti tayar dan sistem suspensi sahaja yang diimport daripada pembekal luar.
8. Sebagai sebuah kilang yang canggih, teknologi robotik dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembuatan seperti tempaan komponen aluminium dan plastik, kimpalan kerangka dan tangki bahan api, serta bahagian cat komponen.
9. Untuk memastikan kualiti kerja yang berkualiti, kilang Tayo mengimport beberapa robot khas dari luar negara dan memprogramkannya untuk kilang tersebut.
Seperti contoh, mesin pencetakan komponen plastik dari Jerman, robot mengecat daripada Jepun, mesin CNC daripada Jerman, serta robot mengimpal berjenama Panasonic (Jepun).
10. Unit kimpalan kilang tersebut mampu menyiapkan sebuah kerangka penuh skuter Zontes 368 dalam tempoh masa 210 saat, tanpa bantuan manusia!
11. Untuk memastikan setiap komponen yang dihasilkan menepati piawaian, terdapat mesin pengimbasan pantas disediakan untuk memeriksa kualiti ketika proses pembuatan masih lagi berlangsung.
Sekiranya mesin dapat mengesan sebarang masalah, pengeluaran di barisan tersebut akan dihentikan serta-merta.
12. Adakah cukup dengan teknologi sedia ada?
Tidak, kerana kami difahamkan pihak Tayo telah melabur sejumlah RMB 5 bilion (RM3 bilion) untuk memanfaatkan robot autonomi sepenuhnya untuk membantu meningkatkan jumlah pengeluaran.
Malah, ketika lawatan kami turut menyaksikan kerja-kerja pemasangan mesin dan robot baharu yang sedang berjalan di kilang tersebut.
Melihatkan kepada tahap kecanggihan dan ketelitian yang dipamerkan, dibantu dengan sokongan jualan dan selepas jualan yang lebih mantap, tidak mustahil satu hari nanti jenama Zontes mampu tampil lebih menyerlah di pasaran Malaysia.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.