Porsche 911 Dakar bakal muncul dengan enjin T-Hybrid, prestasi off-road lebih baik

Produksi bagi model edisi terhad 911 Dakar telah pun berakhir pada November tahun lepas, di mana hanya 2,500 unit sahaja dihasilkan untuk satu dunia.
Namun, usah sedih kerana Porsche dilapor sedang berusaha untuk menawarkan semula 911 Dakar dengan enjin yang lebih berprestasi tinggi.
Menurut laporan Autocar yang memetik beberapa sumber, Porsche 911 Dakar baharu itu sedang dibangunkan di pusat kejuruteraan Weissach, dan bakal ditawarkan dalam unit yang terhad.
Laporan itu turut menyebut 911 Dakar “facelift” ini akan menampilkan enjin inovatif T-Hybrid yang telah pun muncul pada beberapa varian 911 facelift yang dilancarkan untuk model tahun 2025.
Unit rangkaian kuasa T-Hybrid yang dimaksudkan itu menggandingkan enjin flat-six serba baharu berkapasiti 3.6 liter turbo dengan motor elektrik dan pek bateri 1.9 kWh.
Tetapan tersebut berupaya menghasilkan kuasa setinggi 534 hp dan 750 Nm, jauh lebih bertenaga berbanding enjin flat-six 3.0 liter 437 hp yang wujud pada 911 Dakar sedia ada.
Peningkatan kuasa ini sedikit sebanyak membantu 911 Dakar baharu untuk melakukan pecutan 0-100 km/j lebih pantas berbanding tempoh 3.4 saat pada model terdahulu.
Untuk makluman, 911 GTS facelift dengan nadi T-Hybrid baharu itu mampu memecut sepantas 2.9 saat dari pegun sebelum mencapai 100 km/j.
Difahamkan lebih banyak perincian akan diumumkan menjelang pelancaran rasmi yang dijadualkan berlangsung menjelang akhir tahun ini.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.