Sistem sel bahan api gen-3 Toyota janjikan jarak pandu lebih jauh

Penggunaan kenderaan elektrik dengan sistem sel bahan api hidrogen (FCEV) masih belum cukup meluas jika dibandingkan dengan kenderaan elektrik (EV).
Mengambil contoh Toyota Mirai, sedan berkuasa hidrogen ini telah dilancarkan sejak tahun 2014 lagi dengan lebih 28,000 unit telah terjual di lebih 30 buah negara.
Satu angka yang cukup kecil.
Namun, selain daripada pasaran kereta penumpang, Toyota juga sebenarnya telah membekalkan sistem sel bahan api ini untuk kegunaan lain seperti bas, kereta api dan sistem penjana kuasa pegun sejak tahun 2019.
Bergerak ke hadapan, Toyota masih lagi percaya sistem hidrogen ini mampu menjadi alternatif yang lebih baik kepada kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE) dan EV.
Generasi ketiga sistem sel bahan api diperkenalkan secara rasmi baru-baru ini dengan menjanjikan unit yang lebih kompak serta menjanjikan jarak pemanduan 20 peratus lebih jauh (boleh cecah 772 km).
Selain itu, Toyota mendakwa sistem generasi ketiga ini mampu mencapai ketahanan yang setanding dengan enjin diesel selain manfaat reka bentuk bebas penyelenggaraan.
Menerusi inovasi terhadap rekaan sel dan proses pembuatan, sistem ini juga lebih murah untuk dihasilkan, menyumbang kepada harga jualan yang lebih mampu milik.
Sistem sel bahan api generasi ketiga ini bukan sahaja akan digunakan untuk segmen kenderaan penumpang, bahkan ia bakal diperluaskan kepada segmen kenderaan komersial tugas berat untuk pasaran Jepun, Eropah, Amerika Utara dan China menjelang tahun 2026.
Toyota Mirai generasi kedua
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.