Kia EV4 muncul dalam bentuk sedan, hatchback

Ucapkan selamat datang kepada model elektrik terbaharu Kia EV4, model kelima di dalam siri “EV” Kia selepas model EV3, EV5, EV9 dan EV6.
Kia EV4 dibangun menggunakan pelantar E-GMP, dan membawakan pendekatan rekaan yang hampir serupa dengan adik-beradiknya yang lain.
Menariknya, Kia EV4 boleh didapati dalam versi hatchback dan juga sedan (fastback).
Kedua-dua model hatchback dan sedan ini berkongsi rekaan muka hadapan yang sama, termasuklah EV Tiger Face, unit lampu utama dan lampu nyalaan siang LED di penghujung bampar, serta padanan plastik pelindung pada gerbang roda.
Membezakan antara kedua-dua model sudah pasti rekaan pada bahagian belakang.
Untuk versi sedan, Kia EV4 membawakan konsep rekaan ‘long tail’ yang diinspirasikan daripada supercar ikonik, diikuti dengan garis bumbung yang lebih melandai ke belakang dan unit lampu belakang menegak.
Sementara versi hatchback pula tampil dengan struktur lampu yang lebih konvensional dan dramatik, kaca belakang yang lebih kecil dan diakhiri dengan spoiler bumbung.
Pembeli juga berpeluang untuk mendapatkan Kia EV4 dalam varian GT-Line yang menawarkan rim 19 inci, diikuti dengan bampar hadapan dan belakang yang lebih sporti.
Lebih banyak perincian termasuklah rekaan ruang kabin akan didedahkan menjelang pelancaran rasmi di peringkat global pada penghujung bulan ini.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.