Isuzu D-Max 4×2 1.9L MT Low Ride kini rasmi dijual, dari RM92k

Isuzu Malaysia hari ini secara rasmi mengumumkan kehadiran varian baharu trak pikap Isuzu D-Max yang lebih mampu milik, iaitu D-Max Double Cab 1.9L 4×2 Manual Low Ride.
Dijual pada harga RM92,199.20 (OTR tidak termasuk insurans), D-Max Low Ride ini disasarkan untuk menjadi penyelesaian pengangkutan yang lebih murah dan cekap untuk pengendali perniagaan, penyedia perkhidmatan atau syarikat yang memiliki armada kenderaan yang besar.
D-Max Low Ride ini dikuasakan oleh enjin diesel 1.9 liter (kod RZ4E-TC) menghasilkan 150 PS dan 350 Nm yang tahan lasak dan jimat bahan api, digandingkan dengan transmisi manual enam-kelajuan.
Berbanding D-Max sedia ada, D-Max Low Ride ini menawarkan jarak kelegaan tanah yang lebih rendah, sekaligus menyediakan ruang muatan barangan serendah 780 mm dari tanah untuk memudahkan urusan muat naik dan pemunggahan barangan.
Dalam masa yang sama, ruang kargo di belakang mampu menampung beban seberat 930 kg.
Secara standard, D-Max Low Ride dilayangkan dengan warna Splash White, lampu utama halogen, lampu kabus yang turut bertindak sebagai lampu nyalaan siang (DRL), rim aloi 16 inci dengan tayar 215/70R16, tingkap berkuasa, serta cermin sisi kawalan elektrik.
Ruang kabin pula menyediakan tempat duduk balutan fabrik, roda stereng boleh laras tilt/teleskopik, tolok meter analog yang digandingkan dengan skrin MID 3.5 inci, soket 12V serta pemain audio DIN tunggal dengan sokongan beberapa codec muzik.
Dari segi keselamatan, D-Max Low Ride menampilkan ciri seperti sistem brek anti-kunci (ABS), agihan daya brek elektronik (EBD), bantuan brek, kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan cengkaman (TCS), bantuan mula mendaki (HSA) dan kawalan menurun cerun (HDC).
Isuzu D-Max Low Ride kini boleh didapati di semua bilik pameran rasmi Isuzu di seluruh negara, dan didatangkan dengan jaminan lima-tahun atau had perbatuan 150,000 km.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.