Suzuki Jimny 6×4 ini boleh jadi alternatif kepada Mercedes-AMG G63 6×6

Suzuki-Jimny-6×4-1

Ini bukanlah imej janaan komputer, akan tetapi sebuah projek sebenar Suzuki Jimny enam tayar yang boleh dibeli untuk koleksi peribadi.

Suzuki Jimny 6×4 ini pada asalnya merupakan sebuah Jimny tiga pintu tahun 2019 yang diimport terus dari Jepun.

Idea untuk menghasilkan alternatif kepada AMG G63 6×6 ini tercetus setelah pemilik asalnya melihat gambar janaan komputer di alam maya.

Jadi, sebuah kedai kecil Mocho Fabrication di Broadway, England ditugaskan untuk mengubah Jimny 3 pintu menjadi sebuah Jimny enam tayar yang mampu membuatkan banyak kepala tertoleh melihatnya.

Dengan menggunakan komponen asli daripada Suzuki, pihak pembangun berjaya menambah panel kustom pada bahagian belakang termasuklah gandar ketiga, sepasang fender flare dan tayar ketujuh (tayar simpanan) untuk disesuaikan dengan penggayaan Jimny yang asal.

Keseluruhan luaran Jimny 6×4 ini dilayangkan dengan warna Nardo Grey.

Untuk ruang kabin pula, pihak bengkel telah memadankan trim dua tona hitam/kelabu cair pada tempat duduk dan panel pintu, diikuti dengan sistem infohibur jenama Kenwood.

Menurut keterangan dari laman eBay, Jimny 6×4 ini mempunyai jarak perbatuan sekitar 11,075 km sahaja, masih lagi cantik macam baru keluar dari bilik pameran.

Cuma sayang sekali, Jimny yang nampak gagah ini masih lagi bergantung kepada enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi (NA) menghasilkan kuasa 103 hp dan 134 Nm.

Ia masih lagi mengekalkan sistem pacuan empat roda (4WD) yang asal, dipadankan dengan kotak gear automatik.

Akan tetapi, pemilik Jimny ini merancang untuk menawarkan kit naik taraf turbo Garret termasuklah manifold dan intercooler yang mampu meningkatkan kuasa kuda kepada 170 hp dan 270 Nm.

Mahukan SUV alternatif kepada AMG G63 6×6?

Harga yang diminta bermula dari £45,000 (RM213,211) sahaja. Jauh lebih murah jika anda mahukan sebuah SUV 6×6 yang sangat bergaya di atas jalan raya.

View Comment (1)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved