X-Wedge bakal muncul di Malaysia, motosikal dan gaya hidup persis jenama Amerika

X-Wedge Chongqing (12)

Bila sebut pasal cruiser bersesaran tinggi dan jenama gaya hidup Amerika Syarikat, semua orang akan ingat dengan jenama Harley-Davidson.

Namun, tahukah anda, terdapat satu lagi jenama baharu yang bakal berikan saingan kepada Harley-Davidson untuk pasaran Malaysia, iaitu X-Wedge.

Untuk makluman, X-Wedge merupakan jenama motosikal  baharu yang berasal di negara China di bawah naungan Hisun Motors.

Hisun Motors pada asalnya merupakan syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan produk powersports termasuklah kenderaan tugas utiliti (UTV) dan kenderaan all-terrain (ATV).

Namun untuk X-Wedge, ia lebih tertumpu kepada penghasilan model-model cruiser bersesasan besar yang lebih mirip kepada jenama Harley-Davidson.

Menariknya, KISKA Design bertanggungjawab menghasilkan reka bentuk dan penggayaan barisan model X-Wedge – syarikat yang sama membangunkan rekaan motosikal GasGas, Husqvarna dan KTM.

Di pusat pameran X-Wedge yang terletak di Chongqing, kami berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat barisan model bersesaran 1,000 hingga 2,000 cc yang dipamerkan, seperti:
• Ranger RX2000
• Rover RL2000
• Voyager VS2000
• Vanguard VT2000
• Walker WR1000

Majoriti model X-Wedge berkongsi enjin V-Twin yang sama bersesaran 1,976 cc yang mampu menghasilkan 102 hp @ 5,000 rpm dan daya kilas 158 Nm @ 3,000 rpm.

Sementara model Walker WR1000 pula menggunakan enjin V-Twin 975 cc sejukan cecair dengan kuasa 80 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 80 Nm @ 5,500 rpm.

Selain daripada barisan motosikal bersesaran besar, X-Wedge juga turut menghasilkan pelbagai produk gaya hidup termasuklah helmet, jaket kulit, kasut but, serta tidak ketinggalan aksesori dan perkhidmatan penyesuaian penampilan motosikal.

Jenama premium ini dijangka akan membuat kemunculan di pasaran Malaysia sekitar Julai atau Ogos ini menerusi pihak MForce Bike Holdings.

Kami difahamkan, pihak MForce sedang berusaha untuk menyiapkan empat buah pusat pameran X-Wedge yang terletak di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan juga di Sabah.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved