Bolehkah anda terima masa depan Volvo tanpa wagon?

Sejujurnya, kami berpendapat Volvo merupakan salah satu daripada pengeluar yang pandai menghasilkan rekaan wagon yang cukup cantik sejak model pertama (Duett) muncul tahun 1953 sehinggalah sekarang.
Namun, kepakaran yang dimiliki oleh Volvo itu tidak lagi diperlukan pada masa akan datang.
Menurut CEO Volvo Jim Rowan dalam satu temubual bersama AutoExpress, masa depan Volvo tidak lagi memerlukan model wagon, sebaliknya jenama itu akan menumpukan perhatian kepada model sedan dan SUV.
Ini merupakan satu anjakan yang cukup besar oleh jenama yang sangat terkenal dengan tradisi wagon yang anggun sejak bertahun-tahun lamanya.
Rowan menjelaskan, agak mahal untuk membawa model kenderaan yang berbeza ke pasaran, dan mengekalkannya di dalam pasaran.
“Ia lebih menjimatkan kos untuk memacu volum yang lebih tinggi menerusi platform dan bentuk faktor yang sama,” jelasnya lagi.
Tanpa kehadiran model wagon, Volvo mahu memposisikan model sedia ada (SUV) menerusi penawaran varian yang berbeza seperti Black Edition dan Cross Country yang lebih sesuai untuk golongan tertentu.
Menariknya, berita terbaharu ini timbul tidak lama selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh pengarah komersial Volvo UK, Robert Deane yang mengakui langkah menghentikan jualan model V60 dan V90 pada tahun 2023 adalah satu kesilapan.
“Apabila anda memberitahu pelanggan model (wagon) tidak lagi dijual, mereka akan pergi mencari model daripada jenama lain,” jelasnya lagi.
Tidak dinafikan, selain daripada Volvo, beberapa pengeluar lain seperti Audi dan BMW masih lagi menawarkan model-model wagon biarpun pasaran tersebut semakin mengecil saban tahun.
Menghuraikan dengan lebih lanjut, Rowan berkata Volvo sengaja mengecilkan tumpuannya pada ketika ini.
“Kami membuat pilihan yang wajar tentang di mana kami mahu bermain. Dengan menumpukan perhatian kepada SUV yang lebih selamat dan mempunyai ketinggian yang baik, kami fikir kami dapat mempertahankan kekuatan ini berbanding pesaing lain.
“Ia lebih mudah bagi kami daripada terus terganggu dengan kehadiran terlalu banyak model kenderaan.”
Untuk tahun 2025, Volvo sudah merancang untuk memperkenalkan lima model baharu, termasuklah sedan ES90 dan SUV elektrik EX60 yang bakal tiba kelak.
Yang pasti, wagon sudah tidak lagi termasuk dalam senarai keutamaan Volvo pada ketika ini.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.