Inilah dia unit pertama Xiaomi SU7 Ultra terbabas dalam litar

Ini bukanlah kali pertama berita kemalangan melibatkan sedan elektrik buatan Xiaomi dilaporkan.
Jika anda masih ingat, tahun lepas sebuah Xiaomi SU7 Max dilapor terbabas di dalam litar disebabkan sistem brek yang tidak sesuai digunakan.
Menurut Xiaomi, sedan elektrik tersebut tidak dihasilkan untuk pemanduan serius di dalam litar.
Bagaimana pula dengan sedan pantas Xiaomi SU7 Ultra?
Menurut kata Xiaomi, SU7 Ultra dengan spesifikasi 1,526 hp dan tanda harga RMB529,900 (RM324 ribu) disahkan sesuai untuk kegunaan dalam litar lumba.
Namun, dalam tempoh beberapa hari selepas kumpulan kecil pertama SU7 Ultra diedarkan kepada pemiliknya, salah satu daripadanya dilapor terbabas di dalam litar lumba.
Dalam video rakaman yang muncul di laman media sosial Weibo, sedan tersebut dipandu melebihi 120 km/j di atas seksyen jalan lurus.
Walau bagaimanapun, pemandu kereta tersebut brek terlalu lewat menyebabkan SU7 Ultra itu terbabas dan melanggar tembok penghadang yang dibuat daripada tayar.
Akibatnya, bahagian hud, bampar hadapan, fender dan unit lampu utama remuk teruk. Mujur beg udara berfungsi dengan baik untuk memastikan pemandu kekal selamat.
Menurut pengasas dan CEO Xiaomi Auto, Lei Jun berkata, pemilik SU7 Ultra perlu memberikan tumpuan penuh pada aspek keselamatan, dan menyarankan mereka untuk menjalani latihan formal sebelum memasuki litar.
Biarpun Xiaomi SU7 Ultra mempunyai kuasa mencecah 1,526 hp dan 1,770 Nm, angka tersebut dihadkan kepada 900 hp dengan kelajuan maksimum 140 km/j untuk jarak pemanduan 300 km terawal.
Dalam kuasa penuh, SU7 Ultra mampu memecut sepantas 1.98 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 359 km/j.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.