SYM ADXTG 400 bakal mendarat di Malaysia Mei ini – harga bawah RM30,000

Baru-baru ini, pihak MForce Bike Holdings mengesahkan pihaknya akan melancarkan sebuah skuter gaya kembara baharu menjelang pertengahan tahun ini, iaitu SYM ADXTG 400.
Daripada segi penampilan, rekaan agresif dan bersegi yang wujud pada SYM ADXTG 400 ini adalah diinspirasikan daripada harimau zaman pra-sejarah.
Ia juga turut mendapat rekaan lampu LED yang tajam pada bahagian depan dan belakang serta tidak ketinggalan ekzos yang lebih bergaya.
SYM ADXTG 400 ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 399 cc yang mampu menghasilkan 35 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 37 Nm @ 5,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.
Skuter ini juga turut dibantu dengan teknologi Hyper-VVS yang menyumbang kepada penggunaan bahan api yang lebih ekonomi, serta prestasi yang tidak mengecewakan.
Aspek keselesaan tunggangan disumbangkan dengan dua aci pengimbang bagi mengurangkan kesan gegaran, diikuti dengan suspensi fork hadapan jenis terbalik dan lengan ayun aluminium dengan tetapan multi-link di belakang!
Menariknya, ADXTG 400 juga turut menyediakan mod tunggangan off-road, diikuti dengan sistem brek ABS dan kawalan cengkaman.
Ciri lain termasuklah bar hendal yang lebar, sistem kunci pintar, skrin paparan LCD berwarna, USB dengan pengecasan pantas 3.0, skrin penghadang angin boleh laras, serta pelindung bar hendal dan pelindung enjin.
Pihak MForce mendedahkan harga jualan anggaran untuk skuter kembara ADXTG 400 ini bermula bawah RM30,000. Berbaloi?
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.