Ujian rintis AWAS guna AI kesan pemandu lebih had laju di PLUS, KLK bermula Jun ini

Kamera AWAS (2)

Ujian perintis Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) menggunakan kaedah ‘point-to-point‘ akan dilaksanakan menjelang Jun ini, lapor Berita Harian.

Kaedah tersebut akan digunakan untuk mengesan pemandu yang melebihi had laju dengan mengukur tempoh dan jarak perjalanan, selain menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Untuk permulaan, dua lokasi laluan lebuh raya akan dipilih untuk projek rintis ini, iaitu di laluan terowong Genting Sempah ke hentian Rehat Gombak (Lebuhraya KL-Karak), dan Plaza Tol Senawang ke Plaza Tol Simpang Ampat (Lebuhraya Utara Selatan).

Sistem ini juga akan dipasang di lokasi yang sering berlaku kemalangan, seperti contoh lokasi Terowong Menora ke Hentian Rehat Sungai Perak.

Dalam temubual bersama Berita Harian, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata, sistem ini dapat mengesan pemandu melanggar had laju sekiranya tiba di destinasi lebih cepat berbanding anggaran tempoh sepatutnya.

“Sistem ini dipasang di plaza tol, akan ambil bacaan masa perjalanan berdasarkan jarak ke jarak.

“Contohnya pemandu dari Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, Perak, tiba lebih awal dari masa sepatutnya, jadi nombor plat kenderaan akan dikesan dan saman dikeluarkan automatik,” katanya.

Dengan bantuan AI, sistem ini dapat mengesan tempoh seorang pemandu berhenti di mana-mana lokasi untuk memanjangkan tempoh perjalanan bagi mengelak dikesan.

Ujarnya lagi, sebuah syarikat telah dilantik untuk mengendalian proses pembuktian konsep (POC) tanpa memberikan impak kewangan kepada kerajaan.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendedahkan sistem kamera AWAS akan ditambah baik dengan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.

Ini kerana pelaksanaan kamera AWAS pada ketika ini dilihat tidak mencapai objektif mengurangkan kelajuan kenderaan dan mengurangkan risiko kemalangan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved