Perang harga jenama China beri kesan besar kepada industri automotif tempatan

Proton eMAS 7 Premium (6)

Perang harga yang dilancarkan oleh segelintir jenama automotif China boleh memanfaatkan pengguna, namun ia mampu memberikan kesan yang besar kepada industri automotif tempatan.

Kebimbangan itu disuarakan sendiri oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah dalam satu temubual oleh laman Berita Harian.

Jelasnya, pemberian diskaun besar-besaran akan membawa kesan berantai kepada vendor tempatan yang sekian lama membekalkan komponen dan bahagian kenderaan.

“Kesan perang harga ini bukan sahaja menjejaskan OEM yang memiliki kilang pembuatan dan pemasangan di negara ini, malah memberi impak kepada vendor serta pengedar tempatan.

“Keadaan ini berlaku apabila lambakan stok meningkat susulan pelanggan lebih memilih kenderaan ditawarkan pada harga lebih rendah. Pada masa sama, terdapat pelanggan mengambil pendekatan tunggu dan lihat dengan harapan harga akan terus menurun,” katanya kepada BH.

Selain itu, perang harga juga akan memberikan kesan kepada pasaran kenderaan terpakai, di mana pelanggan akan lebih cenderung untuk membeli kenderaan baharu disebabkan harga yang lebih kompetitif.

“Ini akan memberi kesan besar kepada nilai susut harga kenderaan terbabit. Pasaran perniagaan tukar beli (trade-in) juga akan menerima impak negatif,” ujarnya.

Disebabkan kos operasi yang tinggi (termasuk kos pembuatan, vendor dan rantaian bekalan), jenama OEM tempatan tidak mampu menurunkan harga kenderaan setanding dengan jenama China demi kelangsungan perniagaan.

“Kami tidak boleh menurunkan harga ke tahap terlalu rendah, namun boleh menawarkan diskaun atau promosi seperti rebat tunai dan pakej aksesori untuk mengimbangi harga pasaran,” katanya.

Dalam hal ini, Proton mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan keuntungan syarikat tidak terjejas dalam jangka panjang, memandangkan ia bukan sahaja menggaji lebih 7,000 pekerja, tetapi juga membabitkan lebih 5,000 pekerja dalam rangkaian jualannya.

“Vendor berskala besar mungkin boleh bertahan kerana mereka mempunyai perkongsian dengan jenama lain. Namun, vendor kecil yang bergantung kepada satu jenama pasti terkesan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan jenama menurunkan harga mendapat kelebihan daripada konsep import sepenuhnya (CBU) atau pemasangan separa (SKD), yang memerlukan pelaburan lebih rendah berbanding OEM tempatan seperti Proton.

“Pelaburan mereka di Malaysia masih minimum. Oleh itu, mereka mampu menawarkan diskaun besar kerana kos operasi juga rendah. Namun, ini memberi tekanan kepada syarikat beroperasi di Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.

Roslan turut menekankan kepentingan penilaian semula terhadap impak perang harga ini bagi melindungi jenama yang sudah lama bertapak di Malaysia.

“Kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) adalah sasaran kerajaan, namun kajian semula perlu dilakukan bagi memastikan jenama pemasangan tempatan (CKD) yang mempunyai kilang dan rangkaian vendor sendiri dapat terus berdaya tahan,” katanya.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved