Porsche 911 hibrid sudah boleh ditempah di Malaysia

Porsche 911 Carrera 4 GTS (2)

Sime Darby Auto Performance selaku pengedar rasmi kenderaan Porche di Malaysia mengumumkan kemunculan dua varian baharu kereta sports 911, iaitu 911 Carrera dan 911 Carrera 4 GTS, dengan harga jualan bermula dari RM1.43 juta.

Sorotan utama sudah tentu kemunculan varian hibrid pertama untuk jentera 911, iaitu Carrera 4 GTS.

Dijana dengan unit rangkaian kuasa T-Hybrid bersesaran 3.6 liter berkuasa 541 PS dan 610 Nm, 911 Carrera 4 GTS mampu memecut sepantas 3.0 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 312 km/j.

Lonjakan kuasa itu turut disumbangkan oleh penggunaan unit pengecas turbo gas ekzos elektrik tunggal (tambahan kuasa 15 PS) bagi menjamin pengedaran kuasa yang responsif dan lebih dinamik.

Selain itu, 911 Carrera 4 GTS ini turut dilengkapi motor elektrik 54 PS/150 Nm, dibantu dengan pek bateri kompak yang berupaya menyimpan tenaga sehingga 1.9 kWh.

Biarpun dengan perubahan sistem yang agak ketara, penambahan berat pada 911 Carrera 4 GTS hanyalah sekitar 50 kg sahaja berbanding model terdahulu.

Antara kelengkapan standard untuk 911 Carrera 4 GTS termasuklah sistem stereng gandar belakang, suspensi sports dengan sistem peredam berbilang (PASM), jarak kelegaan tanah 10 mm lebih rendah, sistem ekzos sports khas serta gandingan rim 20/21 inci dengan tayar belakang yang lebih lebar.

Ia juga turut mendapat sistem penyejukan aktif yang boleh bertindak untuk mengoptimasikan aspek aerodinamik jentera bergantung kepada keperluan semasa.

Mereka yang mahukan jentera 911 tanpa sebarang bantuan hibrid boleh mendapatkan 911 Carrera – masih kekal dengan enjin boxer 3.0 liter turbo berkembar namun dengan lonjakan kuasa sehingga 394 PS dan 450 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.1 saat (3.9 saat dengan pakej Sport Chrono) dan kelajuan maksimum 294 km/j.

Tidak seperti 911 Carrera 4 GTS, 911 Carrera boleh dilengkapi dengan rim 19/20 inci, pilihan rim Exclusive Design dengan bilah karbon yang lebih aerodinamik, serta opsyen kit aero untuk meningkatkan lagi prestasi pemanduan.

Ciri luaran lain termasuklah unit lampu LED matriks dengan grafik empat poin, jalur lampu belakang dan struktur jeriji belakang yang telah direka semula, serta opsyen lampu LED matriks HD dengan lebih 32,000 titik pencahayaan.

Untuk ruang kabin, 911 kini dilengkapi dengan skrin kluster digital melengkung 12.6 inci dengan tujuh pilihan paparan termasuklah paparan meter klasik, skrin tengah 10.9 inci, sokongan Apple CarPlay, bantuan arahan suara Siri, serta aplikasi Spotify dan Apple Music terbina.

Untuk makluman, Porsche 911 Carrera hanya boleh didapati dalam versi Coupé pacuan roda belakang, sementara 911 Carrera 4 GTS pula tersedia dalam versi pacuan semua roda (AWD), serta pilihan bentuk badan Coupé dan Targa.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved