Mac 2025: Jualan kenderaan Proton melonjak 23.9 peratus

Proton mengakhiri suku pertama (Q1 2025) dengan jumlah jualan sebanyak 13,918 unit untuk sepanjang bulan Mac yang disumbangkan oleh jualan domestik dan eksport, serta jualan yang disumbangkan oleh jenama smart dan e.MAS.
Berbanding bulan Februari 2025, Proton menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 23.9 peratus untuk bulan Mac, serta 9.6 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun 2024.
Proton turut menjangkakan pegangan pasaran sebanyak 18.9 peratus untuk tempoh Q1 2025 berdasarkan jumlah volum industri (TIV) sebanyak 184,652 unit.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, prestasi jualan baik untuk tempoh tiga bulan pertama menobatkan Proton e.MAS 7 sebagai kenderaan elektrik (EV) yang paling laris terjual.
Proton Saga masih kekal sebagai model Proton yang paling laris dengan jumlah jualan mencecah 6,154 unit (naik 22.5 peratus), diikuti Proton S70 dengan 2,125 unit (naik 77.5 peratus), Proton X50 (1,858 unit), Proton Persona (1,482 unit), Proton X70 (835 unit), Proton Iriz (337 unit) dan akhir sekali Proton X90 (302 unit).
Sementara itu, operasi eksport Proton terus berkembang pada Q1 2025 dengan jumlah eksport meningkat sebanyak 211 peratus kepada 417 unit pada bulan Mac berbanding bulan terdahulu.
Hasilnya, jumlah jualan eksport Proton meningkat 11.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2024, dengan Proton Saga menerajui penghantaran sebanyak 410 unit ke pasaran luar negara.
Proton juga mengembangkan jumlah eksport dengan penghantaran ke negara seperti Nepal serta Tinidad & Tobago.
Dalam pada itu, Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar menjangkakan Proton akan melancarkan beberapa model baru menjelang suku kedua tahun ini, selari dengan apa yang diumumkan oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong pada awal tahun yang lepas.
Salah satu daripadanya ialah Proton Saga baharu yang kini sedang giat diuji di atas jalan raya Malaysia, manakala sebuah lagi mungkin sekali SUV segmen B Proton X50 facelift yang juga sedang dalam proses ujian.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.