Audi Q7 2025 dibuka untuk tempahan – unit CKD, harga anggaran RM469k-RM489k

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) selaku pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi model SUV mercu Audi Q7 untuk pasaran tempatan.

SUV Audi versi pemasangan tempatan (CKD) pertama di Malaysia dan Asia Tenggara itu bakal ditawarkan dengan harga jualan antara RM469,000 hingga RM489,000.

Dari sudut pandang luar, Audi Q7 didatangkan dengan pakej penggayaan S line yang sporti, ditambah pula dengan Black Styling Package Plus terdiri daripada Audi Singleframe, lencana Q7, logo Audi warna anthracite grey, spoiler belakang serta rim Audi Sports bersaiz 22 inci.

Selain itu, terdapat juga unit pencahayaan utama HD matriks LED terdiri daripada Audi Laser Light dan OLED Digital, sistem suspensi udara adaptif dan juga ciri stereng semua roda.

Audi Q7 dikuasakan oleh enjin bentangan V6 TFSI 3.0 liter menghasilkan 340 PS dan 500 Nm, dipadankan dengan transmisi Tiptronic 8-kelajuan dan sistem pacuan semua roda quattro.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.6 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j.

Unit rangkaian kuasa ini turut dibantu dengan sistem hibrid ringan (MHEV) teknologi 48V untuk kecekapan operasi dan mengurangkan emisi.

Terdapat sehingga tujuh mod pemanduan berbeza yang boleh dipilih menerusi fungsi Audi Drive Select.

Untuk ruang kabin, Audi Q7 ini didatangkan dengan tempat duduk Sports Seat Plus, kemasan kulit Valcona, roda stereng balutan kulit jenis bawah rata, paddle shifter, pakej lampu ambien 30 warna, dan skrin paparan head-up.

Ciri lain termasuklah pintu dengan fungsi tutup lembut, fungsi urut untuk tempat duduk hadapan, kawalan iklim empat zon, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, dan tidak ketinggalan sistem audio Bang & Olufsen 3D.

Ruang kargo adalah sebesar 780 liter dan boleh mencapai sehingga 1,908 liter untuk kemudahan seisi keluarga.

Terdapat empat warna yang boleh dipilih termasuklah Glacier White, Waitomo Blue, Mythos Black serta warna Daytona Grey dengan kemasan mutiara.

PHSAM dalam masa yang sama turut mengumumkan pelantikan enam rakan pengedar baharu di seluruh negara, butirannya seperti berikut:


Untuk makluman, pusat pameran 2S Audi Kota Kinabalu dan Audi Kuching akan beroperasi bermula hujung tahun ini.

Rakyat Malaysia boleh berkunjung ke mana-mana pusat 4S yang disenaraikan di atas, tidak ketinggalan Audi Centre di Glenmarie serta di Juru untuk mendapatkan info lanjut berkenaan Audi Q7 yang bakal dilancarkan kelak.