Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) mengumumkan kehadiran varian baharu Defender V8 untuk pasaran Malaysia.
Land Rover Defender V8 ini boleh didapati dalam dua bentuk badan, iaitu Defender 110 dan Defender 130.
Kedua-dua varian Defender V8 ini dikuasakan oleh enjin bentangan V8 5.0 liter dengan unit pengecas lampau (supercharger), namun hadir dengan talaan kuasa yang tersendiri.
Defender 110 V8 mampu menghasilkan kuasa 525 PS dan 625 Nm, dengan keupayaan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat.
Sementara Defender 130 V8 pula mampu menjana 500 PS dan 610 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat.
Namun, kedua-dua Defender V8 ini telah dilengkapi dengan sistem ekzos empat muncung bagi memastikan runut bunyi V8 yang terhasil itu lebih gagah berbanding varian Defender lain.
Varian Defender 110 V8 untuk pasaran Malaysia merupakan versi lima tempat duduk, di mana kerusi baris kedua mempunyai fungsi pemanas dan boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40.
Sementara Defender 130 V8 pula merupakan versi tiga baris tempat duduk yang mampu memuatkan sehingga lapan orang pada satu-satu masa.
Selain itu, tempat duduk belakang boleh diluncurkan dan dilipat dalam nisbah 60:40 untuk memaksimumkan ruang kargo.
Land Rover Defender V8 ini sudah boleh didapati di pasaran Malaysia dengan harga jualan bermula dari RM998,000 untuk Defender 110 V8, dan RM1.198 juta untuk Defender 130 V8.