Hongqi N701: Limosin rasmi Presiden China buat kemunculan di Malaysia

HONGQI N701 (1)
sumber gambar: Bernama

Antara sorotan utama laman berita negara untuk tempoh beberapa hari ini sudah pasti tentang lawatan rasmi Presiden Republik China Xi Jinping ke Malaysia bermula 15 April dan akan berakhir pada 17 April ini.

Sepanjang tempoh lawatan tersebut, sosok rasmi kuasa besar dunia itu bakal menaiki sebuah limosin binaan khas, Hongqi N701.

Untuk makluman, Hongqi N701 ini direka bagi menggantikan sedan panjang N501 yang telah digunakan sejak tahun 2018.

Hongqi N701 mempunyai dimensi panjang melebihi lima meter, dengan jarak antara tiang B dan C yang lebih panjang berbanding kebiasaan.

Seperti yang dijangkakan, spesifikasi sebenar kenderaan rasmi Presiden China ini masih lagi kekal dirahsiakan.

Sedan ini bukan sahaja dilengkapi dengan enjin bentangan V12 berkapasiti 6.0 liter turbo, ia juga sarat dengan pelbagai ciri keselamatan dan perlindungan daripada sebarang ancaman peluru, serta senjata biologi dan kimia.

Sama seperti The Beast untuk kegunaan Presiden Amerika Syarikat, Hongqi N701 merupakan kenderaan binaan khas dan tidak dijual untuk kegunaan umum.

Ini bukanlah kali pertama kenderaan mewah jenama Hongqi membuat kemunculan di tanah air Malaysia.

Pada tahun 2024, Sultan Johor telah diiktiraf sebagai pemilik pertama di dunia yang memiliki sedan mewah buatan jenama tersebut, iaitu Hongqi L5.

Tidak seperti N701 yang lebih moden rupanya, Hongqi L5 memiliki rupa paras neo-retro yang menampilkan unit lampu utama berbentuk bulat.

Sedan mewah ini dikuasakan oleh enjin bentangan V8 4.0 liter turbo yang mampu menjana kuasa setinggi 375 hp dan 530 Nm.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved