Kerajaan pertimbang bina lorong motosikal di lebuh raya baharu

Kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) mempertimbangkan pembinaan lorong motosikal di lebuh raya baharu, lapor akhbar Bernama.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal.

Langkah itu juga dilihat perlu untuk menangani kadar kemalangan motosikal yang tinggi di negara ini.

“Kita sedia maklum mengenai statistik daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang menunjukkan banyak kematian di Malaysia disebabkan oleh kemalangan motosikal. Jadi, ini sesuatu yang kita benar-benar beri perhatian.

“Langkah ke hadapan adalah apabila membina lebuh raya, kita perlu mempertimbangkan untuk mempunyai lorong motosikal. Walaupun kosnya mungkin lebih tinggi, namun jika kita serius menangani isu ini, kita mesti merancang untuk infrastruktur yang lebih selamat,” katanya kepada pemberita.

Pihak kementerian juga akan bekerjasama dengan pemain industri seperti PLUS Malaysia Bhd untuk mewujudkan kawasan perlindungan sesuai yang boleh digunakan penunggang motosikal ketika cuaca buruk, terutama di kawasan lebuh raya bertingkat.

“Ramai penunggang cenderung berhenti di bawah jambatan atau di lorong kecemasan ketika hujan. Kita telah menyaksikan kes penunggang motosikal dilanggar oleh kenderaan yang tidak dapat melihat mereka dengan jelas ketika hujan,” katanya.

Nanta turut mengakui isu ketidaktepatan aplikasi navigasi di lorong motosikal seperti yang dibangkitkan oleh pengguna dan meminta pakar teknologi untuk menangani masalah tersebut.