Ini dia Audi A6 Sedan generasi keenam – lebih segak, lebih aerodinamik

Ketika pengeluar kenderaan berlumba-lumba mengeluarkan SUV dan crossover, ada beberapa jenama yang masih setia dengan sedan. Ini termasuk Audi, yang telah memperkenalkan A6 Sedan generasi keenam (C9).

Untuk pengetahuan pembaca, ia merupakan varian A6 C9 kedua selepas A6 Avant yang didedahkan kepada dunia beberapa bulan yang lalu.

Seperti model wagon berkenaan, A6 Sedan tampil dengan sepasang lampu utama yang tajam dan gril Singleframe yang besar, memberikannya wajah yang lebih garang.

Bahagian sisinya tampil kemas, dengan rim boleh didapati dalam saiz 18 hingga 21 inci, manakala di belakang, terdapat lampu brek yang merentangi dari hujung ke hujung, serta winglet hitam.

Apa yang menarik, Audi menggunakan muncung ekzos tulen, bukannya muncung palsu seperti yang sering dilakukan oleh dua seteru terdekatnya iaitu Mercedes-Benz dan BMW.

A6 Sedan baharu ini bukan sahaja kelihatan segak, malah ia juga merupakan model produksi dengan enjin pembakaran dalam yang paling aerodinamik dalam sejarah Audi dengan kadar pekali seretan Cd 0.23, hanya 0.02 berbeza dengan A6 e-tron.

Rekaan ruang dalaman A6 Sedan boleh dikatakan sama sahaja dengan Avant, dengan adanya kluster instrumen digital 11.9 inci dan skrin sentuh sistem infotainmen 14.5 inci. Paparan ketiga yang anda lihat ini pula ditawarkan sebagai opsyen.

Selain aerodinamik, Audi turut memberikan tumpuan terhadap aspek NVH. Untuk itu, ia telah meningkatkan tahap penebat bunyi di dalam kabin sebanyak 30% berbanding model terdahulu.

Tidak cukup dengan itu, syarikat itu turut menggunakan tapak bushing baharu untuk enjin dan transmisi, serta mengoptimumkan bentuk gigi gear untuk mengurangkan tahap kebisingan.

Pilihan enjin untuk A6 Sedan terdiri daripada dua enjin petrol TFSI dan satu diesel TDI. Untuk petrol, terdapat pilihan enjin 2.0-liter (201 hp/340 Nm) dengan transmisi S tronic tujuh kelajuan, dan 3.0-liter V6 (362 hp/550 Nm) dengan teknologi mild hybrid dan pacuan semua roda quattro.

Untuk diesel pula, model ini ditawarkan dengan enjin 2.0-liter (201 hp/400 Nm) dengan teknologi mild hybrid 48-volt. Ia dipadankan dengan transmisi klac berkembar, dengan pilihan pacuan roda hadapan atau quattro.

Turut ditawarkan untuk model ini adalah sistem suspensi udara adaptif yang boleh mengurangkan ketinggian dari 20 mm hingga 30 mm, serta kawalan stereng semua roda.

Menurut Audi, A6 Sedan akan dipasang di kilangnya di Neckarsulm untuk pasaran antarabangsa. Ia dijual pada harga bermula dari 55,000 euro (RM275,275) dan boleh ditempah bermula pertengahan April 2025.