Subaru Trailseeker diperkenalkan, nampak seperti Solterra tetapi lebih besar

Ini dia, kenderaan elektrik (EV) kedua daripada Subaru iaitu Trailseeker. Dinamakan sempena kebolehannya untuk meredah pelbagai jenis permukaan, model ini akan dilancarkan ke pasaran bermula awal tahun depan.

Jika diperhatikan, rekaan Trailseeker seakan-akan Solterra (EV pertama Subaru) namun model ini sebenarnya enam inci lebih panjang dan seinci lebih tinggi berbanding model tersebut.

Secara tak langsung ia bermakna Trailseeker mempunyai ruang kabin dan kargo yang lebih luas. Walau bagaimanapun, jarak lega tanahnya sama sahaja dengan Solterra iaitu 8.3 inci.

Ruang kabin menampilkan skrin sentuh berukuran 14 inci, yang dikatakan terbesar pernah ada dalam mana-mana model Subaru. Turut disertakan adalah Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, dua pengecas tanpa wayar 15W, dan dua port USB-C untuk penumpang belakang.

Sistem keselamatan pula hadir di bawah payung EyeSight yang merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Pre-Collision Braking
  • Front Cross Traffic Alert
  • Blind Spot Monitors
  • Lane Departure Alert
  • Emergency Stop Assist
  • Traffic Jam Assist
  • Lane Change Assist
  • Advanced Adaptive Cruise Control, dan pelbagai lagi

Trailseeker dipacu oleh sepasang motor elektrik – satu pada gandar depan, satu pada gandar belakang – yang memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 375 hp dan pacuan semua roda Symmetrical AWD yang merupakan trademark Subaru.

Sesuai dengan namanya, crossover elektrik ini direka untuk pemanduan lasak. Ini dibolehkan menerusi mod pemanduan Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud, serta ciri-ciri seperti Grip Control dan Downhill Assist Control. Ia juga mempunyai kapasiti tunda sehingga 3,500 paun.

Ia didatangkan dengan bateri litium ion berkapasiti 74.7 kWh yang mampu menawarkan jarak pemandu lebih 260 batu (418 km) sekali cas.

Dengan adanya sistem prakondisi bateri, ia sedia untuk pengecasan pantas dalam cuaca sejuk mahupun panas. Satu lagi kelebihan model ini adalah ia port pengecas NACS (North American Charging Standard) yang memberikannya akses kepada pengecas Supercharger Tesla.